22 Mac 2023, 19:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang “Uniknya, kebanyakan karya Pak Sako dianggap malar segar, dan mampu dikatakan telah mendahului zaman”, ujar Dr. Abdul Muqit Muhammad selaku pembentang dalam “Seminar Melayu Mahawangsa: Menempatkan Pemikiran Pak Sako Pada Alaf 21” yang berlangsung pada 20 hingga 21 Mac lepas di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Seminar ini membincangkan keintelektualan dan sumbangan Pak Sako dalam dunia kesusasteraan, kebahasaan, kewartawanan dan politik.

Dr. Abdul Muqit Muhammad, pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya sedang membentangkan kertas kerjanya pada 21 Mac lepas di UPM. (Sumber foto: Pusat Strategik dan Perhubungan Korporat).

Dr. Rozita Che Rodi yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Aspek Kepengarangan Pak Sako dari Sudut Medan Semantik” menyatakan tentang kata fokus dan kata kunci yang mencerminkan kebijaksanaan pengarang menyusun idea.

Beliau mengambil novel Putera Gunung Tahan sebagai bahan kajiannya. Menurutnya, setiap baris cerita, dan pemilihan kata ada makna dan fungsinya yang tersendiri. Contohnya ialah perkataan “perjuangan” sebagai kata fokus, manakala perkataan nasionalisme, penjajah, penentangan, dan khianat merupakan kata kunci.

Dr. Rozita Che Rodi, pensyarah kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM sedang membentangkan kertas kerjanya. (Sumber foto: Pusat Strategik dan Perhubungan Korporat).

Selain itu, Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani menerusi kertas kerjanya yang bertajuk “Cerita dan Penggemblengan Cerita dalam Novel Putera Gunung Tahan Karya Ishak Haji Muhammad: Satu Bacaan Persuratan Baru” pula memperkatakan tentang novel tersebut berasaskan sudut pandang Gagasan Persuratan Baru.

Baginya, Putera Gunung Tahan kekal sebagai sebuah cerita yang menjadi alat perjuangan menuntut kemerdekaan dan keadilan.

Novel tersebut tidak membina wacana ilmiah yang substantif, tetapi menghadirkan idea berkaitan pascakolonialisme yang dimanifestasikan melalui cerita.

Seminar ini merupakan anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dengan kerjasama Perbadanan Muzium Negeri Pahang (PMNP), dan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah (AL-ASAR) Muzium Pahang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.