14 Jun 2024, 12:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Prof. Madya Dr. Harris Shah Abd Hamid memperkenalkan suatu model yang menggunakan nombor yang boleh diaplikasikan untuk menilai estetik seni dan karya sastera.

Dalam satu kiriman kenyataan di Facebook, saya melontarkan soalan tentang apakah ciri-ciri yang membuatkan sesuatu pantun bernilai tinggi atau kurang bernilai.

Menikmati karya seni merupakan satu pengalaman psikologikal yang sangat berharga. Nilai puisi, drama dan arca yang dirakam dalam kata-kata atau rupa fizikal sukar disejatkan kepada nombor-nombor tanpa menghilangkan kemanisan karya tersebut.

Namun begitu, dalam usaha memahami proses psikologikal apresiasi estetik, kaedah kuantitatif berpotensi untuk mencungkil gagasan dan mekanisma yang berkaitan. Tanpa menidakkan pendekatan kualitatif, perbincangan ini cuba mengheret model (dalam konteks kurangnya minat terhadap kaedah analisis sarat nombor) psikometrik sebagai pertimbangan peminat dan pengkaji sastera tempatan.

Dua dekad yang lalu, Helmut Leder dan rakan-rakan cuba menggunakan lensa psikologi untuk menjelaskan apresiasi estetik.

Dalam model yang mereka cadangkan, penilaian estetik dihuraikan sebagai satu bentuk pemprosesan maklumat yang melibatkan fakulti deria, memori dan kognitif aras tinggi. Bermula daripada hidangan kepada mata, maksud seni diekstrak melalui perbandingan terhadap karya yang pernah dilihat. Pelbagai aspek karya seni dinilai pada beberapa peringkat pemprosesan. Bersandarkan model ini, kita wajar bertanya apakah aspek atau ciri-ciri karya seni yang termasuk dalam pertimbangan individu?

Dalam satu kiriman kenyataan di Facebook, saya melontarkan soalan tentang apakah ciri-ciri yang membuatkan sesuatu pantun bernilai tinggi atau kurang bernilai. Seorang teman memberikan jawapan bahawa pantun yang bagus ialah pantun yang kelakar. Jawapan daripada seorang teman ini sudah tentu tidak cukup untuk membuat kesimpulan yang kukuh. Saya bandingkan jawapannya dengan hasil kajian Maria Kraxenberger dan Windried Menninghaus yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers of Psychology pada tahun 2017. Mereka mendapati bahawa puisi sedih mendapat markah apresiasi estetik yang lebih tinggi daripada puisi gembira (joyful). Saiz sampel yang lebih besar (128 orang) dan reka bentuk kajian eksperimental yang digunakan sudah tentu menenggelamkan pendapat peribadi rakan saya. Sudah cukupkah hal itu sebagai jawapan?

Sudah tentu tidak. Saya dapati kaedah yang digunakan untuk mengukur apresiasi estetik terlalu ringkas dan tidak disokong oleh bukti kesahan, waima yang asas. Maria dan Windried bertanya kepada 128 orang peserta kajian hanya dua soalan tentang puisi yang diberikan kepada mereka:

  1. How beautifully is the poem written?/Sekuat manakah keindahan puisi yang ditulis? (mengukur beauty/keindahan)
  2. How much do you like this poem?/Sejauh manakah anda menyukai puisi ini? (mengukur liking/kesukaan)

Respons kepada kedua-dua soalan ini diambil puratanya bagi mewakili gagasan apresiasi estetik. Pengkaji tidak pula memberikan bukti bahawa gagasan apresiasi estetik telah diukur dengan cara yang sah. Jika pembarisnya salah, manakan boleh dipercaya bacaannya?

Justeru, pengukuran seperti ini boleh diperbaiki dan diperincikan lagi. Menggunakan teori psikometrik (pengukuran psikologi) yang sesuai seperti Item Response Theory, kajian yang lebih mendalam boleh dilakukan. Dengan alat pengukuran yang lebih baik, pendapat kawan saya bahawa pantun kelakar lebih bernilai tinggi mungkin boleh disokong.

