Oleh Karmila Azmi
28 Mei 2021, 09:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pembacaan, penyelidikan dan pengalaman adalah sebahagian daripada proses pembinaan karya untuk seorang penulis. Justeru, tidak hairan ada yang menyebut, jangan “bergaduh” dengan penulis kerana anda akan mati berkali-kali dalam karyanya.

Hal ini dapat dilihat menerusi pendedahan penulis Nurimas SN dalam Rancangan Bicara Karyawan: Sukarelawan Nan Lima menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Nurimas sewaktu memperkenalkan naskhah tulisannya itu berkata, novel setebal 159 halaman itu dihasilkan berdasarkan pembacaannya mengenai tragedi banjir besar, bah kuning yang melanda Kelantan tidak lama dahulu.
“Naskhah ini mengangkat lima watak remaja, iaitu Amni, Hairi, Bela, Chew Han dan Emma yang masing-masing berminat dalam dunia kesukarelawanan,” katanya.

Nurimas berkata, dia sengaja membina watak dalam naskhah ini sebagai pelajar pengajian tinggi untuk menunjukkan kepentingan ilmu tetapi terdapat satu watak, iaitu Emma yang tidak mendapat pendidikan tinggi tetapi tidak pernah berputus asa untuk bangkit mengatasi kekurangan diri.

“Klimaks cerita ini apabila salah seorang watak akhirnya bertemu dengan ibunya yang terpisah selepas tragedi banjir. Dia bertemu semula di pusat bencana ketika misi bantuan,” katanya.

Tegas Nurimas, watak dalam Sukarelawan Nan Lima digambarkan sebagai individu yang tabah dan kental semangat serta sering memberi bantuan kemanusiaan setiap kali berlaku banjir, bukan hanya di Kelantan dan Terengganu, malah hingga ke Aceh.

Sukarelawan Nan Lima ialah novel remaja yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2021 dan dijual pada harga RM18. Novel ini boleh dibeli di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.