Oleh Asmiaty Amat
22 September 2021, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Profesor Madya Dr. Hajah Asmiaty Amat mengupas perjalanan dan cara Azmah Nordin “menongkah lumah” untuk mencitrakan kepengarangan dan pengkaryaannya yang unik. Reaksi ini merupakan bahagian yang pertama.

Azmah hadir tepat pada masa, menempatkan dirinya di ruang yang belum diisi oleh penulis-penulis tersebut, malah oleh penulis wanita di Malaysia ketika itu.

Azmah Nordin dilahirkan pada 10 Januari 1958 di Kulim, Kedah. Beliau merupakan anak keempat pasangan Allahyarham Nordin bin Ahmad dan Jamilah binti Jahidin. Almarhum ayah Azmah merupakan seorang polis, menyebabkan keluarganya sering berpindah mengikut lokasi ayahnya bertugas. Azmah bertemu jodoh dengan seorang anak jati Sabah bernama Hussain bin Dato’ Haji Othman pada tahun 1972, dan bermulalah kehidupan Azmah sebagai “orang Sabah” ketika mereka menetap di Kota Kinabalu.

Pasangan ini dikurniakan tiga orang anak. Selain bertugas sebagai suri rumah dan menjaga keluarga, Azmah pernah bertugas sebagai wartawan bebas dan mula berjinak-jinak dalam penulisan rencana. Selain mendengar muzik instrumental, Azmah gemar membaca karya Inggeris, terutamanya karya Stephen King. Dalam kalangan rakan-rakan dan kenalan, Azmah merupakan seorang yang pemalu dan pendiam tetapi mudah mesra. Kematian salah seorang anaknya, iaitu Zulkarnain yang ketika itu berusia 10 tahun merupakan satu episod duka yang dialami oleh seorang ibu, lalu beliau tercari-cari perkara yang boleh mengurangkan kesedihannya.

Tentu sahaja menulis bait-bait kata mampu dijadikan terapi bagi diri seseorang. Azmah juga pernah cuba menulis puisi, tetapi beliau sedar bahawa beliau lebih minat dalam penulisan naratif. Ajakan rakan-rakan membuatkannya tergerak hati untuk membuka diri dan keluar dari ruang selesa di rumah. Beliau mula mengikut bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bersama-sama dengan rakan-rakannya, Obasiah Haji Usman dan Sitti Rahmah G. Ibrahim, yang ketika itu sudah berjinak-jinak dalam dunia penulisan.

Pada pertengahan tahun 1980-an hingga pertengahan tahun 1990-an, DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama ibu pejabat DBP dan universiti awam sangat giat melaksanakan bengkel-bengkel penulisan dan membawa pembimbing dari Semenanjung Malaysia, seperti Allahyarham Othman Puteh, Sahlan Mohd. Saman serta sasterawan seperti Anwar Ridhwan dan A. Samad Said. Pada masa itu, Sabah memiliki penulis budayawan yang terkenal, iaitu Ismail Abbas (Amil Jaya) yang juga pernah bertugas sebagai Pengarah DBP Sabah. Pegawai-pegawai DBP pada masa itu juga sangat mendukung penghasilan karya daripada pengarang-pengarang muda, seperti Azmah dan yang lainnya.

Setelah beberapa siri bengkel yang diikuti, Azmah berjaya menulis dan menghantar cerpen pertamanya yang berjudul “Bosan” dalam majalah Wadah. Cerpen tersebut terbit pada bulan Oktober 1986. Seterusnya, beliau menulis cerpen “Limbai” dan cerpen “Lintasan Kasih”. Salah seorang editor DBP Sabah, iaitu Matlin Dullah, telah melihat bintang yang bersinar dalam diri Azmah. Semasa dalam sebuah bengkel penulisan, Matlin telah memujuk dan menasihati Azmah untuk menulis novel. Azmah pun memberanikan diri menulis sebuah manuskrip novel di samping meneruskan penulisan cerpen dalam majalah Wadah ketika itu. Kemunculan Kukui yang diterbitkan pada tahun 1988 membuktikan bahawa beliau seorang yang bukan sahaja berbakat, malah bersungguh-sungguh dalam bidang penulisan. Dorongan yang kuat dalam dirinya sendiri dan sokongan keluarga dan rakan-rakan menyuntik semangat Azmah untuk terus berkarya.

Mengarang mula jam lapan atau sembilan pagi, hingga lewat petang. Dari petang ke petang, langsung ke malam.

