Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 menyaksikan peningkatan dalam jumlah nilai hadiah yang ditawarkan kepada para pemenang, berbanding edisi sebelumnya pada tahun 2019/2020.
Penganjuran anugerah ini merupakan antara usaha berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha mengangkat martabat bahasa dan sastera kebangsaan serta memberikan pengiktirafan kepada para penulis tanah air yang menghasilkan karya bermutu tinggi.
Bagi Kategori A yang melibatkan karya dalam bentuk buku atau kumpulan karya, seperti novel, kumpulan puisi, kumpulan cerpen, kumpulan drama, kumpulan esei/kritikan sastera, buku kajian sastera serta biografi dan memoir, setiap genre kini menerima hadiah sebanyak RM10,000 berbanding RM8,000 pada penganjuran sebelum ini.
Sementara itu, Kategori B yang melibatkan karya eceran seperti puisi, cerpen, drama, dan esei yang disiarkan dalam majalah, jurnal, akhbar, atau antologi, menawarkan hadiah sebanyak RM2,000 bagi setiap genre, berbanding RM1,500 pada edisi lalu.
Kategori C dan D pula masing-masing memperlihatkan peningkatan daripada RM3,000 kepada RM5,000 bagi setiap genre.
Kategori C menumpukan karya sastera kanak-kanak, manakala Kategori D memberi penghargaan kepada karya sastera remaja.
Dalam sidang media Majlis Penyampaian Hadiah HSPM 2021/2022 yang berlangsung petang tadi di Menara DBP, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari memaklumkan bahawa kesemua karya yang dipertandingkan telah melalui proses penilaian yang teliti oleh panel penilai profesional, yang terdiri daripada tokoh sastera dan akademik.
“Penilaian dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama seperti mutu bahasa, kekuatan tema, kreativiti persembahan dan kesan terhadap pembaca,” ujarnya.
HSPM bagi edisi kali ini menerima sebanyak 3,555 penyertaan merangkumi empat kategori.
Kategori A mencatatkan sebanyak 165 penyertaan, manakala Kategori B menerima jumlah penyertaan tertinggi bagi edisi ini, iaitu 3,203 buah karya. Kategori C dan D pula masing-masing menerima 129 dan 58 penyertaan.
Kategori A merangkumi karya sastera dewasa/umum yang diterbitkan dalam bentuk buku atau kumpulan karya dan perlu diterbitkan buat pertama kali dalam tempoh penilaian, iaitu tahun 2021 hingga 2022.
Untuk genre puisi, cerpen dan drama, syarat tambahan ditetapkan, iaitu dua pertiga daripada karya dalam buku tersebut mestilah dihasilkan dalam tempoh 10 tahun daripada tahun penilaian.
Kategori B pula memberi tumpuan pada karya eceran yang disiarkan dalam pelbagai medium penerbitan seperti akhbar, jurnal, majalah, dan buku antologi.
Genre yang dinilai termasuklah puisi, cerpen, cerpen remaja, drama, serta esei/kritikan sastera dalam bentuk ilmiah dan separa ilmiah. Penilaian bagi genre drama eceran turut mengambil kira bukti pementasan, seperti gambar, poster atau brosur promosi.
Kategori C mengiktiraf karya kanak-kanak yang sesuai untuk pembaca bawah umur 12 tahun dalam genre puisi, cerpen, novel, drama pentas, dan buku bergambar, manakala Kategori D merangkumi karya untuk golongan remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun yang diterbitkan dalam genre puisi, cerpen, novel, dan drama pentas.
Majlis penyampaian HSPM 2021/2022 akan diadakan pada 10 Julai 2025 bertempat di Hotel Zenith Putrajaya yang akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.