Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHidayyah AT Mizi menyelami konflik diri dalam proses pengkaryaan sesebuah hasil tulisan.
Mengenali suara sendiri memerlukan keberanian untuk menulis dengan jujur, tanpa memikirkan penerimaan pembaca pada peringkat awal.
Setiap penulis, sama ada yang baru menjejak dunia pena atau yang telah berakar dalam dunia sastera, pasti pernah melalui detik-detik getir ketika mengarang sesebuah manuskrip. Proses pengkaryaan bukan sekadar menyusun kata menjadi ayat, tetapi melalui suatu proses pergelutan batin yang halus dan selalunya tidak terlihat dari luar. Di sinilah wujudnya pengalaman yang dinamakan sebagai konflik diri – pertentangan dalam jiwa penulis yang boleh memperlahankan atau bahkan menghentikan proses kreatifnya.
Salah satu konflik paling awal dan asas ialah pencarian suara. Ramai penulis terutama yang baru bermula sering bertanya: “Siapa aku dalam tulisan ini?” atau “Adakah aku meniru gaya orang lain?”
Keinginan untuk menyesuaikan diri dengan arus atau mencontohi penulis lain boleh menyebabkan identiti sebenar seorang penulis tenggelam. Hasil karya menjadi tidak jujur, dan hal ini seterusnya merencatkan perkembangan suara asli yang sepatutnya tumbuh daripada pengalaman dan pemikiran sendiri. Apatah lagi setelah kehadiran aplikasi kepintaran buatan (AI) yang berupaya membina jalan pintas dengan menyusun idea bagi pihak penulis.
Mengenali suara sendiri memerlukan keberanian untuk menulis dengan jujur, tanpa memikirkan penerimaan pembaca pada peringkat awal. Latihan menulis jurnal, surat kepada diri sendiri, atau esei reflektif secara konsisten boleh membantu menyingkap suara dalaman yang autentik. Usaha membaca pelbagai genre (yang mengambil masa) juga membantu memperluas horizon tanpa perlu terikat dengan satu gaya. Namun begitu, saya yakin tentang naluri manusia yang perlu dikembangkan oleh emosi, turut berperanan dalam menjadikan seseorang itu mempunyai suaranya sendiri.
Sesetengah karya lahir daripada luka, dan luka itu tidak semestinya telah sembuh. Ada penulis yang menggunakan tulisan sebagai ruang penyembuhan, namun ada juga yang tersekat dalam emosi yang belum selesai.
Saya pernah terbaca, ada dua jenis penulisan di dunia ini. Satu, menulis secara berstruktur untuk penerbitan. Kedua, menulis untuk menenteramkan gejolak dalam diri. Tulisan jenis yang kedua, ada kalanya tidak pun siap, memandangkan kurang sesuai diterbitkan di mana-mana penerbitan dan tulisan tersebut diadakan untuk mengurangkan keresahan penulis ketika menulis karya yang lain; namun merupakan suatu karya yang perlu ditulis.
Menulis tentang kehilangan, penderaan atau kegagalan boleh menjadi proses yang menyakitkan, dan hal ini boleh menyebabkan penulis memilih untuk menangguhkan atau memadamkan terus bahagian-bahagian penting dalam manuskrip mereka.
Proses menulis haruslah diiringi dengan kesedaran kendiri. Jika karya menyentuh aspek traumatik, penulis harus mengambil pendekatan yang perlahan dan penuh belas diri. Terapi seni dan sokongan komuniti penulis yang empati boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan ruang yang selamat untuk meneruskan proses penulisan.
Saya percaya bahawa penulis yang tidak berkonflik ialah penulis yang tidak menulis dengan jiwanya. Penulis perlu ada sesuatu untuk diceritakan, setelah itu barulah proses menulis akan bermula.
Ketakutan untuk menulis ayat pertama. Ketakutan untuk menyudahkannya. Ketakutan bahawa karya itu akan gagal di mata orang lain. Semua ini berpunca daripada bayangan ideal bahawa sesuatu manuskrip itu harus sempurna, licin dan tidak boleh cacat.
Boleh dikatakan, saya sendiri seorang yang perfectionist ketika mengerjakan karya. Saya sedar, saya tidak dilahirkan dengan bakat istimewa. Oleh itu, saya berusaha dengan pelbagai cara untuk menjadikan tulisan saya sampai kepada pembaca.
Untuk kebanyakan penulis, konflik ini kerap muncul pada fasa pertengahan pengkaryaan, apabila penulis mula membandingkan karyanya dengan karya orang lain, atau mula melihat kelemahan yang dirasakan tidak dapat diperbaiki. Saya berbeza. Saya berhadapan dengan konflik ini setelah tamat SPM ketika berdepan dengan examofobia menjawab kertas soalan Bahasa Melayu.

Saya percaya bahawa penulis yang tidak berkonflik ialah penulis yang tidak menulis dengan jiwanya.
