Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Pram merupakan penulis yang menyerahkan seluruh dirinya, melalui karya-karyanya, untuk pembentukan sebuah negara,” jelas Agus R. Sarjono, penulis dari Indonesia yang merupakan salah seorang pembentang dalam Webinar Pemikiran Pramoedya Ananta Toer pada 5 April lepas.
Beliau membentangkan kajiannya yang bertajuk “Nasion dan Nasionalisme dalam Kwartair Bumi Manusia Pramoedya Ananta Toer”. Menerusi kajiannya itu, beliau melihat bahawa kebanyakan karya Pram berakarkan kepada sejarah Indonesia itu sendiri.
Selain itu, beliau juga menyatakan keadaan yang ironi apabila memperkatakan tentang perjuangan nasionalisme Pram. Ujarnya,
Sangat ironi apabila seorang penulis seperti Pram, yang memperjuangkan nasionalisme dan ingin membebaskan bangsa melalui karya-karyanya, tetapi akhirnya dipenjarakan oleh bangsanya sendiri. Keadaan itu sangat ironi dan tragis.
Selanjutnya, beliau juga membicarakan tentang perbezaan pengertian kemerdekaan/nasionalisme Pram dengan tokoh penulis Indonesia yang lainnya. Bagi Pram, kemerdekaan/nasionalisme merupakan sebuah rumah yang indah, tetapi untuk menginap di dalamnya memerlukan sebuah perjuangan yang tidak mudah. Semua orang perlu berjuang, bahkan dengan nyawanya sendiri. Jelasnya,
Bagi Pram, kemerdekaan itu tempat orang menyerahkan dirinya.
Beliau menyebut novel Keluarga Gerilya sebagai contoh untuk menunjukkan pendirian Pram tersebut. Dalam novel itu, seluruh keluarga hancur demi sebuah kemerdekaan/nasionalisme. Kehancuran sebuah keluarga dalam novel tersebut boleh diibaratkan untuk membina sebuah rumah yang lebih baik di masa hadapan.
Namun begitu, pengertian kemerdekaan/nasionalisme Pram berbeza dengan tokoh penulis lain seperti Mochtar Lubis. Bagi Mochtar Lubis, kemerdekaan itu lebih bermaksud kehidupan yang bebas dan bersifat individualisme.
Selain itu, beliau juga beranggapan bahawa Pram merupakan seorang penulis yang nasionalis, dan bukannya komunis walaupun dia menganggotai Lembaga Kebudayaan Rakyat (LEKRA). Dalam kebanyakan novel Pram juga tidak terlihat gambaran komunis, malah terdapat pelbagai latar belakang watak-watak. Jelasnya,
Bagi Pram, nasionalisme itu bukan lembaga partai (parti). Lebih dari semuanya, nasionalisme itu adalah seorang yang cinta tanah air.
Seterusnya, beliau juga memberi anggapan yang menarik dalam melihat peranan sastera dalam menentukan masa hadapan. Baginya, masa silam ditentukan oleh masa kini, dan tidak semata-mata masa silam sahaja yang menentukan masa hadapan. Beliau memberi contoh watak Minke dalam novel Bumi Manusia. Watak Minke tersebut berdasarkan kepada watak sebenar dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Indonesia, iaitu Tirto Adhi Soerjo.
Sebelum Pram menulis Bumi Manusia, tidak ada sejarawan Indonesia yang menyebut Tirto Adhi Soerjo sebagai pejuang negara. Tetapi selepas Pram menulis Bumi Manusia, para sejarawan memperkatakan tentang pejuang tersebut.
Karya sasteralah yang boleh mengubah masa silam dengan memperkatakan tentang tokoh-tokoh yang tidak disebut semasa zamannya.