Diterbitkan pada 12 Ogos 2025, 12:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nik Mohd Hafiz Abdullah memberikan pandangan yang berbeza daripada Irfan Fikri dengan menampilkan kekuatan (dan konteks penciptaan) puisi “Gawat Musim Gelora” Ramzah Dambul.

Berbekalkan semangat ‘Seni untuk Masyarakat’, Ramzal Dambul hadir dengan sebuah puisi, yang penulis rasakan bertujuan untuk menyinar harapan kepada dunia kelam pasca COVID-19.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 menampilkan pemenang kategori eceran puisi daripada kalangan penulis mapan. Tanpa dijangka, hal ini menimbulkan polemik hangat terutama dalam kalangan karyawan muda yang mahu karya penulis pelapis diberikan lebih perhatian.

Salah satu puisi yang diangkat sebagai pemenang merupakan puisi Ramzah Dambul bertajuk “Gawat Musim Gelora”. Maka tidak hairanlah puisi ini juga menjadi tumpuan perdebatan. Pelbagai reaksi dilontarkan dalam beberapa majalah sastera utama negara, tidak kurang juga di media sosial.

Satu perkara perlu difahami sebelum meneruskan perbincangan ialah, tahun 2021/2022 merupakan tahun-tahun yang sukar. Dunia dicengkam oleh wabak COVID-19 selama dua tahun dan manusiawi sedang pulih daripada ujian yang telah banyak merenggut jiwa. Banyak perniagaan dirundung muflis. Biar waktu sekalipun, seperti putus asa menghitung perjalanan hari. Dunia terhenti.

Berbekalkan semangat “Seni untuk Masyarakat”, Ramzal Dambul hadir dengan sebuah puisi, yang penulis rasakan bertujuan untuk menyinar harapan kepada dunia kelam pasca COVID-19.

“Gawat Musim Gelora” bermula dengan sebuah penyataan berbentuk retorik. Seawal baris pertama, Ramzah Dambul mengajak masyarakat yang mempunyai jiwa pejuang untuk terus meneliti baris-baris puisi seterusnya. Seperti berkata kepada jiwa-jiwa pengecut di luar sana, “puisi ini bukan untuk anda”.

Tidak dinafikan, penggunaan citra laut dalam “Gawat Musim Gelora” merupakan suatu pengulangan citra zaman-berzaman. Namun pernahkah kita bayangkan bagaimana perasaan berada di tengah-tengah lautan? Sebagai warga dunia yang sudah selesa berkenderaan di jalan darat, makan di restoran dan tidur di katil empuk, tidak mungkin kita dapat benar-benar merasai kegawatan jiwa ketika berlayar di samudera luas.

Maka, amat bersesuaian apabila Ramzah menggunakan imej lautan sebagai tunjang pada puisi beliau. Malah, pemilihan diksi oleh Ramzah untuk puisi tersebut seperti ‘nakhoda’, ‘gelora’ dan ‘samudera’ menyumbangkan elemen perjuangan bagi keseluruhan puisi. Tanpa berlengah, pembaca dihidangkan dengan suasana (ambien) yang sesuai dengan emosi (mood) puisi. Diksi yang diketengahkan saling melengkapi tanpa bertingkah antara satu sama lain.

Rangkap ketiga pula disusun oleh Ramzah Dambul dengan risiko di tangan. Masakan tidak, rangkap itu terbukti menjadi titik diskusi hangat selepas tersiar dalam Dewan Sastera, apatah lagi setelah memenangi HSPM 2021/2022. Walau bagaimanapun, penulis tidak mahu segera menuding jari. Penulis sedar sebagai seorang karyawan muda, selain keupayaan taakul terperinci, harus juga ada kesabaran tinggi. Lebih elok bersantun dalam berbahasa, bukan menebak tanpa usul periksa.

Tidak dapat disangkal, memahami puisi memerlukan kita untuk melihat pada konteks puisi tersebut ditulis. Konteks yang jelas boleh membantu pembaca mendalami niat puisi. Berkaitan puisi “Gawat Musim Gelora”, konteks yang ingin disampaikan oleh Ramzah Dambul pada rangkap ketiga memperlengkap kapal bagi menghadapi bala yang bakal tiba dalam pelayaran.

