Diterbitkan pada 15 April 2026, 12:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Seorang pengarang memerlukan stamina dan ketekunan yang tinggi untuk kekal bekerja (mengarang) dengan baik. Salman Sulaiman menampilkan semangat Pramoedya Ananta Toer dan Pak Sako mengekalkan stamina mengarang mereka.

Pedoman penting daripada sedikit kisah Pram tersebut mengingatkan kita agar mencintai kerja mengarang ini sepenuh jiwa agar kita juga mampu menjadi segigih dan serajin Pram.

Seorang pengarang yang ingin kekal relevan dalam ranah kesusasteraan tanah air memerlukan stamina dan kerajinan yang berterusan. Dalam hal ini, pelbagai cara pernah dilakukan oleh para pengarang untuk meningkatkan dan mengekalkan stamina tubuh dan minda agar sentiasa bersemangat untuk menulis dengan idea yang mengalir lancar. Perjalanan kepengarangan dan kerja mengarang memerlukan kekuatan yang bukan sedikit, kegigihan yang bukan biasa-biasa, malah tidak cukup dengan kerja karang yang hanya ala kadar. Pengarang memerlukan stamina tubuh dan minda yang berterusan untuk kekal mengarang dengan lancar supaya terhasilnya karya yang indah dan berkualiti.

Pengarang besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang lebih senang dikenali dalam lingkungan sastera sebagai Pram mempunyai banyak kisah tentang kegigihan dan ketekunan mengarang ini. Mengarang dan melakukan rujukan dengan membaca memang merupakan rutin hidup dan pekerjaan seharian Pram. Selain membaca dan mengarang, Pram juga mengumpul data sebagai dokumentator.

Lihat saja cara Pram bekerja dalam seharian hidupnya. Koesalah Soebagyo Toer dalam Pramoedya Ananta Toer dari Dekat Sekali (Gramedia, 2006) mencatatkan hal itu dalam banyak catatan pendeknya. Beliau khusus menceritakan pengalaman hidupnya dengan abangnya, Pram. Antara yang diceritakan oleh Koesalah termasuklah kegigihan dan ketekunan Pram melakukan kerja hariannya sebagai pengarang dan juga dokumentator.

Koesalah menulis dalam catatan pada halaman 82 yang bertajuk “Istirahat”, (tertera tempat dan tarikh peristiwa tersebut terjadi, iaitu di Jakarta, 14 Januari 1988) percakapannya dengan Pram perihal kesihatan Pram. Hari itu Pram dilihat sudah begitu kepenatan. Pram memberitahu bahawa malam semalam doktor telah memeriksanya, namun dia masih sangat kepenatan, tiada tenaga sehingga menggigil. Koesalah meneruskan pertanyaannya:

‘Psikosomatik?’

‘Mungkin.’ Ketawa. ‘Asal nulis surat, terus begini. Kemarin itu, satu hari penuh aku bikin satu surat saja. Habis itu ambruk. Sudah sehari semalam begini.’

‘Periksa deh,’ katanya lagi sambil menjatuhkan selembar kertas ke meja disertai bolpoin.

Saya perhatikan. Surat berbahasa Inggris dalam ketikan kasar yang banyak salahnya. Dan ketika saya baca, memang bahasanya banyak salah juga. Jelas dia mengerahkan segala kemampuan untuk menulis surat itu. Surat Inggris! Memang biasanya saya yang dimintanya menulis surat seperti itu. Sekarang dia coba sendiri.

‘Mungkin karena nggak suka nulis surat,’ komentar saya.

‘Memang. Nggak bisa aku nulis surat. Tapi Mbak selalu mendesakku. ‘Tulislaaah. Tulislaaah!’ katanya. Nggak ada surat yang kubalas. Ini terpaksa saja.’

Dan ketika saya pulang, ia mengatakan:

‘Aku mesti istirahat nih.’

‘Ya istirahatlah. Rekreasi,’ kata saya.

‘Ya di mana? Paling-paling di sini. Mau istirahat di Puncak, saban hari hujan.’

Berkali-kali lagi ia mengatakan mesti istirahat, namun tiap kali tanpa keputusan mau apa. Bagaimana akan ambil keputusan kalau baru diam sebentar saja tangannya mulai menggeratak: pegang ini pegang itu, jalan ke rak, ambil buku, membukanya, membacanya, menaruhnya ke meja, pergi lagi, ambil buku lagi, buka lagi, baca lagi, dan seterusnya?

Begitulah Pram, dalam keadaan demikian penat dan perlukan rehat pun masih gagahkan diri bekerja juga. Pedoman penting daripada sedikit kisah Pram tersebut mengingatkan kita agar mencintai kerja mengarang ini sepenuh jiwa agar kita juga mampu menjadi segigih dan serajin Pram.

