Oleh Suyuthi Yusuf
7 April 2023, 16:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pram menggunakan latar belakang kehidupannya sebagai naratif cerita dalam karya-karyanya,” ujar Dr. Azman Ismail, Pengarah Pusat Penyelidikan, Penerbitan dan Persidangan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam Webinar Pemikiran Pramoedya Ananta Toer (Pram) pada 5 April lepas.

Beliau membentangkan kajiannya yang bertajuk “Hegemoni Jurnalistik dalam Karya-karya Pramoedya Ananta Toer”. Kajiannya itu bersandarkan kepada pengalaman dan pengetahuannya tentang karya-karya Pram semasa beliau menyambung pengajian pada peringkat ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah di Universitas Indonesia (UI).

Dr. Azman Ismail sedang membentangkan kajiannya dalam webinar pada 5 April lepas.

Ketika berada pada peringkat pengajian tersebut, beliau sempat beberapa kali bertandang ke rumah Pram dan melakukan wawancara dengannya berkaitan dengan kehidupannya dan karya-karyanya.

Kehidupan Pram yang penuh dengan cabaran dan liku menjadi latar dan “bangunan” naratif dalam kebanyakan karyanya. Hal ini dilihat jelas apabila Pram menulis novel Keranji-Bekasi Jatuh (1947) dan Di Tepi Kali Bekasi (1951) berdasarkan kepada pengalamannya sebagai tentera Badan Keamanan Rakyat (BKR) menentang tentera Pemerintah Awam Belanda (NICA).

Selain itu, beliau juga menyebut beberapa latar karya Pram yang menandakan beberapa zaman penting dalam sejarah negara Indonesia. Antara latar sejarah penting yang menjadi tulang belakang karyanya ialah zaman kerajaan awal Nusantara (Cerita Calon Arang, Arus balik, Jalan Raya Pos, Jalan Daendels), Perang Revolusi (Larasati, Sekali Peristiwa di Banten Selatan), Pendudukan Jepun (Perburuan), dan Era Hindia Belanda (Tetralogi Buru, Gadis Pantai).

Selanjutnya, beliau juga menyatakan bahawa Pram menggunakan elemen kreatif untuk “mengfiksyenkan” fakta yang benar berlaku. Pendekatan penulisan Pram inilah yang baginya merupakan pendekatan berbentuk jurnalistik. Hal ini dibuktikan menerusi karya-karya Pram yang berlatarbelakangkan sejarah perjuangan masyarakat Indonesia yang penuh liku. Terangnya ringkas,

Karya kreatif (dalam konteks ini karya Pram) merupakan pengadaptasian fakta sosial, politik, dan ekonomi.

Selain itu, beliau juga menerangkan tentang konsep hegemoni. Jelasnya,

Secara asasnya, hegemoni merupakan penguasaan kelas (golongan masyarakat) tertentu terhadap kelas yang lainnya dengan menggunakan elemen pendidikan, politik, organisasi, institusi agama, media massa dan juga sastera.

Pram sebagai “intelektual organik” melalui karya-karyanya mewujudkan suatu rangsangan dan perjuangan untuk menyedarkan masyarakat kelas bawahan yang terhegemoni (penindasan, penganiayaan). Hal ini boleh dilihat melalui novel Arus Balik dan Tetralogi Buru.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.