Seorang nakhoda yang bijak dan berpengalaman tidak mungkin merempuh cuaca buruk di lautan dengan semberono saja. Segala persediaan perlu dibuat bagi mengelakkan kapal terdedah pada terpaan ombak gedang atau ribut taufan. Sekukuh mana pun kayu, seteguh mana pun layar, nakhoda perlu tunduk pada kuasa alam. Antara berani meneruskan pelayaran untuk mengejar masa dengan bijak melabuhkan sauh bagi menyelamatkan kapal, di situ terletak bijak laksana seorang nakhoda.

Frasa “debur ombak” dan “desir taufan” juga boleh merujuk pengalaman seorang nakhoda meramal keadaan cuaca. Menerusi taakulan terhadap pergerakan angin dan kerenah air, seorang nakhoda tahu menilai keadaan cuaca sebelum segala-galanya terlambat. Bukankah lebih unggul jika seorang nakhoda dapat mengesan kedatangan taufan dengan hanya mentafsir desirnya saja?

Malah, jika tidak pada domain yang sama sekali pun, penulis percaya oksimoron masih dapat membawa getar sama, atau mungkin lebih lagi.

Dalam kesempatan ini, penulis tertarik dengan analisis Irfan Fikri tentang oksimoron. Penulis menghormati keberanian Irfan Fikri dalam usaha menyua buah fikiran bagi membuka mata dan jiwa pejuang puisi tempatan. Malah, beliau telah membuktikan dengan bacaan meluas, berjaya menambat ramai pengikut dan penyokong, termasuk penulis sendiri. Walau bagaimanapun, ingin penulis memberi pandangan bahawa, kata ‘desir’ dan ‘taufan’ sebenarnya berada dalam domain yang sama, iaitu hembusan angin. Maka, pada definisi Irfan Fikri, “desir taufan” bolehlah diterima sebagai oksimoron.

Malah, jika tidak pada domain yang sama sekali pun, penulis percaya oksimoron masih dapat membawa getar sama, atau mungkin lebih lagi. Sebagai contoh, Rudi Mahmood datang dengan “Bara Hujan” sebagai tajuk kumpulan puisi beliau. Kedua-dua perkataan bara dan hujan tidak berada dalam domain yang sama, tetapi kita dapat rasakan letusan rasa yang ingin disampaikan oleh Pak Rudi.

Setelah memahami konteks, rangkap keempat dan kelima menjadi lebih mudah difahami. Suatu kembara merentas samudera tidak mungkin dilakukan tanpa perancangan teliti tentang teluk mana untuk berlindung dan pelabuhan mana untuk berlabuh. Di sini, Ramzah sekali lagi menghidangkan frasa “kilas angin” dan “keluk arus” bagi menekankan peri penting ilmu di dada nakhoda. Keupayaan membaca kehendak cuaca menjadi sempadan antara hidup dengan mati.

Akhir sekali, bagi menutup puisi “Gawat Musim Gelora”, Ramzah Dambul menyeru pembaca untuk melihat ke dalam diri sendiri. Satu seruan untuk retrospeksi atau muhasabah diri. Walaupun tidak disebut secara zahir, frasa “menjinakkan diri sendiri” tentu sekali berkaitan dengan kekerdilan diri untuk menentukan kejayaan. Sehebat mana pun seorang nakhoda membelah samudera, segagah mana pun sesebuah kapal dan seluas mana pun ilmu tentang lautan, sudah tentu segala-gala tetap patuh pada kekuasaan Ilahi.

Kesimpulannya, penulis berpandangan bahawa puisi “Gawat Musim Gelora” mempunyai kelayakan yang mencukupi untuk diangkat sebagai pemenang HSPM 2021/2022. Adapun esei penulis bertajuk “Penulis Muda dan Cabaran Merintis Dunia Baharu Puisi” yang disiarkan dalam JendelaDBP Dewan Sastera bukanlah untuk mempertikaikan kemenangan mana-mana pemenang HSPM 2021/2022 (walau dengan segala kritikan yang ditimbulkan). Cuma, penulis sedikit terkilan, apabila mata lebah juri masih lagi menggunakan kanta yang sama sejak 10 tahun lepas. Penulis risau jika kanta sama terus digunakan, kita bakal kehilangan khazanah puisi berharga, yang sepatutnya memberi lebih kilauan pada ranah sastera Malaysia.

_________________________

Nik Mohd Hafiz Abdullah baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan cerpen dan puisi. Beberapa buah karyanya pernah tersiar dalam pelbagai media. Kini bertugas sebagai juruteknik kardiovaskular di Hospital Pakar KPJ Perdana, Kelantan.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi