Oleh Harlym Yeo
27 Oktober 2021, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Nipiskan emosi tapi tebalkan elemen intelektual apabila kita berkarya yang khusus mengangkat tema bahasa,” pesan Dr. Lim Swee Tin semasa bersiaran dalam program Apresiasi Puisi bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan pada 23 Oktober lalu.

Alumni Bengkel Puisi Merdeka menganjurkan program Apresiasi Puisi bersempena Bulan Bahasa Kebangsaan secara dalam talian pada hari Sabtu, 23 Oktober 2021, jam 9.00 malam. Acara ini dipancarkan secara langsung melalui Facebook Alumni – Bengkel Puisi Merdeka bersama-sama Dr. Lim Swee Tin.

Dr. Lim Swee Tin memberikan taklimat berkaitan karyawan yang menulis tentang tema bahasa dalam karya mereka. Dr. Lim menasihatkan para penonton apabila berkarya, suntikan elemen intelektual penting dan diperlukan oleh generasi kita, terutamanya generasi baharu yang bergelumang dengan pelbagai bentuk ilmu, bahkan mereka sudah jauh pergi merayau ke serata penjuru benua dan pelosok dunia. Oleh yang demikian, generasi ini menuntut karya yang lebih besar dan bersifat intelektual daripada penulis.

“Hasilkan pandangan dan idea yang baharu dan terkehadapan, agar generasi muda berminat. Ketika menulis, penulis perlu keluar dari kepompong peribadi. Jangan menulis tentang aku,” kata Dr. Lim Swee Tin.

Program Apresiasi Puisi kali ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh Alumni Bengkel Puisi Merdeka. Dimulakan pada bulan September bersempena Bulan Kebangsaan atas kesedaran dan semangat bagi memartabatkan seni puisi dalam kalangan khalayak umum, di samping melestarikan pembelajaran dalam penulisan puisi yang dibimbing oleh Dr. Lim Swee Tin secara dalam talian, pada tahun lalu. Penganjuran program kali ini bertujuan mengangkat persoalan kebahasaan untuk menobatkan martabat puisi dan memperkasakan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat umum dan pencinta puisi tanah air.

“Saya terharu yang amat dan sangat teruja apabila diberitahu satu malam khusus untuk acara deklamasi dan karya-karya saya akan dialunkan oleh para deklamator hebat malam ini,” ucap Dr. Lim ketika diminta memberi sepatah dua kata sebelum acara dimulakan.

Program Apresiasi Puisi ini menampilkan 12 orang deklamator, yang melibatkan Alumni Bengkel Puisi Merdeka bimbingan Dr. Lim dan beberapa deklamator serta penyair yang aktif, termasuk Johan Kebangsaan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan 2021 anjuran GAPENA, iaitu Mohd Fauzi Jamikah. Beliau menyampaikan sajak berjudul “Rimbun Bahasa” dengan penuh semangat dan penghayatan melalui bait-bait puisi, antaranya: “rimbunnya merendang memayungi bumi dan bangsa ini sampai abadi”.

Naib Johan Sayembara Puisi Artistik Pemuisi Peringkat Kebangsaan 2020 dan deklamator Angkatan Tentera Malaysia, Siti Nur Aini Jasni atau nama penanya, Bunga Merah mendendangkan syair dan bersajak lewat puisi beliau sendiri yang bertajuk “Gemilang Citrawarna Budaya”.

Peserta jemputan, seorang pensyarah dari UiTM Puncak Perdana, Shah Alam, Dr. Zainatul Shuhaida Abdul Rahman, yang bergiat menulis selama 20 tahun dalam penulisan skrip drama pentas dan puisi, mendeklamasikan puisi berjudul “Indahnya Bahasaku” karya Dr. Lim.

Satu-satunya peserta dari Brunei, Sosonjan A Khan yang berasal dari Sabah dan juga merupakan penulis novel, cerpen, puisi, esei, skrip drama pentas, skrip televisyen, serta seorang penyair menegaskan kecintaannya terhadap bahasa Melayu melalui karya Dr. Lim berjudul “Masih Bahasaku”.

Peserta Alumni Bengkel Puisi Merdeka yang juga merupakan Pensyarah Kanan Kesusasteraan Melayu di Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pengerusi Biro Negeri Perlis, Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI), Profesor Madya Dr. Nor Hasimah mengalunkan puisi berjudul “Citra Bahasa” karya Dr. Lim.

Khalayak penonton juga disajikan dengan kepelbagaian persembahan bahasa dan sajak terjemahan bahasa Inggeris, pengucapan kepentingan bahasa menerusi persembahan loghat Kelantan, dan semangat tulisan Jawi yang perlu dikekalkan.

Tidak mustahil bagi orang Kelantan seperti Rusdi MN yang mempersembahkan puisi loghat Kelantan karya Dr. Lim berjudul “Hok Sengoti”, walaupun beliau kini sudah menetap di Sibu, Sarawak.

Alunan deklamasi dan aksi yang menawan dengan kemerduan suara guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan Seri Setiawan, Perak, iaitu Nurul Aini Adnan tidak dapat dinafikan, melalui persembahan sajak dalam bahasa Inggeris, “The Reading City” atau “Kota Baca” terjemahan Dr. Hasnah Ibrahim. Nurul Aini juga merupakan pemenang Bronze Art Award daripada British Arts Council.

Dalam persembahan pengacara gandingan Lim Ah Nee, beliau mengabadikan semangat tentang tulisan Jawi yang mampu diterjemahkan isi dan semangat bahasa Melayu menerusi deklamasinya lewat sajak berjudul “Nirmala Sukma” karya Dr. Lim.

Turut meluahkan apresiasi tentang tulisan Jawi ialah Guru Ikon Seni Budaya Kebangsaan 2020 dan penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015, Rohaidah Yon dengan sajak Dr. Lim berjudul “Jim Alif Wauya”.

Peserta-peserta lain yang turut menjayakan program dengan mendeklamasikan puisi karya Dr. Lim termasuklah bekas pesakit COVID-19, Norazilah Amir Basan (Ratu Rugu-rugu) yang memilih sajak berjudul “Covid dan Bahasa”, Abd. Hamid Abd. Halim (Ammet) beraksi dengan sajak “Sayap Bahasa di Rentas Benua”, Yeo Hock Lim (Harlym Yeo) menghanyutkan penonton dengan persembahan beliau yang berjudul “Kapal Bahasa”.

Program Apresiasi Puisi ini dihoskan oleh Pengasas dan Presiden Alumni Bengkel Puisi Merdeka yang juga Pengarah Program dan Pengacara, Harlym Yeo bersama-sama pasangan pengacaranya, Lim Ah Nee.

“Harapan kami di Alumni Bengkel Puisi Merdeka agar program ini dapat diteruskan setiap bulan secara maya dengan mengambil konsep sempena dengan sesuatu sambutan.

“Bulan akan datang, kami bercadang untuk mengadakan program Apresiasi Puisi Ilmuwan bersempena dengan bermulanya semester di kebanyakan universiti. Kami akan mengundang para profesor pensyarah pelbagai bidang menyampaikan puisi supaya puisi semarak dalam kalangan ilmuwan selaras dengan misi kami dalam pengukuhan merakyatkan seni puisi,” ujar Harlym Yeo lagi.

Tonton program penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.