Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAdib MN melaporkan kejayaan Pauline Fan sebagai penterjemah dari Malaysia yang berjaya meraih PEN Presents x International Booker Prize, suatu inisiatif yang mengangkat penterjemahan penerbitan Inggeris dan kesusasteraan dunia.
Program ini mengangkat suara dan usaha penterjemah dalam kalangan Global Majority, iaitu dunia yang jarang-jarang diberi ruang dalam sastera arus perdana Barat …
Penterjemah dari Malaysia, Pauline Fan diumumkan sebagai antara enam pemenang sulung PEN Presents x International Booker Prize 2025, edisi khas anugerah English PEN yang dilancarkan dengan kerjasama Booker Prize Foundation bagi menyokong penterjemah daripada komuniti Global Majority.
Pauline meraih kemenangan berharga itu melalui projek penterjemahan sampel sepanjang 5,000 perkataan daripada novel The Last Days of Jesselton karya pengarang Sabah, Ruhaini Matdarin dengan judul asalnya, Hari-hari Terakhir di Jesselton. Hari-hari Terakhir di Jesselton (2018) ialah novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2017/2018.
Selain Pauline, penterjemah yang terpilih ialah John Bengan dengan terjemahan The Man with a Thousand Names: Stories karya R Joseph Dazo (Filipina) daripada bahasa Cebuano dan Christian Jil R Benitez yang mengalih karya Time of the Eye karya Alvin B. Yapan (Filipina).
Turut memenanginya ialah Tiffany Tsao yang menterjemah karya Indonesia, The Born Out of Wedlock Club oleh Grace Tioso; Mayada Ibrahim dan Najlaa Eltom yang mengalih karya Ireem oleh Stella Gaitano (Sudan) serta Anam Zafar dengan Playing with Soldiers karya Tariq Asrawi (Palestin).
Pertandingan ini tidak memerlukan penterjemah mengalih bahasa keseluruhan karya, sebaliknya 12 penterjemah yang disenarai pendek diberikan dana sebanyak £500 (RM2,850) untuk menghasilkan sampel atau bahagian sepanjang 5,000 patah perkataan daripada karya yang dicadangkan.
Keenam-enam pemenang itu dipilih oleh panel merentas pelbagai bidang kepakaran yang dipengerusikan oleh Profesor Sastera Dunia dan Penulisan Kreatif di Universiti Newcastle merangkap Pengerusi Bersama Penasihat Penterjemahan English PEN, Preti Taneja.
Taneja mengetuai panel yang dianggotai oleh Rakan Sekutu Agensi Sastera RCW, Safae El-Ouahabi; Penterjemah dan Pengarang Eksekutif Words Without Borders, Elisabeth Jaquette; Pengarah Editorial Jonathan Cape, Zeljka Marosevic; Pengarah Penerbitan Flipped Eye, Nii Ayikwei Parkes; Urus Setia International Booker Prize, Fiammetta Rocco; dan penyair serta penterjemah bahasa Tamil, Shash Trevett.
Sementara itu, Taneja berkata, sampel terjemahan itu memperlihatkan hasil terbaik seperti yang disasarkan oleh PEN Presents x International Booker Prize dalam rangka untuk menyokong bidang berkenaan.
“Panel dengan pelbagai kepakaran dan persetujuan sebulat suara sangat berbangga kerana dapat membantu penterjemah ini membawa sampel terjemahan mereka ke dunia. Dengan kepakaran yang pelbagai dan persetujuan semua, panel dan saya amat berbangga menyokong para penterjemah ini atas sampel mereka yang mampu menembusi dunia penutur bahasa Inggeris,” katanya seperti dalam kenyataan di laman web English PEN.
Pandangan Taneja ini didukung oleh anggota panel penilai, Rocco, yang menegaskan bahawa anugerah itu penting untuk mengangkat suara penterjemah daripada komuniti Global Majority yang masih kurang diwakili dalam ranah penerbitan di United Kingdom (UK).
“Penterjemah yang memenangi International Booker Prize pada tahun ini, Heart Lamp, iaitu Deepa Bhasti ialah hasil karya pertama daripada bahasa Kannada (bahasa utama yang ditutur oleh lebih 65 juta penduduk di Karnataka, yang terletak di barat daya India), sekali gus penterjemah pertama daripada komuniti Global Majority.
“Kumpulan cerpen karya aktivis dan peguam India, Banu Mushtaq itu mencuri perhatian penerbit di UK selepas sampel terjemahan dipilih dalam pusingan awal PEN Presents, sekali gus menjelaskan kepentingan program ini,” katanya.
