Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Walaupun puisi penyajak muda memiliki gaya penyampaian yang dinamik, namun karya mereka belum cukup kuat untuk memenangi kategori Puisi Eceran, Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022.
Menurut juri kategori Puisi Eceran HSPM, Datuk Dr. Lim Swee Tin, ramai penyair muda berjaya lolos ke peringkat akhir namun kurang menonjol dari aspek pemikiran, teknik penciptaan dan bahasa.
“Pengarang muda bukan tidak bagus, kami terima ratusan penyertaan sajak yang dibincangkan, dibahaskan dan didebatkan dalam kalangan juri.
“Tidak dinafikan, ada karya puisi anak muda mempunyai kekuatan dari aspek gaya penyampaian yang dinamik menyebabkan mereka lolos ke peringkat akhir.
“Namun apabila karya itu bersaing dengan puisi yang lain, kita lihat tulisan mereka masih belum cukup kuat untuk menang.
“Pengalaman pengarang yang terbatas membuatkan mereka terkeluar daripada menjadi salah seorang pemenang.”
Tambah Lim lagi, penyajak muda Malaysia tidak seharusnya patah semangat, sebaliknya terus berani meneroka pemikiran baharu, merenung dan mengajak masyarakat bergerak ke hadapan.
“Pengarang muda tidak perlu kecewa. Jika saya diizinkan berkongsi nasihat, saya berharap agar penyajak muda boleh meneroka satu pemikiran yang boleh ‘mengejutkan’ masyarakat. Kita kena pertahankan sastera Melayu yang mana sifatnya sentiasa berkembang.
“Saya fikir, penyajak muda perlu ada strategi dan memberikan sebuah pembaharuan. Jangan ulang cerita sama yang tidak relevan. Mereka perlu rajin mencari, merenung dan berfikir,” katanya yang sudah menjurikan HSPM sejak tahun 2001.
Sehubungan itu, dalam penilaian prestasi keseluruhan karya untuk kategori Puisi Eceran, Lim berpendapat bahawa rata-ratanya masih berada pada tahap sama berbanding HSPM 2019/2020.
“Saya ada pandangan yang mungkin berbeza dengan orang lain. Dengan pengalaman menjadi juri beberapa tahun, saya berani mengatakan bahawa tidak ada peningkatan yang mengujakan.
“Memang saya akui ada karya menunjukkan kekuatan khusus, tetapi masih belum menawarkan pemikiran baharu.
“Bagi saya, hal itu amat penting untuk meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap kesenian,” tambahnya.
Selain Lim Swee Tin, juri lain yang turut mengadili pusingan akhir kategori Puisi Eceran ialah Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari dan penyair Siti Zaleha M. Hashim.
Sebanyak 10 karya telah diangkat sebagai pemenang, antaranya termasuklah “Perlumbaan Arnab dengan Kura-kura” (SN Zurinah Hassan), “Dari Senja Hingga Senja Lagi” (Zaen Kasturi), “Gawat Musim Gelora” (Ramzah Dambul), “Hikayat Esok” (Abizai), “Penjual Doa” (Abdul Mubin Ismail), “Perahu Upaya” (Shapiai Muhammad Ramly), “Lidah yang Dirindukan Ular” (Norawi Hj. Kata), “Mot Juste” (Raihani Mohd Saaid), “Lelaki yang Kehilangan Kunci” (Ratna Laila Shahidin), dan “Pencuri Pakaian” (Zamhari Bakti).
Terdahulu, Majlis Penyampaian HSPM 2021/2022 diadakan di Hotel Zenith, Putrajaya.