Untuk memperincikan pengukuran estetik, elemen keindahan (beauty) perlu dicerakinkan. Pendekatan kuantitatif boleh diguna pakai untuk membedah keindahan kepada elemen-elemen yang lebih asas. Pantun yang indah strukturnya (bilangan suku kata yang seimbang antara baris) tidak semestinya indah rima akhirnya (a, b, a, b). Keindahan diksi pula tidak menjamin keindahan kaitan antara pembayang dengan maksud pantun. Persoalan tentang kriteria yang sesuai digunakan boleh dijawab dengan terlebih dahulu mengenal pasti apakah yang perlu dimasukkan dalam senarai.

Melalui penyelidikan yang sistematik, pengkaji boleh melakukan satu siri temu bual dengan pakar dan orang awam tentang ciri-ciri pantun, misalnya: “Apakah yang membuatkan pantun [ini] indah pada pandangan anda?”

Pelbagai jawapan mungkin akan diperoleh, daripada yang klise hinggalah yang di luar jangkaan. Apa-apa yang terbit daripada pemikiran penikmat pantun perlu direkodkan dan diterima sebagai pengalaman peribadi mereka. Tidak mustahil, akan ada jawapan yang sama atau bertindan. Tanggungjawab penyelidik ialah menghasilkan gambaran besar yang boleh mewakili jawapan-jawapan daripada sesi temu bual tadi. Sebagai contoh, menggunakan analisis tematik, kriteria penilaian pantun boleh ditimbulkan, disenaraikan, dan digunakan dalam penilaian psikometrik.

Pemilihan pantun juara bukanlah fokus utama analisis ini sebenarnya.

Secara santai (bukan melalui penyelidikan bergeran dan berwasit), saya edarkan satu borang penilaian kepada sekumpulan peserta bengkel latihan psikometrik. Mereka diminta menilai lapan rangkap pantun yang sengaja dibezakan kualitinya. Ada yang berkualiti tinggi (pada hemat penulis) dan ada yang rendah. Menggunakan kriteria struktur (memenuhi bentuk pantun empat kerat), kreativiti (ada unsur baharu dan tidak sekadar mengulang pantun sedia ada), pembayang (kaitan baris pembayang dengan maksud), dan diksi (pemilihan perkataan yang sesuai), peserta bengkel memberikan markah antara 1 (sangat teruk) hingga 4 (sangat baik) kepada setiap pantun. Diakui bahawa kriteria penilaian ini dipilih tanpa asas teoretikal mahupun empirikal. Kajian santai ini dibuat sebagai rintisan untuk mewajarkan kajian yang lebih serius.

Markah daripada 10 orang peserta diambil untuk analisis menggunakan perisian Minifac (menggunakan model psikometrik Many Facet Rasch Model – MFRM). Tanpa memberikan perincian statistiknya, pembaca diminta untuk percaya pada keputusan yang dilaporkan.

Dua pantun berikut ialah pantun yang dipilih sebagai juara dan yang tercorot. Adakah dapat ditebak yang mana satu?

[1]

Makan roti dengan kaya,
_______Sapu juga dengan Planta;
Harga barang mahal semuanya,
_______Jangan kita membazir harta.
[2]

Hendak tidur berdodoikan antem,
_______Jangan dicarik rindu dan dendam;
Hendak gugur gugurlah item,
_______Jangan rosakkan gagasan pendam.

Pemilihan juara (“pantun antem”!) bukanlah fokus utama analisis ini sebenarnya. Yang lebih penting, hasil analisis menunjukkan kriteria struktur ialah kriteria yang paling mudah untuk sesebuah pantun diberikan markah. Penilai tidak mendapati penyimpangan yang ketara daripada struktur pantun (yang mengikut kepiawaiannya). Dalam kata lain, kebanyakan pantun yang dinilai sudah cukup syarat strukturnya. Kriteria yang paling sukar diberikan markah pula ialah diksi. Adakah hal ini bermaksud, pemilihan perkataan lebih mencabar bagi penulis pantun untuk menghasilkan karya yang dinilai sebagai berestetika tinggi?