(Mingguan Watan, 1995:23)

Kegigihannya ini turut dikongsikan oleh beliau apabila menyatakan:

Saya tidak akan dapat memfokuskan kepada perkara lain sehinggalah sebuah karya dapat disiapkan. Saya akan masuk ke dalam bilik dan memfokuskan kepada permasalahan yang melanda watak-watak dalam karya yang bakal diciptakan.

Kegigihan dan semangat yang berkobar-kobar itu menjadikan namanya bukan sahaja terlakar dalam sejarah penulisan di Sabah, tetapi disebut-sebut oleh pengkaji. Ketika itu, penulis wanita yang aktif di Malaysia boleh dibilang dengan jari. Penulis wanita Sabah yang aktif hanya ada Sairah Antin (teater/puisi), Zaiton Ajmain (puisi), Mariam Omar (puisi dan cerpen), Obasiah Haji Usman (cerpen dan novel), dan Sitti Rahmah G. Ibrahim (cerpen dan novel). Kedudukan penulis wanita bagi genre novel dan cerpen tidak begitu kuat apatah dapat dibanggakan. Dengan kata lain, Azmah hadir tepat pada masa, menempatkan dirinya di ruang yang belum diisi oleh penulis-penulis tersebut, malah oleh penulis wanita di Malaysia ketika itu.

Teknik Azmah

Saya tidak mempunyai kelulusan tinggi. Sebagai seorang pengarang, saya kena bekerja dengan lebih kuat untuk mencapai taraf sama dengan orang lain atau sekurang-kurangnya tidak ketinggalan.

Azmah sedar beliau tidak berpelajaran tinggi dan tidak boleh bergantung pada bakat semata-mata. Azmah juga sangat sedar bahawa beliau bukan anak jati Sabah dan perlu mencari kelainan, belajar dan menggali sumber untuk dijadikan bahan dalam karyanya. Justeru, beliau berusaha berlipat kali ganda dengan membuat penyelidikan di perpustakaan dan menemu bual orang yang tahu tentang adat-adat peribumi. Pengalaman hidup dalam persekitaran Sabah yang kaya dengan pelbagai etnik, budaya dan kepercayaan diolah dan diangkat sebagai latar masyarakat dalam karya-karyanya. Sebagai pemerhati yang tekun, beliau mengolah dan mencerna fenomena yang berlaku dalam persekitaran masyarakat.

Penelitian tentang budaya benda, adat tradisi dan istilah-istilah budaya suku kaum di Sabah, seperti Bajau, Murut, Rungus, Dusun, dan Brunei diterapkan secara meluas dalam cerpen dan novelnya. Unsur warna tempatan yang pelbagai rupa dan ragam ini menjadi satu kelebihan bagi penulis Sabah, termasuk Azmah.

Persoalan tentang adat berian (hantaran) dan sogit (denda) yang diyakini oleh masyarakat Murut di Sabah diangkat menjadi mauduk yang menarik dalam cerpen “Singkowoton”, novel Kukui dan Dukanya Abadi. Isu berkenaan budaya memburu kepala dan berian sampai mati yang menjadi identiti masyarakat Murut sangat menarik sehingga novel itu tampil sebagai sebuah novel yang dapat menyamai kredibiliti dan kepopularan novel Bagaton karya Ismail Abbas. Kebijaksanaan Azmah ini wajar dipuji kerana mampu mengalihkan perhatian masyarakat pembaca daripada terpaku kepada novel unggul Ismail Abbas tersebut. Dengan kata lain, Azmah ialah pengarang yang tidak lahir di Sabah, tetapi mampu mengangkat tema bernuansa lokal Sabah sebagai satu identiti dalam karyanya. Lenggok bahasanya yang baik, malah diciptakan kosa kata berganda menjadi trademark Azmah. Semua ini menjadi ciri-ciri menarik yang meletakkan Azmah setingkat daripada penulis lain ketika itu.

Selain penonjolan identiti budaya Sabah, Azmah juga sangat meminati cerita rakyat yang dimiliki oleh peribumi Sabah. Tanpa mengetepikan cerita lama yang sebenarnya memberi satu ruang berimaginasi, Azmah mengolah kembali atau menjadikan cerita rakyat, terutama yang melibatkan tokoh-tokoh penting dalam sejarah Sabah sebagai latar ceritanya.

Kehadiran Timulak Kapal Perang (1989), Pejuang di Bawah Bayu (1990), Dewi Labu Kundur (1992), Bantogen (1999), dan Puteri Delima (2009) membuktikan minatnya dalam memahami, mentafsir dan memugar cerita-cerita rakyat Sabah. Garapan cerita rakyat yang disuntik dalam karya beliau ini bukan sahaja menarik minat golongan remaja dan memberi sumber pengetahuan kepada kanak-kanak untuk membaca karya sastera. Beliau juga sering kali menggalakkan anak-anak muridnya untuk menulis cerita kanak-kanak dan remaja bersandarkan cerita rakyat etnik masing-masing.

