Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Azmah Nordin, penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau SEA Write Award 2009 ialah nama yang cukup gah dalam landskap sastera kebangsaan. Walau bagaimanapun, suka dukanya dalam perjalanan memahat namanya dalam dunia penulisan jarang-jarang sekali diungkapkan.
Baru-baru ini, menerusi Kolokium Sastera: Kajian Kepengarangan Pengarang Malaysia anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pusta (DBP), Azmah berkongsi cerita suka duka serta detik awal pembabitannya dalam ranah kesusasteraan.
Azmah ketika berkongsi kertas kerjanya, “Meniti Gelora” berkata, salah satu sumber inspirasi penting dalam kehidupannya ialah konsep singkowoton dalam budaya suku kaum Murut Tagol dan Sumambu di Sabah.
Katanya, semua hasil karya beliau merujuk semangat singkowoton yang ditafsirkannya sebagai setiap karya yang berpaksikan semangat juang (untuk memperjuangkan nasib orang yang teraniaya, terutama sekali wanita), seperti yang telah ditetapkan kepada diri sendiri.
“Mungkin kerana berpandukan semangat juang singkowoton yang sedemikian rupa, setiap karya yang saya hasilkan semenjak mulai berkarya, yakni lewat tahun 1987 dan sudah terbit dalam pelbagai media massa, dan lebih separuhnya di DBP, kebanyakannya telah berjaya meraih pelbagai hadiah sastera,” katanya.
Tegas Azmah, minatnya dalam dunia penulisan bermula sejak kecil namun hanya seputar rencana umum yang disiarkan dalam media seluruh Malaysia.
Namun begitu, beliau merasakan penulisan makalah tidak memberikan kepuasan yang sebenar kerana lebih tertumpu pada penyampaian pandangan individu yang ditemu bual dan kurang memberikan ruang untuk beliau berkongsi idea serta pemikirannya sendiri.
Tambahan pula, artikel yang diterbitkan hanya relevan untuk tempoh yang singkat sebelum dilupakan.
Ketika berasa buntu dengan hala tuju kerjayanya, Azmah menemui sinar baharu melalui DBP. Pembabitannya dalam bengkel penulisan kreatif anjuran DBP membuka peluang untuk beliau mendalami dunia sastera dengan lebih serius.
Melalui bimbingan mentor dan tokoh sastera, beliau mula memahami teknik, disiplin dan tanggungjawab seorang penulis kreatif.
Kongsi Azmah, satu peristiwa yang menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya berlaku apabila beliau menerima cabaran daripada seorang tokoh sastera untuk menulis sebuah novel berdasarkan sinopsis yang hanya mengandungi beberapa baris ayat.
Walaupun pada ketika itu beliau masih baharu dalam bidang penulisan kreatif, Azmah menyahut cabaran tersebut dengan penuh tekad. Hasilnya, beliau berjaya menyiapkan novel Dukanya Abadi dalam tempoh singkat.
Lebih membanggakan, novel tersebut kemudiannya memenangi Hadiah Sastera Sabah.
“Menghasilkan cerpen dan novel bukanlah tugas yang mudah. Setiap karya memerlukan penyelidikan, pemerhatian dan penghayatan yang mendalam terhadap budaya serta masyarakat yang ingin diketengahkan.
“Saya percaya bahawa penulis perlu memahami dunia yang ditulis sebelum menghidupkannya melalui cerita,” katanya
Selain SEA Write, Azmah juga ialah Sasterawan Negeri Sabah yang diterimanya pada tahun 2021.