Diterbitkan pada 6 April 2023, 15:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Webinar Pemikiran Pramoedya Ananta Toer (Pram) yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awan Selangor (PPAS) pada 5 April lepas telah menampilkan Encik Mohd Rashidi Nasharuddin sebagai salah seorang pembentang.

Beliau memulakan kajiannya bertajuk “Kritikan Atas Kolonialisme Dalam Karya Terpilih Pramoedya” dengan menggambarkan gagasan Pram selari dengan gagasan Jose Rizal, Soedjatmoko serta Syed Hussein Alatas yang memperjuangkan kemanusiaan melalui pena.

Encik Mohd Rashidi memulakan pembentangan dengan memaparkan idea tokoh-tokoh yang selari dengan gagasan Pram ketika webinar berlangsung.

Perkara ini jelas apabila beliau menyentuh kritikan Pram terhadap layanan kolonial kepada wanita. Bagi bangsa Eropah, orang Jawa atau wanita peribumi hanya merupakan tempat pemuas nafsu, dan mangsa eksploitasi melalui kegiatan pelacuran, dan perbudakan. Ujarnya;

Watak Nyai Ontosoroh dalam novel Bumi Manusia merupakan perlambangan peribumi yang melawan kolonialisme dan mempunyai jiwa kemanusiaan yang tinggi. Watak ini juga menolak diperlakukan seperti wanita murahan oleh bangsa Eropah.

Seterusnya, beliau meneruskan kritikan Pram berkenaan isu pendidikan dan tahap ekonomi sewaktu pemerintahan kolonial.

Sebagai contoh, sistem tanaman paksa merupakan sistem yang menekan dan menindas rakyat bawahan apabila segala tanaman seperti tebu, kopi dan teh dibeli dengan harga yang murah oleh pihak kolonial.

Selanjutnya, beliau melontarkan pernyataan Pram, iaitu berkenaan kesatuan umat Nusantara.

Kesatuan umat Nusantara antara mesej Pramoedya yang mungkin agak kabur tetapi perlu difikirkan. Di dalam novel Arus Balik mahupun karyanya yang lain, Pramoedya ingin menunjukkan bahawa Nusantara ini sebagai suatu kawasan strategik dan seharusnya diberdayakan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi