Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNurimas SN menulis sebuah novel kanak-kanak, dan rupa-rupanya hal itu bukanlah semudah yang disangka. Ikuti pengalamannya menghadapi perih dan nikmat menulis sebuah novel kanak-kanak.
Hambatan dan Halangan
Selain itu, proses penerbitan di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka juga sangat dijaga degan teliti dengan melibatkan fasa yang agak lama untuk menjaga kualiti.
Ada beberapa halangan ketika saya menulis manuskrip Sahabat Sejati.com. Antaranya termasuklah kebimbangan sama ada nanti cerita ini persis dengan kisah realiti yang menjadi sumber inspirasi. Jadi, banyak jugalah inovasi dan imaginasi yang terpaksa saya ubah beberapa kali untuk tidak menampakkan kepersisannya itu. Hal ini juga mengganggu jadual asal kerja yang sudah dirancang awal.
Satu lagi hambatan ialah halangan yang secara tiba-tiba terjadi. Ketika saya menulis Sahabat Sejati.com, berlaku satu peristiwa yang penting dalam keluarga kami. Anak menantu telah terlibat dalam kemalangan dan setelah dua bulan berperang dengan kesakitan, akhirnya meninggal dunia. Lalu, kesan anak yatim itu menjadi lebih dekat dengan saya apabila cucu sendiri menjadi subjek utama. Ketika itu, ada tiga orang cucu berusia bawah tujuh tahun.
Kesan langsung ialah, proses penulisan menjadi terganggu seketika. Namun begitu, muncul impak positif: penghayatan menjadi lebih dirasakan serta terdapat beberapa perubahan tambah baik dalam plot penceritaan novel tersebut, berdasarkan situasi sebenar yang saya hadapi apabila anak dan cucu-cucu itu terpaksa tinggal bersama-sama kami.
Hambatan lain ialah proses P&P (Pengajaran dan Pembelajaran) di sekolah sering berubah dah berkembang. Untungnya saya, proses penulisan berjalan sebelum serangan COVID-19, ketika pelaksanaan PKP dijalankan. Jika tidak, mungkin lagi banyak halangan. Namun begitu, perubahan dasar pendidikan, sukatan pelajaran dan masukan aktiviti baharu dalam sistem persekolahan sentiasa berlaku. Oleh itu, saya memang kena mengikuti rapat perubahan tersebut agar cerita yang ditulis menjadi yang terkini.
Antaranya termasuk perubahan dari segi sistem peperiksaan (kita tidak ada UPSR dan PMR lagi seperti sebelum ini) dan penilaian dalaman di sekolah (pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah sekarang), aktiviti kokurikulum, sistem pemarkahan, dan kelas tanpa penstriman. Beberapa kali juga saya mengubah fakta dan isi dalam manuskrip asal kerana masukan bahan baharu atau tambah nilai daripada fakta yang sedia ada. Keadaan ini dilakukan kerana untuk menjadikan novel ini benar-benar memenuhi konsep realiti semasa – apa yang sebenarnya sedang berlaku di sekolah sekarang.
Selain itu, proses penerbitan di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka juga sangat dijaga degan teliti dengan melibatkan fasa yang agak lama untuk menjaga kualiti. Walaupun agak menunggu lama, namun saya berpuas hati kerana hasilnya sungguh membanggakan.
Secara kronologi saya paparkan carta kemajuan jadual kerja penulisan manuskrip novel kanak-kanak Sahabat Sejati.com.
| Tahap | Huraian Kerja | Jangka Masa |
| Pramenulis | – pasang niat hendak menulis
– pemerhatian dan kajian – penetapan idea |
1 – 2 bulan |
| Perancangan Plot (PP) | – menentukan jalan cerita
– watak dan latar – mencatat urutan plot dan agihan bab – buat semakan dan ubah suai – penyelesaian PP |
2 – 4 minggu |
| Penulisan manuskrip | – penulisan Tulis Apa Sahaja (TAS) asal
– penulisan draf 1 – 4 – Semakan menggunakan 3R (read-review-rewrite) dan AI – pemurnian manuskrip serta tambah nilai dengan aksesori |
3 – 5 bulan |
| Penilaian akhir | – melakukan penilaian kendiri dan melibatkan orang lain
– koreksi akhir – manuskrip lengkap |
2 – 3 minggu |
| Penghantaran | – hantaran manuskrip ke pihak DBP | Feb 2018 |
Nilai murni, pengajaran dan kesan kepada pembaca menjadi faktor paling teliti untuk diperhatikan.
