Oleh Rasoul Manan
5 April 2023, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – “Watak perempuan sentiasa mendapat tempat dalam novel Pramoedya Ananta Toer dan merupakan penguat kepada jalan ceritanya”.

Hal ini dijelaskan oleh Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman ketika memulakan sesi pembentangan Webinar Pemikiran Pramoedya Ananta Toer (Pram) anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), pagi semalam.

Beliau membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Perempuan dan Perjuangan Dalam Karya Terpilih Pramoedya Ananta Toer.”

Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman sedang menyatakan pandangannya semasa webinar berlangsung.

Jelas beliau, terdapat beberapa perkara yang menjadi pemangkin perjuangan perempuan dalam karya Pram, iaitu penentangan terhadap patriarki, ketidakadilan kolonial ataupun feudal serta ingin meningkatkan taraf ekonomi perempuan melalui pekerjaan pada zaman itu. Selain itu, perjuangan perempuan dalam karya Pram juga adalah berkenaan pendidikan dan perjuangan budaya.

Sebagai contoh, beliau telah mengambil dua watak daripada novel terkemuka pengarang, iaitu Bumi Manusia dan Gadis Pantai sebagai model rujukan iaitu watak Nyai Ontosoroh.

Dalam Bumi Manusia, budaya merangkak merupakan simbol merendah diri kepada orang berpangkat besar mahupun lebih berusia, namun bagi Nyai Ontosoroh, amalan ini sudah tidak wajar lagi dilakukan.

Pram begitu lantang dan konsisten meniupkan semangat perjuangan perempuan. Watak Nyai Ontosoroh (sebagai seorang perempuan) merupakan simbol harapan terhadap prinsip beliau melawan kolonial.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.