Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Kinabalu – Pengiktirafan Sasterawan Sabah kepada Azmah Nordin yang berasal dari Kedah sangat besar maknanya kerana merapatkan jurang di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah melalui karya beliau. Sasterawan Sabah Azmah Nordin yang mengangkat sastera etnik memperkenalkan keindahan tradisi, budaya, latar dan juga pemikiran penduduk di Sabah yang unik dan berbeza daripada penduduk di Semenanjung Malaysia.
Wawancara Khas Azmah Nordin yang disiarkan di Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 24 September 2021 membawa tokoh sastera ini menjawab persoalan mengenai pengkaryaan dan proses kreatif beliau, termasuk beberapa pesanan kepada penulis. Program ini turut membawa penulis sohor Sabah, Ruhaini Matdarin sebagai moderator.
Setakat ini, sudah banyak karya Azmah yang telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau berterima kasih kepada DBP kerana membuka laluan kepadanya. Mentor-mentor yang memupuk rasa yakin diri kepada bakat yang ada membuatkan Azmah berani menyahut cabaran dan menghasilkan karya yang banyak memenangi anugerah berprestij. Didorong oleh kepercayaan mentor beliau, Azmah berjaya menyiapkan novel Timulak Kapal Perang (1989) dalam masa enam hari sahaja. Novel ini memenangi Anugerah Novel Sejarah Kebangsaan dan kemudiannya menjadi teks Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS). Seterusnya, novel Pantai Kasih (2014) turut diangkat menjadi teks KOMSAS.
Mempercayai bakatnya adalah anugerah Tuhan, Azmah memanfaatkan bakat dan terus menulis serta yakin bahawa anugerah tersebut dikurniakan dengan misi untuk melakukan sesuatu. Azmah percaya, seseorang penulis perlu mempunyai perjuangan. Beliau memilih untuk memperjuangkan hak wanita kerana walaupun zaman semakin maju, namun masih wujud isu berkenaan wanita dan perlecehan gender. Bagi Azmah, feminisme tidak akan lapuk. Isu-isu yang dibangkitkan dalam novelnya ialah seruan kepada para wanita untuk bangkit melawan menggunakan kebijaksanaan.
Mengupas proses pengkaryaan beliau, Azmah menyorot bagaimana novel Lara dihasilkan. Azmah menggunakan pengalamannya sepanjang berada di hospital dan berbincang dengan para doktor. Bagi menghasilkan Lara, Azmah membeli beberapa buku perubatan terbitan DBP sebagai rujukan. Azmah menekankan kepentingan membuat kajian dan menggunakan ilmu bantu supaya maklumat yang dimasukkan ialah maklumat yang benar. Ilham ada di sekeliling dan terdapat banyak isu yang boleh dibangkitkan dalam karya.
“Masuk ke dalam cerita itu, hayatinya, kayakan dengan fakta-fakta dan masukkan budaya dan ilmu,” katanya.
Selain meminati karya Stephen King, Azmah meminati karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Ayat-ayat dalam karya Shahnon baginya amat hidup dan dirasakan terus ditarik untuk membaca penulisan Shahnon yang penuh gaya show don’t tell. Azmah juga banyak membaca karya klasik Inggeris dan menyalin semangat pengkaryaan penulis-penulis tersebut.
Sebagai membalas semula kebaikan dan peluang yang diterimanya, Azmah aktif membimbing ramai penulis muda dan banyak menjalankan program amal penulisan. Ramai anak didiknya mempunyai bakat dan berjaya menembusi tembok DBP dengan karya mereka.
Beliau membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin menulis dan memerlukan mentor. Azmah turut menegaskan penting bagi penulis untuk menulis dengan semangat memperjuangkan sesuatu supaya karya menjadi inspirasi kepada mereka yang mengalami situasi dalam isu yang dibangkitkan. Pesanan khasnya kepada penulis wanita adalah supaya menjadi pohon yang melindungi orang lain, terutamanya para wanita.
Tonton wawancara khas di sini.