Dahulu, saya selalu diperleceh: “Semua orang ada rasa gugup yang sama berdepan peperiksaan. Semua orang takutkan peperiksaan.” Akan tetapi, berapa ramai yang perlu mendapatkan pemeriksaan doktor sebelum peperiksaan berlangsung, ditemani oleh pengawas peperiksaan, kaunselor, guru, dan pensyarah sepanjang peperiksaan, malah diperiksa secara berkala oleh jurujawat dan doktor setiap kali menjawab kertas peperiksaan di klinik dan hospital?
Menyusun kata untuk saya ialah pekerjaan yang menyesakkan. Ketika saya mahu menyatakan sebarang idea, bermakna saya sedang berdepan dengan kefahaman dan pengurusan emosi untuk menyatakan fikiran.
Jadi, antara langkah pertama yang saya lakukan adalah dengan menerima bahawa draf pertama tidak perlu sempurna. Seperti kata Anne Lamott, “Almost all good writing begins with terrible first efforts. You need to start somewhere.”
Seharusnya, penulis juga perlu belajar untuk memisahkan diri mereka daripada karya, kritikan terhadap tulisan, bukan kritikan terhadap nilai diri.
Kritikan daripada seseorang, selagi tidak menyentuh peribadi penulis dan berada dalam konteks perbincangan karya, ialah kejujuran. Mungkin ada kalanya kedengaran keras, atau tidak sehaluan dengan kefahaman sedia ada. Jalan lebih baik adalah dengan membuka perbincangan secara terbuka kerana barangkali, ada sesuatu yang tidak diterangkan sebelumnya, dapat diperjelas sebaiknya melalui sesi perbincangan susulan.
Siapa tahu, ada sesuatu yang dapat diperoleh daripada perbincangan tersebut ketimbang menolak pandangan tidak selari sejak awal. Sebab itu, penulis perlu berani dan tidak perlu takut akan kritikan.
Selain itu, dengan mengamalkan kaedah penulisan bebas seperti teknik “freewriting”, penulis boleh memecahkan dinding perfectionism yang mengekang kreativiti.
Realiti hidup penulis sering dipenuhi pelbagai peranan. Dalam kesibukan harian, menulis menjadi tugas yang mudah diketepikan. Hal ini menyebabkan rasa bersalah, kecewa dan akhirnya mencetuskan keraguan terhadap keupayaan diri untuk menyudahkan manuskrip.
Menulis bukan semestinya berlaku dalam blok masa yang besar. Banyak penulis berjaya menyudahkan manuskrip dengan menulis 30 minit sehari secara konsisten.
Penjadualan waktu menulis secara realistik, menetapkan matlamat mingguan yang kecil, serta mewujudkan ritual ringkas sebelum menulis (seperti menghirup secawan kopi panas atau mendengar nada frekuensi) boleh membantu otak mengenali isyarat untuk masuk ke zon kreatif.
Keinginan penulis mengangkat isu sensitif—politik, seksualiti, agama, dan ketidakadilan sosial—tidak mungkin dapat ditulis tanpa menyentuh sensitiviti masyarakat yang menilai dan menapis dengan cepat, dan hal ini dapat menyebabkan ketakutan.
Ramai penulis terperangkap antara keinginan untuk jujur dengan ketakutan terhadap kecaman atau akibatnya. Akibatnya, karya menjadi tidak tajam, dan mesej yang ingin dibawa terpendam dalam lapisan-lapisan kiasan yang terlalu kabur.
Keberanian untuk menyatakan sesuatu harus diiringi dengan strategi. Menggunakan alegori, simbolisme atau gaya penceritaan eksperimental dapat menyampaikan mesej tanpa berdepan secara langsung dengan risiko penapisan. Di samping itu, membina jaringan pembaca awal (beta readers) yang dipercayai dapat membantu kita menilai, sejauh mana keberkesanan dan keselamatan sesuatu naratif diterbitkan.
Konflik diri bukan musuh yang harus dihapuskan, tetapi gejala semula jadi daripada proses kreatif yang jujur. Konflik diri juga menunjukkan bahawa penulis benar-benar mengambil serius dengan apa-apa yang ditulis, dan tidak sekadar menghasilkan teks untuk konsumsi kosong. Apa yang penting ialah cara seorang penulis bertindak balas terhadap konflik tersebut: adakah kita akan berhenti atau meneruskan meskipun perlahan?
Penulisan ialah proses menjadi, bukan hanya menghasilkan. Setiap ayat yang ditulis ialah cerminan keberanian untuk berdepan dengan diri sendiri. Dan di penghujungnya, manuskrip yang lahir daripada konflik dan penyembuhan ini akan memiliki jiwa yang tidak mudah luntur dek masa.
_________________________
Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya. Kumpulan puisi beliau, Dendam Perempuan Api kepada Bara (Kata-Pilar, 2025) berjaya mencapai Finalis Hadiah Puisi T. Alias Taib II 2025.