Keenam-enam karya itu turut mendapat pujian Will Forrester yang juga Ketua Program Sastera English PEN. Forrester menyifatkan bahawa kepelbagaian pemenang membuktikan nilai sebenar inisiatif itu.
“Berdasarkan tanggapan panel pemilihan, cakupan ini merangkumi ‘jenaka, kehangatan dan kejujuran yang berani’ dalam The Man with a Thousand Names kepada The Last Days of Jesselton yang ‘puitis dan penuh empati’; daripada The Born Out of Wedlock Club yang ‘nakal penuh jenaka serta sarat renungan terhadap identiti diaspora’ kepada Ireem yang digambarkan sebagai epik pelbagai generasi yang ‘bertenaga, epik merentas pelbagai generasi yang berdepan dengan konflik dan ketegangan’; daripada Playing with Soldiers dengan gambaran indah yang merenggut hati terhadap suka duka zaman kanak-kanak penuh asam garam di Palestin kepada Time of the Eye yang menghadirkan gambaran puitis menghantui dengan saga peribadi dan sejarah selama enam dekad di Filipina, kami pasti semua projek ini akan memikat editor, seterusnya pembaca berbahasa Inggeris di seluruh dunia,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Pauline seperti yang dipetik oleh Berita Harian, berkata beliau berbesar hati terpilih sebagai antara pemenang PEN Presents x International Booker Prize.
“Program ini mengangkat suara dan usaha penterjemah dalam kalangan Global Majority, iaitu dunia yang jarang-jarang diberi ruang dalam sastera arus perdana Barat.
“Saya amat teruja untuk memperkenalkan novel Hari-hari Terakhir di Jesselton oleh Ruhaini kepada penerbit dan pembaca dunia. Novel ini mengisahkan detik genting peralihan kuasa daripada pentadbiran British kepada penjajah Jepun di Borneo Utara (Sabah) dengan penuh kepintaran dan kehalusan, melalui tirai teater bangsawan dan denyut kehidupan watak tempatan,” katanya.
Tanpa dana yang besar dan kondusif untuk menampung kerja penterjemahan karya sastera, maka hal itu tidak akan dapat menarik lebih ramai penterjemah yang bagus-bagus …
Sebenarnya, usaha English PEN tersebut sepatutnya memberikan isyarat kepada institusi yang bertanggungjawab terhadap karya kesusasteraan tanah air bahawa proses penterjemahan ke dalam bahasa utama dunia terutamanya bahasa Inggeris tidak boleh dibiarkan bergerak secara “organik”.
Proses penterjemahan karya sastera tidak boleh dianggap sama dan setara dengan usaha menterjemah dokumen perniagaan yang bukan sahaja lebih menguntungkan dari segi nilai wang dan masa.
Hal ini kerana, penterjemahan karya sastera dunia terutamanya ke dalam bahasa Inggeris biasanya memerlukan pembiayaan tinggi kerana penterjemah perlu memberikan perhatian penuh dan mengambil masa berbulan-bulan untuk menyiapkan proses alih bahasa satu karya sahaja.
Oleh itu, apa-apa yang diperoleh penterjemah perlu cukup untuk menampung kehidupannya dalam beberapa bulan ketika menyelesaikan tugas penterjemahan itu, tanpa perlu mengambil kerja penterjemahan lain termasuk bidang kewangan.
Penterjemah bukan hanya perlu menguasai kedua-dua bahasa, iaitu bahasa asal dan bahasa sasaran, bahkan individu itu juga perlu memahami perbezaan dan nuansa dari segi sosiobudaya, yang bukan sahaja berbeza dalam konteks masyarakat yang berlainan, bahkan perlu mengambil kira perubahan zaman atau dekad.
Tanpa dana yang besar dan kondusif untuk menampung kerja penterjemahan karya sastera, maka hal itu tidak akan dapat menarik lebih ramai penterjemah yang bagus-bagus, malah lebih malang lagi, akan menjadi kerja sampingan sahaja.
Kita berharap agar dana yang diberikan oleh kerajaan sebesar RM50 juta turut mengambil kira agenda penterjemahan karya sastera tanah air yang betul-betul dirancang serta dilaksanakan secara strategik, sekali gus mementingkan mutu dan nilai sebenar sesuatu karya itu, yang bukan sahaja impaknya akan kembali kepada negara, bahkan sebagai warisan peradaban dunia.
Beli novel Hari-hari Terakhir di Jesselton di sini.
______________________________
Adib MN ialah eseis dan pengarang kreatif yang mengamati sastera dari jarak dekat.