Secara keseluruhannya, peserta bengkel ini agak “pemurah” dalam memberikan markah. Mungkin antara mereka tiada yang berpengalaman menilai pantun dan tidak cukup kritikal dalam membuat penilaian. Tiada kesalahan fatal yang dilihat dalam pantun yang dinilai. Dan, mungkin ada yang bertanya, tiadakah pemotongan markah yang ketara bagi “pantun Planta” disebabkan oleh rima akhir ‘ya’ dan ‘nya’? Hal ini tidaklah pelik kerana mereka bukanlah pakar penulis mahupun penilai pantun.

Selain mutu karya dan situasi (contoh: suasana cemas), perbezaan cita rasa peribadi telah dikenal pasti sebagai faktor yang mempengaruhi penilaian estetik. Hal ini perlu diambil kira secara serius. Ada kajian yang melihat perbezaan individu pada peringkat jaringan dan anatomi saraf dalam bidang estetikneuro. Ada juga kajian yang menggunakan ujian kecenderungan terhadap perkara estetik, seperti Art Reception Survey dan Aesthetic Responsiveness Assessment. Para pengkaji sebenarnya telah lama menggunakah kaedah sains dan pendekatan kuantitatif terhadap penilaian estetik. Sudah tiba masanya para pengkaji tempatan melebarkan metodologi dan tidak mengehadkan kaedah kuantitatif kepada analisis deskriptif (frekuensi dan peratusan) sahaja.

Berbalik pada kajian santai yang telah dilakukan, apakah dapatan yang sama akan diperhatikan jika kajian yang lebih sistematik dan serius dilakukan? Adakah unsur emosi penting untuk menilai pantun? Adakah penilai boleh dilatih untuk lebih kritikal dalam menilai pantun? Bolehkah kematangan pelajar menulis pantun diukur dengan menggunakan rubrik pemarkahan yang piawai? Jawapannya boleh dicari dengan menerapkan keadah dan analisis psikometri. Bahkan, banyak persoalan lain yang berkaitan boleh cuba dirungkaikan dengan kajian kuantitatif.

Walaupun perbincangan ini memfokuskan pantun, pendekatan yang dicadangkan boleh diterapkan bagi karya-karya seni yang lain. Penjurian persembahan deklamasi puisi juga sesuai dilakukan dengan kaedah MFRM. Antara kelebihannya yang ketara ialah kemampuan kaedah ini untuk menunjukkan secara objektif pola pemberian markah oleh ahli panel juri. Dalam kata lain, wujudkah bias atau pilih kasih dalam pemarkahan? Hal ini sangat mudah ditunjukkan hitam putihnya dalam lembaran output perisian psikometrik. Penjurian yang adil bukan sahaja penting untuk menjulang juara yang layak, malah menjunjung integriti dalam perjuangan seni.

Analisis psikometrik yang objektif bukan sahaja berpotensi membantu memahami psikologi manusia dalam usaha menilai estetik karya seni (kajian asas), malah membantu amalan kesenian yang terpuji (kajian gunaan).

Kaedah-kaedah psikometrik diharap dapat berubah, daripada berstatus ganjil dan jauh daripada landskap penyelidikan sastera tempatan kepada status mesra dan dekat dalam masa hadapan.

Rujukan

Kraxenberger, M., & Menninghaus, W., 2017. “Affinity for Poetry and Aesthetic Appreciation of Joyful and Sad Poems” dlm. Frontiers of Psychology 7, 217, https://doi.org/10.3389/fpsyg.2016.02051.

Leder, H., Belke, B., Oeberst, A., dan Augustin, D. “A Model of Aesthetic Appreciation and Aesthetic Judgments” dlm. British Journal of Psychology 95:4, hlm. 489–508, 2004.

Kredit Gambar: Birmingham Museums Trust/Unsplash

_________________________

Harris Shah Abd. Hamid (Prof. Madya Dr.) ialah Dekan Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.