Pada peringkat awal pembabitan Azmah, diperhatikan beliau gemar menyuntik isu domestik berkenaan perlecehan gender. Beliau menampilkan watak-watak wanita yang terpasung dalam tatanan adat etnik peribumi, terutama yang melibatkan perkahwinan. Sungguhpun persoalan ini mirip dengan isu yang dibawakan oleh sesetengah penulis wanita lain, tetapi persoalan tentang adat budaya yang mengikat wanita dalam ruang domestik disimbolkan oleh Azmah dengan lambang-lambang khusus yang dimiliki oleh etnik peribumi, sehingga menonjolkan identiti kepengarangan Azmah. Pengarang ini juga tidak berlama-lama membiarkan wanitanya hanyut dalam gelora air mata. Dalam satu tempoh masa, Azmah mengubah hala tuju dengan penonjolan wanita yang kuat dan berani berhadapan dugaan yang lebih mencabar. Tetap berpegang pada penonjolan watak wanita peribumi, Azmah tampil dengan membawa wanitanya ke ruang awam yang berani berhadapan dengan kecaman, pandangan serong serta sifat pesimis masyarakat, terutamanya lelaki. Watak-watak wanita Azmah menerusi Dari dalam Cermin, Menongkah Lumrah, Syumul, Pantai Kasih, dan Mega Nisaa tidak lagi hanyut dan lemas dalam air mata sebagaimana yang tergambar menerusi Kukui, Debur Menerpa dan Dukanya Abadi. Demikian juga watak wanita dalam cerpennya yang bergerak dinamik bersama misi dan visinya sebagai pengarang wanita yang ingin meletakkan wanita pada satu kedudukan yang lebih bermaruah dan terhormat.

Selain watak wanita yang ditonjolkan berlatarkan wanita peribumi, penojolan persoalan dan pencitraan karyanya menunjukkan daya persaingan yang sangat memukau. Azmah membawa pembaca meneroka ruang umum yang rencam dan dinamik. Persoalan-persoalan dalam karya Azmah walaupun ditunjangi oleh “wanita dan kewanitaan”, tetapi dilatari dengan persoalan yang lebih global, sungguhpun masih menggunakan unsur glokal.

Dengan gaya penghasilan karya sedemikian, Azmah bukan sahaja cuba menampilkan kepelbagaian, tetapi mengekalkan citra budaya dan sosial masyarakat Sabah yang bervariasi, malah sekali gus beransur-ansur meninggalkan tradisi penghasilan karya yang bersandarkan pada pengalaman diri pengarang semata-mata. Azmah juga diakui sebagai seorang pengarang yang banyak memasukkan fenomena baharu, latar dan watak-watak baharu dalam konteks karya yang dihasilkan oleh pengarang, khususnya pengarang wanita. Usaha ini membolehkan pengarang ini mencipta jalur baharu yang lebih mencabar, rumit dan mengutamakan keperluan “ilmu dalam berkarya”.

Dunia perubatan, ekonomi, katering, perhotelan, dan teknologi maklumat menjadi ruang publik yang mendedahkan wanita-wanita ciptaan Azmah dengan pelbagai muslihat dan kebijaksanaan yang jika tersalah langkah, mengundang natijah yang fatal. Dengan kata lain, pencitraan watak wanita Azmah sungguhpun kelihatan lebih berani, cerdik, garang, dan menyerlah, tetapi pada masa yang sama, ia tetap memperlihatkan ciri-ciri wanita Timur sejati, lebih-lebih lagi bagi citra wanita Muslim. Pendek kata, nama Azmah bukan sahaja melonjak sebagai seorang pengarang yang tekun lagi produktif, malah pengarang ini dikatakan mempunyai kekuatan yang tersendiri. Karyanya sarat dengan emosi dan citra seorang pengarang wanita yang ingin berjuang bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk masyarakatnya.

Baca Bahagian Kedua Reaksi |

Gelora Imaginasi Sasterawan Sabah Azmah Nordin (Bhg. 2)

_________________________

Asmiaty Amat (Prof. Madya Dr. Hajah) ialah Pengarah Penerbit UMS dan Profesor Madya di Gugusan Pengajian Liberal, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah. Beliau banyak menghasilkan makalah ilmiah dan kritikan sastera untuk pelbagai persidangan dan jurnal kesusasteraan. Asmiaty ialah penulis buku kajian Menyingkap Gejolak Rasa dan Citra Azmah Nordin (2018).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.