Diterbitkan pada 10 Ogos 2025, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Irfan Fikri melanjutkan penilaiannya terhadap puisi “Gawat Musim Gelora” setelah siaran “Bila Desir Taufan Meracau”.

Puisi yang lahir daripada rahim kreatif itu tidak cukup jelas maknanya, tidak cukup terang perlambangannya, hingga terpaksa disusuli dengan pelbagai huraian, esei bahkan petunjuk makna yang mewajarkan satu pertanyaan getir …

Meneliti puisi bermasalah yang dimenangkan apatah lagi dalam anugerah semercu Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) rupa-rupanya membangkitkan satu rasa simpati kepada puisi itu sendiri yang dipaksa memikul beban intelektual yang tidak dapat ditanggung oleh tubuh maknanya. Masakan tidak, puisi itu yang kini dijadikan medan pembelaan bukan oleh pengkritik, tetapi oleh para peminatnya sendiri dan lebih aneh lagi, oleh penyairnya sendiri. Bukankah hal ini petanda bahawa puisinya sendiri telah gagal berfungsi sebagai sebuah puisi?

Dengan hal yang demikian, puisi yang lahir daripada rahim kreatif itu tidak cukup jelas maknanya, tidak cukup terang perlambangannya, hingga terpaksa disusuli dengan pelbagai huraian, esei bahkan petunjuk makna yang mewajarkan satu pertanyaan getir, adakah ini wacana simbolik, atau wacana penyesalan pasca penciptaan?

Saya tidak menolak bahawa sesebuah puisi mampu menimbulkan pelbagai tafsiran. Malah, kerencaman bacaan ialah nyawa bagi puisi untuk terus hidup lagi malar segar. Akan tetapi, menurut Cleanth Brooks, puisi agung memperlihatkan “the well-wrought urn”, iaitu kesatuan bentuk dan makna yang menjadikan metafora dan lambang itu jelas lagi nyata (“self-evident”), bukan “esoteric afterthought”, yakni fikir-susul yang hanya muncul setelah dihuraikan. Jika sesebuah lambang memerlukan makalah tambahan untuk difahami, itu bukan keunggulan puisi, tetapi kegagalan retoriknya sendiri.

Disebabkan itulah, kita tidak memerlukan nota kaki untuk memahami kekuatan puisi-puisi terkenal seperti “Kekasih” oleh Usman Awang, atau “Hujan Bulan Juni” oleh Sapardi, bahkan “All the world’s a stage” oleh Shakespeare. Dalam semua karya itu, lambang ialah nafas puisi itu sendiri, bukan bayang-bayang yang perlu diburu dengan peta luar seperti “Gawat Musim Gelora”.

Setelah terbukti ungkapan “desir taufan” dalam puisi itu bukan oksimoron, bukan paradoks, bukan ironi, bahkan tidak sah sebagai metafora puitik dalam mana-mana kerangka stilistika yang sah, maka saya mencuba satu-satunya jalur yang tampak memberi ruang, iaitu konsep “Al-Idhāfah” dalam nahu Bahasa Arab (rujuk Syarah Ibnu Aqil) yang turut ditemui dalam bahasa Melayu apabila wujud sandaran satu kata nama (Mudhāf) kepada kata nama lain (Mudhāf Ilāih) untuk menghasilkan makna yang bersenyawa, seperti frasa anak bulan dan lidah api.

Berpandukan konsep nahu itu, maka “desir taufan” boleh ditafsirkan sebagai desir yang berpunca daripada taufan, atau desir yang kemudiannya membentuk taufan. Namun sejurus saya menimbang sudut ini, saya sedar bahawa pembacaan sedemikian hanyalah satu sisa belas daripada sistem nahu, bukan sistem makna yang hidup dalam puisi.

Hal ini berlaku kerana bangsa Melayu selaku bangsa berperadaban maritim, yang akrab dengan gelora dan berguru dengan angin, bukanlah bangsa yang membesar-besarkan desir. Mereka tidak meraikan remeh-cemek deru angin, tetapi menamakan hembus bayu dengan ketelitian pengalaman dan ketajaman pemerhatian.

Dalam kebijaksanaan pelayaran, bangsa Melayu mengiktiraf dan menamakan satu demi satu watak angin yang mencorakkan arah dan bahaya sebagai Angin Kelambu Meunggal, Angin Kelambu Sebelah, Angin Tikus, Angin Tumbuk Kurung, Angin Timba Ruang, Angin Sendalu, Angin Berohok, Angin Cekang Kelat, Angin Sakal, Angin Badai, Angin Selembubu, Angin Puyuh, Angin Pengerak Pagi, Angin Sicarik Kafan, Angin Tajam Temilang, Angin Puting Beliung, Angin Bedil Berjanggut, Angin Payung Ali, Angin Silautan Tulan, Angin Sihampar Rebah, malah Angin Ekor Duyung, yang setiap satunya lahir daripada keintiman mereka dengan laut dan langit.

