Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMarsli N.O memberikan reaksi terhadap isu Hadiah Sastera Perdana Malaysia baru-baru ini dan persoalan sastera yang bermakna.
Namun secara dalaman yang lebih inti, tidak semua sasterawan Melayu Malaysia menganggap pencapaian tertinggi diri dan karya mereka diukur melalui kejayaan dalam HSPM semata-mata.
Pandangan dan pendapat yang diutarakan oleh sejumlah oknum selepas pengumuman pemenang dan penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 pada hemat saya, tidaklah tepat jika dianggap sebagai suatu bentuk polemik dan kritikan yang bersifat negatif, umpama pepatah “rumah siap, pahat pun berbunyi”.
Sehubungan itu, saya amat bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh Adib MN dalam tulisannya, “HSPM: Jadikan Gema ‘Rumah Siap Pahat Berbunyi’ Lebih Bermanfaat” dalam siaran Jendela DBP Dewan Sastera, 23 Julai 2025.
Menurut Adib MN, “polemik dan kritikan yang menyusul selepas HSPM 2021/2022 tidaklah membawa konotasi negatif, seperti pepatah ‘rumah siap pahat berbunyi’ itu, sebaliknya menjadi penunjuk, sekurang-kurangnya sastera Malaysia masih berada dalam radar kesedaran dan keprihatinan khalayaknya, walaupun mungkin kehadirannya tidak dipedulikan oleh masyarakat umum.”
Secara peribadi, penulis melihat apa-apa yang persoalkan oleh banyak oknum bukanlah soal mengapa karya mereka secara peribadi tidak “dimenangkan”, sebaliknya lebih kepada soal juri dan penjurian.
Malah, tidak keterlaluan dikatakan bahawa yang paling ketara disentuh serta “dipersoalkan” ialah siapa yang menjadi juri dan aspek penjurian, khususnya dalam genre puisi.
Tidak sahaja di wadah Jendela DBP Dewan Sastera, singgungan ini juga dapat dibaca, antara lain pada pautan ini.
Kerancakan singgungan ini, menurut hemat saya, bermula sebaik-baik sahaja tersiarnya laporan berita oleh Intan Syuhada dalam Jendela DBP Dewan Sastera,12 Julai 2025.
Dalam laporan berita tersebut, selain menyatakan pendapat seorang juri, oknum berkenaan secara terbuka juga telah mendedahkan dirinya kepada penilaian khalayak untuk turut sama membuat perbandingan antara hal yang “dinasihatkan” dengan pencapaian karya puisinya sendiri.
Malah, pada waktu sama, ramai yang turut mempersoalkan atas kelayakan dan kewibawaan apakah oknum ini telah dipilih oleh pihak penganjur HSPM sebagai salah seorang juri genre puisi, sedangkan nama seperti Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Anwar Ridhwan (sekadar contoh) dianggap lebih layak dan berwibawa.
Di sinilah kelihatannya yang berperilaku seperti pahat sebenarnya. Malah, jika alasannya tidak mahu mengecewakan pemberita yang bertanya sekalipun, tentu sahaja masih ada jawapan dan alasan yang lebih bijaksana bahawa pertanyaan tersebut akan dijawab dalam laporan panel nanti.
Namun secara dalaman yang lebih inti, tidak semua sasterawan Melayu Malaysia menganggap pencapaian tertinggi diri dan karya mereka diukur melalui kejayaan dalam HSPM semata-mata.
Memang tidak dinafikan, setiap tahun apabila diumumkan senarai penerima HSPM, ramai yang mula bercakap dan mempersoalkan. Ada yang gembira kerana terpilih dan ada yang kecewa kerana tidak tersenarai. Namun begitu, tidak kurang juga yang berpura-pura tidak kisah walaupun dalam diam, hati mereka remuk.
Hakikatnya, HSPM tetap dianggap sebagai satu pengiktirafan tertinggi dalam dunia sastera Malaysia. Mereka percaya, jika karya mereka menang, maka itulah tanda mereka telah berjaya sebagai penulis. Mereka juga percaya, jika tidak menang, maka mungkin karya mereka belum cukup hebat.
Namun begitu, betapa pun menghormati kewujudan anugerah ini, tidak semua sasterawan menganggap gagal dan berjaya diri mereka semata-mata diukur melalui jaya dan gagalnya karya mereka menerima salah satu hadiah daripada HSPM.
Walau mungkin jauh di sudut hati, ada yang tetap memilih sikap untuk tidak menolak jika menerima atau dianugerahi sesuatu anugerah, namun mereka tidak terperangkap dengan kepercayaan penilaian itu.
Bagi mereka, dunia sastera dan penulisan bukanlah perlumbaan meraih pingat. Dunia sastera bukan seperti sukan yang jelas pemenangnya; siapa yang sampai dulu di garisan akhir. Dalam sastera, siapa yang benar-benar “sampai” tidak semudah itu untuk diukur.
Bagi mereka, sastera yang paling bermakna bukan semata-mata kerana memenangi sesuatu hadiah, tetapi yang turut menang dan terus hidup di hati masyarakat. Mereka percaya, kata-kata yang ditulis dengan jujur akan terus hidup, walaupun tidak pernah menang sebarang anugerah.
Dengan kepercayaan inilah, mereka memilih untuk menjadi penulis atau sasterawan yang merdeka, yang bebas menulis kerana kejujuran hati nuraninya sendiri dan bukan kerana dia mahu dipuji atau terlalu mendambakan sesuatu hadiah, sehinggakan sanggup sebelum menghasilkan sesuatu karya, mengkaji (mengagak) aspek serta kegemaran dan selera para juri, agar setiap karya yang dihasilkannya menarik perhatian para juri dan meraih hadiah.
Kesimpulannya, hal yang dianggap sebagai suatu bentuk polemik dan kritikan yang bersifat negatif seumpama pepatah “rumah siap, pahat pun berbunyi” itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang lahir daripada rasa tidak puas hati mereka yang kecewa kerana tidak meraih sesuatu hadiah atau kemenangan daripada HSPM 2021/2022 kali ini.
Sebaliknya, hal ini merupakan satu “isyarat” yang ingin disampaikan kepada pihak penganjur HSPM agar lebih teliti dan berhati-hati memilih para juri, terutamanya bagi genre karya tertentu.
Saranan dan syor-syor yang dinyatakan oleh banyak oknum di ruang ini bukanlah sekadar “pahat yang berbunyi”, kerana kebenaran serta kelogikannya menuntut perhatian serta pertimbangan wajar pihak penganjur HSPM.
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian.