Oleh Asmiaty Amat
28 September 2021, 15:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Profesor Madya Dr. Hajah Asmiaty Amat mengupas perjalanan dan cara Azmah Nordin “menongkah lumah” untuk mencitrakan kepengarangan dan pengkaryaannya yang unik. Reaksi ini merupakan bahagian yang kedua dan terakhir.

Kedudukannya sebagai penerima SEA Write Award pada tahun 2009 dan Sasterawan Sabah pada tahun 2021 tidak pernah menjadi halangan untuk beliau bergaul dengan penulis muda yang baru mula menapak dalam dunia penulisan.

Azmah juga sangat teliti dan rinci dalam pendedahan emosi watak-wataknya. Dia menyorot watak-wataknya dengan resah gelisah dan fikiran bawah sedar. Hal ini juga menjadikan karya Azmah berbeza dan memiliki keperibadian yang tersendiri. Kajian terhadap karya-karya Azmah dengan menggunakan teori psikologi dan feminisme (Asmiaty, 2018) memperlihatkan bahawa Azmah seorang penulis yang teliti dalam pencitraan watak-wataknya, tidak kira watak wanita atau lelaki. Pencitraan yang menjangkau pencitraan emosi atau kejiwaan watak yang kebanyakannya digelar oleh pengkaji sebagai teknik penceritaan aliran bawah kesedaran, dan menjadi semacam pembentukan identiti kepengarangan penulis. Pembicaraan terhadap pemikiran dan citra watak-watak ciptaan Azmah mengakar kepada satu keinginan atau cita-cita penulis terhadap penonjolan wanita sebagai susuk yang perlu diberikan perhatian wajar.

Satu perkara penting yang menjadikan Azmah turut menjadi sebutan ialah bentuk atau teknik penceritaan yang digunakannya dalam berkarya. Sungguhpun pada mulanya teknik jungkir balik yang ditekuni beliau agak sukar untuk difahami, namun ia semacam satu teknik yang menjadi tandatangannya. Teknik ini menyorot watak dengan jalinan imbas kembali yang banyak dan amat kompleks, malah dianggap sebagai suatu “teknik Azmah”. Teknik penceritaan sedemikian, dengan penggunaan bahasa yang meliputi simbol-simbol sekali gus mengangkat keperibadian atau identiti kepengarangan Azmah sebagai pengarang feminis ala Malaysia.

Azmah bukan sahaja mampu bereksperimen dengan gaya kepengarangannya, malah kemampuan dan keprolifikannya dalam satu tempoh masa membantu menyumbangkan sesuatu yang amat berharga dalam dunia kesusasteraan Melayu. Kepengarangan Azmah yang agak berbeza ini menjadi satu fenomena dan memberi inspirasi kepada bentuk penulisan ramai penulis wanita selepasnya.

Sumbangan dan Pengiktirafan

Sehingga saat ini, yakni setelah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan dalam penulisan, Azmah masih seperti dahulu, tidak lokek dengan senyuman dan bantuan kepada penulis muda. Walaupun beliau sudah ada kedudukan tetapi masih aktif hadir dalam bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau badan penulisan lain. Kegiatan tersebut dianggap penting bagi memantapkan pengetahuannya dalam bidang yang diceburi. Kedudukannya sebagai penerima SEA Write Award pada tahun 2009 dan Sasterawan Sabah pada tahun 2021 tidak pernah menjadi halangan untuk beliau bergaul dengan penulis muda yang baru mula menapak dalam dunia penulisan. Kemesraan dan hubungan rapat beliau dengan pengarang muda memberikan beliau ruang dan peluang yang cukup besar untuk mengembangkan karya beliau sendiri dan menyalurkan pengalaman kepada pengarang muda yang lain.

Pada masa kini, beliau gigih melatih penulis-penulis muda dan kebanyakan mereka telah menjadi penulis yang telah mencipta nama. Nama seperti Ruhaini Matdarin, Rita Robert Rawantas, Kathirina Susanna Tati, Dayangku Mastura, Faridah Abdul Hamid, Ara Aranam, Lailah Elok, Azidah Abadi, Rafiqa, Nelson Dino, dan Franco Morrow merupakan antara nama penulis Sabah yang telah menyerlah dalam penulisan pada peringkat kebangsaan. Mereka datang dengan pakej lengkap, selain berbakat tetapi rajin menuntut ilmu daripada bengkel penulisan anjuran Azmah Nordin. Terdapat juga guru-guru yang baru mula belajar menulis memasuki bengkel-bengkel penulisan Azmah, sama ada bengkel penulisan cerpen, novel kanak-kanak atau novel remaja. Dengan pengalaman dan kedudukan yang dimiliki, beliau digelar sebagai “sifu”, terutamanya oleh golongan penulis muda yang banyak menimba pengetahuan berkarya daripada beliau. Azmah tidak pernah lokek untuk memberikan pandangan dan tunjuk ajar kepada anak didiknya.