Namun begitu, tidak pernah tercatat dalam leksikon pelayaran mereka satu jenis angin yang digelar “desir”. Hal ini tidak wujud dalam kosmologi laut orang Melayu, bukan kerana mereka tidak mendengarnya, tetapi kerana desir terlalu kecil untuk diberi nama, terlalu jinak untuk dianggap ancaman, terlalu lemah untuk menuntut perhitungan. Ketiadaan “desir” dalam kosa kata pelayaran ini bukanlah satu kelalaian linguistik, tetapi satu kenyataan epistemik betapa desir bukan sebahagian daripada trauma laut, bukan unsur dalam kamus bahaya pelaut Nusantara.

Bahkan, rangkap maksud pantun Melayu yang masyhur mengungkapkan hal ini dengan tegas:

……….Kalau takut dilambung ombak,
……….Jangan berumah di tepi pantai.

Rangkap tidak berbunyi, “Kalau takut pada desir, jangan berani bermain bayu.” Peribahasa ini bukan sekadar nasihat geografi, bahkan prinsip hidup maritim bahawa keberanian diasah untuk menghadapi yang besar, yang menggoncang, yang menguji sendi tubuh dan akal. Dalam pandangan sarwa Melayu, persediaan sebenar bukanlah untuk mengelak desir, tetapi untuk mendepani ombak. Rumah yang dibina di tepi pantai mestilah seteguh tekad si pembinanya bukan untuk menolak desir, tetapi untuk bertahan tatkala taufan menerjang.

Demikianlah, para nakhoda Melayu, pewaris hikmah laut bukan sahaja memiliki peta bintang dan hala angin, tetapi juga pemahaman mendalam tentang fenomena alam, isyarat gelombang, dan teknologi perkapalan yang memungkinkan mereka berlayar jauh ke tengah samudera. Mereka bukan pelaut panik yang gentar pada desir, tetapi pengembara agung yang telah mengintai badai, menilik arus sembari menjinakkan gelombang.

Justeru, menjadikan “desir” sebagai simbol musim gelora ialah satu bentuk penyimpangan terhadap falsafah maritim bangsa Melayu, satu pengkhianatan terhadap ukuran yang diwarisi daripada akal budi dan pengalaman bangsa berabad-abad lamanya.

Jika pun ingin membayangkan liciknya permainan politik yang diam-diam menikam, maka banyak perlambangan lain yang lebih jitu berbanding desir yang kehadirannya tidak sampai mengancam. Kias duri dalam daging, gunting dalam lipatan, api dalam sekam jauh lebih menerkam. Tidak salah mencipta perumpamaan baharu, namun dalam konteks “Gawat Musim Gelora”, adakah keinginan penyair untuk tampak berbeza telah menumpulkan logik puisi itu sendiri?

Saya percaya metafora agung tidak memerlukan pembelaan. Ia menjelma seperti petir. Sekali pancar, terang seluruh semesta. Tetapi desir? Desir hanya berbisik kepada mereka yang sudah bersetuju untuk tidak mendengar badai. Mungkin dalam tradisi bangsa penyair “Gawat Musim Gelora” ini, hal mengukur desir taufan adalah teramat mustahak.

Jika benar begitu, maka saya berlepas diri daripada memahami puisinya lebih lanjut dengan pandangan sarwa khusus sebegitu. Akan tetapi, tidak pelikkah puisi dengan pandangan sarwa yang asing lagi canggung daripada pandangan alam Melayu itulah yang dijulang-julang di atas bumi di mana bangsa Melayu hidup membesar dan berseni? Arakian, wajar dipersoalkan, siapakah yang sebenar-benarnya yang membuat onar?

Jika dibaca secara keseluruhan pun, “Gawat Musim Gelora” gagal mencipta ruang intersubjektif antara penyair dengan pembaca yang merupakan satu syarat asas yang diperjuangkan dalam pendekatan fenomenologi oleh Edmund Husserl dan Hans-Georg Gadamer. Dalam pandangan mereka, puisi bukan sekadar saluran ekspresi individu, tetapi medan temu antara dua kesedaran, iaitu kesedaran pengarang dan kesedaran pembaca, yang saling membuka diri untuk dialektik makna.

Namun dalam puisi ini, yang terjadi ialah monolog suara tunggal yang memberi arahan secara langsung tanpa membuka ruang renung. Baris seperti “kau kenal kapalmu, kau kenal lautmu, jangan kau lupa membaca dirimu” ialah rentetan imperatif yang menyerupai kalimat dalam bengkel motivasi atau ceramah kepimpinan korporat. Demikian, makna dalam puisi ini tidak lahir daripada pertukaran atau pengalaman bersama, tetapi dipaksakan secara sepihak seraya menjadikan penyairnya bukan sebagai penjelajah makna, tetapi pendakwah yang muktamad hujahnya.