Begitulah, seperti yang saya katakan. Dugaan awal, yang mengandaikan menulis novel kanak-kabak itu lebih gampang dan pantas, rupanya bukan. Hal ini ditimbulkan kerana ada yang menulis novel (tidak kira apa pun genre) dalam tempoh sesingkat bawah enam bulan untuk keseluruhannya. Namun begitu, inilah realiti yang saya depani, bahawa menukil novel tidak kira kanak-kanak, remaja atau umum bukan semudah itu.
Nampak macam untuk budak-budak – boleh lebih kurang, agak mudah, tidak banyak krisis dan sebagainya, namun proses penerapan ilmu dan penggabungan jalin dengan kehidupan sebenar itu bukanlah mudah. Nilai murni, pengajaran dan kesan kepada pembaca menjadi faktor paling teliti untuk diperhatikan.
Kerencaman dan ketelitian kita menulis fakta dan menggambarkan latar serta watak budak sekolah dalam sistem persekolahan sebenar inilah yang menjadikan antara sebab novel ini menerima anugerah sebagai Hadiah Utama Novel Kanak-kanak dalam Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) ke-6 yang dijalankan pada tahun 2023 (untuk karya diterbitkan pada tahun 2021/2022).
Saya perturunkan cuplikan ulasan ahli panel penilaian HASDI mengenai novel ini:
Dunia persekolahan dipaparkan dengan teliti oleh pengarang sehingga pembaca mendapat maklumat yang lengkap tentang dunia pembelajaran di sekolah rendah hari ini.
(Ulasan Panel HASDI VI 2023)

Alhamdulillah, usai sudah perkongsian proses penulisan novel Sahabat Sejati.com. Semoga bermanfaat kepada pembaca dan memberikan motivasi kepada semua penulis, terutamanya yang muda dan baharu mahu menulis novel. Intihanya, mulakan menulis dengan cerita atau bahan yang dekat dengan kita dan kita kuasai. Jika dilihat penulis mapan tanah air ketika kini bahkan sejarah Sasterawan Negara (SN) pun, majoriti mereka bermula kerjaya dengan menulis karya kanak-kanak dahulu.
SN A. Samad Said misalnya, pernah menulis novel kanak-kanak Di Simpang Jalan. SN Kemala pula telah menghasilkan tiga buah buku cerita kanak-kanak pada awal pembabitannya. Begitu juga dengan penulis mapan Nisah Haron, Ghazali Ngah Aziz dan Dr. Othman Puteh juga memulakan dan pernah menulis novel kanak-kanak. Jadi, jangan rasa malu atau rendah diri untuk menjadi diri kita sendiri serta menukilkan karya untuk kanak-kanak.
Mengakui senang susah dan cabaran yang dihadapi untuk menukil karya kanak-kanak ini menjadikan kita lebih bersemangat untuk menulis. Perlu diingat, khalayak untuk buku kanak-kanak lebih luas kerana bukan sahaja pembacanya dalam kalangan anak-anak, bahkan pasti ibu bapa yang mahu menilai kualiti buku terlebih dahulu. Lalu, soal meletakkan karya kanak-kanak ini lebih rendah atau kurang taraf nilai komersialnya dengan karya untuk remaja ataupun dewasa, kembali timbul. Mungkin pihak-pihak berwibawa di atas sana, ada jawapannya.
Novel Sahabat Sejati.com boleh dibeli di sini.
Baca Bahagian Pertama Refleksi |
_________________________
Nurimas SN ialah nama pena Samiron Rahmat. Beliau turut menggunakan nama pena Lara Pesona dan S Amir On. Kelahiran Pontian, Johor. Genre penulisan merangkumi novel, cerpen, puisi, skrip drama, dan rencana. Nurimas telah menghasilkan lima buah novel, sembilan buah kumpulan cerpen, tiga buah kumpulan puisi dan kumpulan drama radio. Nurimas merupakan penerima Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2015/2016, HSKU 2017/2018, Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) 2015/2016, 2017/2018, 2019/2020, dan 2021/2022, serta Anugerah Sastera Johor 2021/2022.Beliau salah seorang penerima hadiah Sayembara Menulis Puisi Islami 2024 anjuran GAPENA. Terkini, Nurimas memenangi Hadiah Utama (Cerpen) Hadiah Sastera Selangor 2023.