Kedudukan Azmah sebagai pengarang ketika ini merupakan satu pencapaian yang patut dibanggakan. Pendek kata, beliau bukan sahaja mengubah persepsi dan mampu bergerak seiring, malah mula mendahului para pengarang mapan yang lain di Sabah, malahan telah disetandingkan dengan sasterawan tersohor di Malaysia.

Keinginan yang bertali arus dalam minda beliau menjadikannya pengarang yang sangat produktif, terutamanya dalam tempoh 1990-an hingga 2015. Banyak karya yang telah dihasilkannya dalam tempoh masa tersebut. Selain barisan novel-novel dewasa, remaja dan kanak-kanak, deretan cerpennya tidak boleh dikira dengan jari. Cerpen-cerpen ecerannya yang terbit dalam Wadah ataupun dalam majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Pelajar, Dewan Cipta, Mingguan Wanita, Majalah Wanita, dan di akhbar tempatan seperti Berita Harian dan New Sabah Times juga dikumpulkan dalam kumpulan cerpen persendirian beliau seperti Singkowoton (1994), Bercak (1995), Wizurai (1997), Kasih Seputih Kemboja (2001), dan Titian Gelora (2005). Selain itu, beliau juga menghasilkan antologi cerpen bersama, iaitu Memintas Arus (1992), Bagai Camar di Lautan (1993), Kuntum Berputik (1996), dan Enigma (2015).

Novel-novel beliau yang lain ialah Awang Kirana Mudir Besar (1996), Menongkah Lumrah (1996), Singgahmata (1997), Syumul (1998), Mega Nisaa (2005), Lara  (2013), dan Gelora Menara (2018). Kesemua novel tersebut membawakan latar, gaya dan tema yang tersendiri.

Di samping novel dewasanya, beliau turut menghasilkan novel remaja dan kanak-kanak. Antara novel remaja yang telah diterbitkan ialah Setulus Sarina (1989), Kembara Planet (1989), Sewangi Hati Irani (1989), Timulak Kapal Perang (1989), Permata Biru (1989), Tiara (1989), Gadis Pinggiran (1990), Pejuang di Bawah Bayu (1990), Jauh Tidak Berantara (1990), Biarlah Kasihmu Terukir (1991), Janji (1991), Fatin (1991), Selamat Tinggal Sayang (1991), Ribut di Gua Gomantong (1992), Dewi Labu Kundur (1992), Sembilu Kasih (1992), Sitti Ariana (1993), Di Bawah Unggulnya (1993), Puteri Harapan (1994), Ima Puteri Air (1994), Tanaut (1994), Dilambai Debur Cinta (1994), Kewujudan Maya (1994), Impian Aquatik (1995), Merentas Selat (1997), Dedikasi di Planet Marikh (1999), Pesanan untuk Ira (1999), Bentongen (1999), Puteri Delima (2009), Uddin Putera Perkasa (2019), dan sebuah novel remaja sedang dicetak berjudul Temasya Cemara Merah.

Hasil karyanya jarang-jarang tidak memenangi hadiah atau mendapat tempat dalam peraduan menulis yang dianjurkan oleh badan penulisan kerajaan dan swasta. Sejak tahun 1986, iaitu pada awal masa aktifnya sebagai pengarang, karyanya sudah diperhatikan dan novel pertama beliau, Kukui telah memenangi hadiah penghargaan peraduan Hadiah Sastera Sabah. Kemudian  pada tahun 1988, novel kanak-kanaknya yang berjudul Noor Ainku Sayang memenangi hadiah kedua peraduan Menulis Novel Kanak-kanak anjuran DBP Kuala Lumpur.

Kejayaan Azmah merangkul anugerah melalui penulisan yang diperoleh dalam tempoh penglibatannya dalam dunia penulisan, menunjukkan kebolehan, keupayaan dan kegigihan Azmah dalam berkarya mempunyai rentaknya yang tersendiri.