Meminjam istilah Roland Barthes melalui S/Z (1970), puisi ini bukanlah writerly text yang merangsang pembaca untuk turut menulis makna baharu, tetapi readerly text yang hanya mengarah cara membaca. Natijahnya, “Gawat Musim Gelora” tidak memberi ruang kepada pembaca untuk menjadi makhluk yang berfikir dengan mendalam sembari hanya makhluk yang bersetuju diam.

Jika benar begitu, maka saya berlepas diri daripada memahami puisinya lebih lanjut dengan pandangan sarwa khusus sebegitu …

Struktur simbolik yang digunakan dalam puisi ini semisal kapal, laut dan diri pada mulanya kelihatan sebagai susunan tiga lapis yang sekali imbas seperti menjanjikan simbolisme dalam, namun akhirnya terbukti sekadar hiasan retorik yang membosankan. Kita telah terlalu biasa dengan struktur falsafah makna ini yang popular diceramahkan dalam program kursus jati diri dan bina insan, bahkan ucapan-ucapan retorik kepimpinan apabila sebuah kenderaan (kapal) yang mengemudi cabaran (laut) adalah demi mencapai matlamat (diri).

“Gawat Musim Gelora” demikian nihil usaha untuk menyimpang daripada konvensi, tidak ada permainan ironi atau penyongsangan makna yang boleh membuka jalan-jalan baharu dalam pembacaan.

Jika dibandingkan dengan puisi besar seperti karya Amers oleh Saint‑John Perse (1957), apabila laut bukan sekadar medan cabaran, bahkan lambang ketidaktentuan, kehilangan, kenangan, juga pencarian makna eksistensial. Malah, dalam khazanah pemikiran sasterawan seperti Paul Valéry, laut dalam “Le Cimetière Marin” diangkat sebagai landskap metafizik, sebuah alegori falsafah yang mempertautkan kefanaan dan keabadian, menggentarkan kesedaran insan terhadap detik masa yang mengalir, serta menelanjangkan renungan tentang kematian sebagai hakikat yang tidak dapat dielakkan.

Dalam “Gawat Musim Gelora”, laut hanyalah apa-apa yang telah kita sangka, yakni tempat untuk diuji sekadarnya cuma. Maka, struktur ini gagal berfungsi sebagai wadah artistik, sebaliknya hanya menjadi susunan slogan yang dimetrikkan secara longgar.

Dari segi teknik, penggunaan anafora seperti “kaukenal… kaudapat… kaukenal… kaudapat…” tidak menambah apa-apa kedalaman puitik, malah hanya menyerlahkan betapa datarnya bentuk bahasa yang digunakan. Dalam teori puitika Michael Riffaterre, puisi agung harus mencipta ungrammaticalities, yakni penyimpangan daripada struktur bahasa lazim yang akan mencetus efek defamiliarisasi, dengan demikian membuat yang biasa jadi luar biasa.

Namun puisi ini kekal dalam landasan persis bahasa harian, tiada sintaksis yang disongsang, tiada ritma yang memecah jangkaan, malah tidak menimbulkan gangguan yang menawan hinggakan dirasakan gawat dalam bait-baitnya dibuat-buat tanpa sekelonet gelora pun. Kesimpulannya, puisi ini tidak menggugat dan dalam seni puisi, yang tidak menggugat itu selalunya tidak meninggalkan jejak.

Kesemua kegagalan ini akhirnya membawa kepada satu kesimpulan yang mungkin pahit untuk ditelan, namun wajib diungkap betapa “Gawat Musim Gelora” bukanlah sebuah puisi agung, sebaliknya tidak lebih daripada sebuah manual motivasi yang dikurung dalam sangkar puisi nasihat langsung.

Darihal itu, tinggal hanya dua jalan untuk terus mempertahankan keunggulan “Gawat Musim Gelora”, jika benarlah ada. Pertama, menolak segala hujah dalam tulisan ini, juga yang terdahulu, dengan hujah alasan yang lebih kukuh; atau kedua, membuktikan mengapa tulisan seumpama ini wajar dijulang begitu tinggi.

Soalnya kini pula, di bahu siapa harapan itu hendak kita sandarkan? Ah, tentunya pada tangan-tangan yang mula-mula sekali mengangkatnya sebagai sebuah karya besar.

_________________________

Irfan Fikri, susuk generasi baharu yang belum mencecah empat dekad usia, membesar bersama-sama helaian Dewan Sastera dan Tunas Cipta, dua bacaan utama yang menumbuhkan minat hingga menggerakkannya berkongsi pemerhatian tentang denyut nadi kesusasteraan tanah air.

Kredit Foto: Art Institute of Chicago
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi