3 Oktober 2022, 11:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Eddin Khoo, penulis dan aktivis kebudayaan dan kesenian dalam diskusi tentang Pramoedya Ananta Toer atau lebih dikenali sebagai Pram menegaskan bahawa untuk mengenali susuk Pramoedya Ananta Toer dengan lebih dekat, seseorang perlu meletakkan Pram sebagai seorang pengarang yang beridentitikan bangsa yang lebih besar dan luas, tidak tertumpu kepada negara Indonesia semata-mata. Diskusi tentang kepengarangan dan sisi Pram tersebut merupakan anjuran The Classic Challangers bertempat di kafe Liberal Latte, Bukit Damansara.

Karya Pram lantang dengan panggilan menuntut kebebasan. Kuartet Burunya (Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca) merupakan karya yang sinonim dengan Pram. Namun, Eddin beranggapan bahawa masyarakat kini khususnya, perlulah melihat Pram lebih daripada sebagai pengarang Kuartet Buru semata-mata, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk mengenalkan karya-karya Pram kepada generasi baharu kelak. Kuartet Buru merupakan siri novel Pram yang terkenal dan telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa.

Eddin Khoo sedang membicarakan tentang kepengarangan Pram.

Mengenali Pram adalah dengan melihat dan menerima Pram sebagai pengarang yang mewakili bangsa yang besar. Eddin menjelaskan Pram tidak hanya berjuang dan menuntut keadilan untuk Indonesia semata-mata dan tidak mencipta karya yang dunianya hanya terkandung dan disempadani negara Indonesia sahaja.

Seterusnya beliau juga menyatakan bahawa beliau berpeluang mengenali Pram dengan lebih rapat sebelum pengarang besar itu meninggal dunia. Maka beliau berasakan ada tanggungjawab dalam dirinya untuk menyampaikan siapakah sebenarnya Pramoedya Ananta Toer.

Agak mustahil sebenarnya untuk memahami sepenuhnya tokoh seperti  Pram, Usman Awang mahupun Chairil Anwar. Untuk memahami mereka, perlu menerima sifat serumpun Asia Tenggara yang berkongsi bahasa yang sama. Jika kita hanya kenal Pram melalui Kuartet Burunya semata-mata, maka Pram akan menjadi figura yang sangat berwajah Indonesia sahaja. Bagi saya, suara Pram merupakan suara sejagat.

Selain itu, beliau malah menyarankan agar khalayak sastera Malaysia, Indonesia, Singapura dan negara serumpun yang lain juga menerapkan prinsip sedemikian dalam membaca karya sastera pengarang lain.

Bagi mendapatkan pemahaman yang tinggi dalam membaca karya sastera Asia Tenggara, kita perlu mengukuhkan pengetahuan terhadap budaya Asia Tenggara dahulu. Itulah keistimewaan kita sebagai penduduk di negara Asia Tenggara. Seperti tamadun dan kebudayaan lain, kunci untuk memahami sastera Asia Tenggara ialah dengan memahami budayanya.

Beliau juga menambah bahawa dalam usaha untuk mengenal Pram, kita tidak boleh memisahkan Pram dengan susuk Sukarno, iaitu Presiden Pertama Republik Indonesia. Hubungan antara Pram dengan Sukarno sebenarnya merupakan hubungan yang agak kompleks. Dikatakan mereka berdua saling hormat-menghormati antara satu sama lain, malah menyimpan rasa kagum sesama mereka walaupun Pram pernah dipenjarakan sebanyak dua kali oleh Sukarno. Menurutnya lagi,

Dinamik yang ada antara kedua-dua tokoh itu membentuk suara dan ketokohan yang akhirnya dirakam sejarah.

Pram menulis tentang kebebasan di dalam penjara, malah penemuannya atau perolehan ilhamnya dalam konteks ketuhanan juga mekar dan berputik di dalam penjara. Selanjutnya, Eddin juga menjelaskan tentang penerbitan karya-karya Pram yang pernah diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada suatu ketika. Menurutnya, terdapat penerbit daripada Kuala Lumpur sendiri yang menerbitkan karya Pram pada masa itu seperti penerbitan novel Keluarga Gerilya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.