Penganjuran Peraduan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah tahun 1988/1989 merupakan tahun yang amat bertuah bagi pengarang ini. Karya beliau bukan sahaja memenangi hadiah daripada penulisan novel, malah cerpen-cerpennya juga diakui mempunyai nilai pemikiran dan kekuatan yang tersendiri. Novel Dukanya Abadi memenangi Hadiah Sastera Sabah, sementara novel Timulak Kapal Perang (1989) memenangi hadiah tempat ketiga dalam peraduan menulis novel sejarah anjuran Perpustakaan Sejarah Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Novel berikutnya, Dari dalam Cermin (1992) telah memenangi hadiah pertama Hadiah Sastera anjuran bersama DBP Sabah dan Jabatan Ketua Menteri Negeri Sabah. Sementelah itu, novel Debur Menerpa (1992) memenangi hadiah ketiga dalam peraduan yang sama. Novel-novel lain yang turut memenangi Hadiah Sastera Sabah ialah novel Syumul (1998/1999), Lara (2012/2013) dan Gelora Menara (2018/2019). Novel Menongkah Lumrah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi tahun penilaian 1996/1997. Novel Menongkah Lumrah merupakan kemuncak pada pencapaian Azmah dalam penulisan novel.

Cerpen-cerpen beliau juga sering kali memenangi pertandingan menulis cerpen. Cerpen beliau, “Wizurai” telah mendapat penghargaan dalam Anugerah Hadiah Cerpen pada tahun 1990 anjuran bersama DBP dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, sempena sambutan 100 tahun Kuala Lumpur. Pada tahun 1991, cerpen Azmah menang dalam Sayembara Menulis Cerpen anjuran Esso-GAPENA kali ke-VIII. Cerpennya yang bertajuk “Kuntum Perdamaian” memenangi hadiah kedua dalam peraduan tersebut. Dalam tahun yang sama, cerpennya yang bertajuk “Mikrotome” memenangi tempat pertama dalam Peraduan Menulis Cerpen Maybank-DBP (bagi kumpulan B), iaitu kategori umum.

Cerpen-cerpen beliau yang menghiasi dada akhbar dan majalah turut menjadi pilihan juri dalam penilaian anugerah pencapaian. Cerpen “Singkowoton” telah memenangi dua hadiah sekali gus, iaitu Hadiah Karya Sastera Sabah dan Hadiah Karya Sastera Malaysia (1992/1993). Cerpen “Permainan Kematian’” pula memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada tahun 1996/1997, manakala cerpen “Kasih Seputih Kemboja” memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun penilaian 2000/2001. Cerpen “Rahsia” memenangi Hadiah Sastera Sabah pada tahun penilaian 2004/2005, cerpen “Kekasih” dinobatkan sebagai salah satu pemenang Hadiah Sastera Sabah 2010/2011, sementara cerpen “Dengung” dipilih sebagai pemenang pada tahun 2011/2012, dan pada tahun 2010/2011 cerpen “Usus” turut diberi anugerah yang sama.

Kejayaan Azmah merangkul anugerah melalui penulisan yang diperoleh dalam tempoh penglibatannya dalam dunia penulisan, menunjukkan kebolehan, keupayaan dan kegigihan Azmah dalam berkarya mempunyai rentaknya yang tersendiri. Tidak hairan jika beliau diletakkan sebagai pengarang wanita dalam bidang prosa yang agak kuat dan setanding dengan sasterawan lelaki yang lain.

Pemilihan Azmah Nordin sebagai Sasterawan Sabah ialah saat yang sangat ditunggu-tunggu. Kecemerlangan, kegemilangan dan keunggulan Azmah tidak seharusnya dipertikaikan, malah ketaatsetiaan beliau terhadap Sabah dibuktikan menerusi sumbangannya yang sangat besar, bukan sahaja kepada Sabah, tetapi juga kepada negara Malaysia amnya.

Baca Bahagian Pertama Reaksi |

Gelora Imaginasi Sasterawan Sabah Azmah Nordin (Bhg. 1)

_________________________

Asmiaty Amat (Prof. Madya Dr. Hajah) ialah Pengarah Penerbit UMS dan Profesor Madya di Gugusan Pengajian Liberal, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah. Beliau banyak menghasilkan makalah ilmiah dan kritikan sastera untuk pelbagai persidangan dan jurnal kesusasteraan. Asmiaty ialah penulis buku kajian Menyingkap Gejolak Rasa dan Citra Azmah Nordin (2018).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.