Pak Sako (Ishak Haji Muhammad), satu nama besar dalam arena sastera kita istiqamah mengarang sehingga melebihi setengah abad lamanya. Lebih separuh daripada hidupnya dihabiskan dengan membaca dan mengarang. Oleh sebab itulah tulisan-tulisannya sentiasa dicari-cari dan dirujuk sehingga hari ini, malah dibaca oleh segenap lapisan masyarakat. Prof. Diraja Ungku A. Aziz pun baca tulisan Pak Sako yang disiarkan secara bersiri dalam majalah Gila-Gila satu ketika dahulu.

Kita lihat apa kata Almarhum Prof. Ungku Aziz dalam “Kata Pengantar” buku Pepatah Petitih Jilid 2 (Creative Enterprise, 1989) tentang rutin wajib dirinya setiap bulan tanpa jemu membaca tulisan Pak Sako itu:

Tali persahabatan saya dengan Pak Sako menjalar balik ke zaman Perang Dunia Kedua, lebih 44 tahun dahulu. Dalam tahun-tahun yang berikut, saya selalu membaca karya-karya Pak Sako dengan penuh minat. Semenjak Pak Sako menulis ruangan pojok Pepatah-Petitih dalam majalah Gila-Gila, biasanya saya buka bahagian itu terdahulu tiap-tiap kali saya menerima keluaran baru majalah tersebut.

Di alam sastera, kita dapati ada orang lama dan orang moden. Pemuda-pemudi sukar membaca tulisan dan karya lama. Mereka kata, ‘boringlah.’ Orang lama pula (jikalau masih hidup), tidak begitu gemar membaca hasil tangan member yang berbunyi seperti, ‘Gua nak belah.’ Mereka pula rasa bosan atau terkilan. Pak Sako merupakan tokoh ‘jambatan’ yang bukan sahaja bertapak di alam pemikiran lama, akan tetapi boleh menyesuaikan diri dengan zaman penghuni kurun ke-20. Inilah sebab intelektual pekat dan intelektual cair patut memberikan penghormatan besar kepada Pak Sako.

Yang menariknya, kata pengantar tulisan Ungku Aziz ini pun ditulis dengan nada dan gaya yang ringan sahaja mengikut gaya penulisan Pak Sako dalam kolumnya di majalah Gila-Gila itu. Kita tahu bahawa Ungku Aziz memang memberikan perhatian yang istimewa terhadap karya lama Melayu seperti pepatah dan juga pantun, kerana Almarhum sendiri ada menulis buku khusus tentang pantun berjudul Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu (DBP, 2011).

Dalam kata pengantar buku yang sama bertajuk “Pak Sako yang Kukenal”, Adi Alhadi pula memuji keprolifikan Pak Sako yang menulis melebihi setengah abad. Hal ini jarang-jarang dimiliki oleh para pengarang lain. Tulis Adi, “Dalam usianya yang hampir menjangkau lapan puluh beliau terus berusaha ‘mengembalikan’ pengalamannya kepada mereka yang lebih muda. Pada tulisannya beliau kelihatan begitu cerewet, tetapi hakikatnya tidak. Sebagai penulis beliau tidak pernah menimbulkan masalah kepada pihak penerbit, sekurang-kurangnya kepada kami di Gila-Gila. Tulisannya sentiasa sampai tepat pada waktu yang ditetapkan, suatu hal yang jarang-jarang dapat dilakukan oleh setengah kalangan penulis muda. Rasionalnya juga amat jelas sehingga beliau tidak mempersoalkan hak penyunting kecuali dalam hal-hal yang difikirkan perlu.”

Hal ini dicontohkan dengan sangat baik sekali oleh Pak Sako. Beliau tidak pernah jemu mengarang tanpa tertinggal setiap bulan dengan mengkaji kebijaksanaan yang terkandung dalam pepatah Melayu untuk disampaikan dengan cara yang mudah dalam kolumnya dalam Gila-Gila itu.

Satu pelajaran penting yang boleh diambil oleh para penulis kita yang bekerja dalam dunia karang-mengarang dan ingin berjaya sebagai pengarang besar kelak ialah kerajinan dan ketekunan Pak Sako menulis. Pak Sako istiqamah dan tidak pernah menggantung pena seumur usianya. Beliau tidak pernah berhenti mengarang. Beliau istiqamah melakukan kerja tulisnya tanpa jemu dan bosan. Malah, terbukti jelas beliau tidak pernah terlepas menyiapkan tulisannya setiap bulan untuk kolumnya Pepatah Petitih itu. Itulah antara teladan penting daripada Pak Sako yang dapat diambil oleh insan yang bekerja dalam dunia kepengarangan hari ini.

Beli Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu di sini.

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi