22 Julai 2021, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Seorang penulis itu berprinsip, dan pastilah ada pro dan kontranya dalam konsep menulis berprinsip itu. Kita boleh nampak bagaimana Azmah Nordin sangat berpegang teguh pada prinsipnya dalam setiap karya-karya beliau,” Prof Madya Dr. Asmiaty Amat, penulis buku Menyingkap Gelojak Rasa dan Citra Azmah Nordin memberikan sedikit gambaran tentang citra sasterawan dan juga pemenang SEA Write Award 2009, Azmah Nordin mampu hidangkan pada pembaca era sekarang.

Azmah Nordin sering dikatakan sebagai seorang feminis tegar dalam kalangan peminat sastera tempatan. Karya beliau mengetengahkan wanita yang bercita-cita tinggi dan menyingkap penceritaan kewanitaan yang berbeza daripada apa-apa yang ada di pasaran pada era 1990-an.

Beliau sememangnya dikenali sebagai seorang pengarang yang prolifik dengan kejayaan menghasilkan sejumlah buku yang banyak, selain memenangi banyak hadiah dan anugerah sastera di arena sastera tempatan.

Sepanjang kegiatan penulisannya yang masih segar di medan sastera, Asmiaty menyifatkan penyiaran karya Azmah yang terbit tanpa henti sebagai “keluar bertalu-talu” dan “penulis bertenaga luar biasa”.

“Azmah sentiasa meletakkan satu konsep dalam karyanya, iaitu dia ingin melihat wanita ini menjadi seorang manusia yang kuat dan berprofil. Dalam Dukanya Abadi, wataknya menjalani perjalanan perkembangan diri daripada seorang suri rumah dan berprofil rendah, akhirnya berkembang seiring cerita menjadi seorang wanita korporat. Bila saya tanya, apakah inspirasi Azmah untuk menulis sebegini, jawab beliau, dengan melihat wanita-wanita sekeliling,” terang Asmiaty.

“Tapi beliau sendiri tak pernah mengaku sebagai seorang feminis, malah menidakkannya.”

Penulis novel Timulak Kapal Perang ini dikatakan sebagai seorang yang pemalu, tetapi penulisannya digarap dengan semangat yang berkobar-kobar dan bercita-cita tinggi apabila menonjolkan jati diri seorang wanita. Hampir semua jenis kerjaya dan pekerjaan wanita telah disentuh oleh Azmah Nordin dalam karya-karyanya, sekali gus meletakkan posisi wanita dalam kerjaya yang versatil.

“Daripada doktor, usahawan, cikgu, ahli korporat, pengusaha hotel, pengusaha percetakan, malah presiden syarikat korporat telah diterokainya bagi watak wanita dalam karyanya,” tambah Asmiaty.

Cita-citanya yang tinggi untuk meletakkan wanita dalam pelbagai kerjaya itu juga telah melahirkan satu bentuk cereka baharu dalam dunia sastera tanah air ketika itu.

Apabila mengikuti riwayat hidup Azmah, beliau pernah menjadi wartawan. Asmiaty menyatakan, daripada pengalaman itulah menjadikan Azmah Nordin amat sensitif dalam kerja menulis dan sentiasa membuat penyelidikan ketika menghasilkan sesebuah karya.

“Watak-watak wanita Azmah Nordin mempunyai pemikiran dan prinsip yang tetap relevan untuk dibicarakan, baik dari kaca mata dunia silam, semasa dan masa hadapan.

“Kesimpulannya, Azmah meletakkan wanita sebagai insan yang harus berjalan seiring dengan kita, umat manusia, bukan di belakang, bukan di bawah, dan bukan di atas, tapi seiring bersama menulusuri kehidupan dan mengejar kejayaan.”

Rancangan Bicara Karyawan yang dikendalikan Rafiq Rahman ini berlangsung pada 19 Julai, 12.00 tengah hari. Rancangan ini mengumpulkan karyawan bersama-sama karya ciptaannya sebagai perbincangan.

Program bicara buku ini boleh ditonton di sini. Buku kritikan sastera Menyingkap Gelojak Rasa dan Citra Azmah Nordin boleh dibeli di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.