Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBeaufort – “Walaupun puisi esei masih baru di negara kita, namun perkembangan genre ini semakin berkembang saban hari”, jelas Tuan Abdullah Haji Ukin merangkap Timbalan Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) yang mewakili YB Datuk Haji Ruslan Muharam, iaitu Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri ketika merasmikan majlis “Pra Festival Puisi Esei” di Hotel Gem, baru-baru ini.
Antara pengisian yang diadakan ialah bengkel puisi esei, bengkel novel dan cerpen. Barisan penulis dan aktivis sastera yang cukup terkenal seperti Datin Haliza Matali, Encik Juri Durabi, Puan Salvia Rose telah dijemput sebagai panel pembicara. Selain itu, bengkel puisi turut diadakan yang disampaikan oleh Puan Noor Aisyah Maidin.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ybhg. Datuk Jasni Matlani, iaitu Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Beliau berkata;
BAHASA akan menjalankan dua program secara konsisten setiap tahun iaitu Festival Puisi Esei Antarabangsa dan Festival Penulis Antarabangsa Sabah.
Usaha ini akan disokong sepenuhnya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS). Ujar Puan Aminah Awang Basar selaku Pengarah DBPCS;
Inisiatif yang diusahakan oleh BAHASA sangat baik dengan mengundang aktivis sastera dan penulis Sabah yang prolifik untuk berkongsi idea kepada para pelajar dan masyarakat.
Seterusnya beliau menyumbangkan buku yang bernilai RM500.00 kepada Pusat Sumber PBBS.