Diterbitkan pada 13 Mac 2026, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman mengakui dekatnya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dengan kampung halamannya, Banggul Derdap, yang menjadi latar kebanyakan karyanya.

Membaca memoir Shahnon yang begitu menarik ini memang membawa kita sangat dekat dengan Banggul Derdap, dengan diri Shahnon pada masa silam dan dengan seluruh hidup Shahnon di kampung kelahirannya yang begitu nostalgik itu.

Apabila merenung lama muka depan majalah Dewan Sastera edisi Oktober 2025 yang memaparkan wajah Almarhum Profesor Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad berserta judul esei fokus Dewan Sastera bulan itu, “Meneroka Cereka Landskap Banggul Derdap Shahnon Ahmad” yang ditulis oleh Wan Nor Azriq lantas mengingatkan saya kepada Shahnon dan kampung kelahirannya Banggul Derdap yang sangat kuat dan besar pengaruhnya terhadap karya-karya yang dihasilkan oleh Shahnon.

Wajah Sasterawan Negara Shahnon Ahmad terpampang sebagai penghias kulit dalam Dewan Sastera isu Oktober tahun lepas.

Banggul Derdap yang dieja oleh Shahnon dengan “Banggul Derdap”, bukan “Banggol Derdap”, iaitu dengan menggunakan huruf ‘u’ pada perkataan Banggul, bukannya huruf ‘o’ ialah sebuah kampung yang terletak dalam daerah Sik di negeri Kedah. Apabila kita membaca karya-karya Shahnon, akan banyak membawa kita kembali ke kampung kelahirannya di Sik itulah. Malah, juga akan mengingatkan saya terhadap Kampung Teloi Tua dan Sungai Ceper, serta bukit Srengenge.

Mengingat Shahnon dan karya-karyanya akan cepat meruntun perasaan saya sebagai seorang peminat tulisan Sasterawan Negara Malaysia yang kedua ini. Hati akan segera terasa sayu dan pilu apabila mengenangkan Shahnon dan karya-karyanya itu. Hal ini kerana sebahagian besar karya Shahnon yang saya kumpul sejak puluhan tahun telah musnah, hancur lebur dikerjakan oleh anai-anai sekitar tahun 2020/2021. Semua buku dalam rak kayu berwarna coklat yang agak tinggi mengandungi 15 bahagian ini dipenuhi oleh buku yang saya susun ikut nama pengarang. Semua buku Shahnon yang saya miliki diletakkan setempat, disusun bersekali di satu bahagian. Begitulah juga buku-buku pengarang lain yang saya kumpul sekian lama.

Antara buku pengarang yang ikut lebur bersama-sama buku Shahnon dalam rak ini termasuklah himpunan karya Faisal Tehrani, T. Alias Taib, A. Samad Said, dan Imam al-Ghazali. Semua buku yang tersimpan elok dalam rak kayu yang dihadiahkan oleh adik saya itu musnah akibat anai-anai. Rak itu dibelinya di sebuah kedai perabot di bandar Machang kerana melihat buku saya sudah terlalu banyak dan tersusun tidak teratur di dalam rumah. Rak ini mengandungi lima bahagian (papan rak) menegak dan tiga bahagian melintang, menjadikannya 15 bahagian semuanya.

Buku Shahnon antara yang paling banyak disimpan dalam rak ini. Hal ini kerana karya Shahnon antara yang paling banyak saya kumpul sejak zaman sekolah menengah lagi, termasuk SHIT yang dibeli secara sembunyi-sembunyi pada tahun 1999 di sebuah kedai runcit di Machang. Juga Ranjau Sepanjang Jalan (kulit depan gambar kepala patung) cetakan awal yang dihadiahkan oleh kawan sekampung, Bad pada tahun 1998. Buku ini Bad jumpa dalam simpanan di rumahnya, mungkin dibeli oleh kakak atau abangnya pada masa dulu. Daripada dibakar sebagai sampah kerana dianggap barang lama yang tidak berguna oleh ahli keluarganya, baik Bad hadiahkan buku itu kepada saya. Sebab Bad pernah cerita majalah dan buku lama di rumahnya pernah dibakar oleh ahli keluarganya yang lain ketika membersihkan rumah.

Buku lain termasuklah Lamunan Puitis Sebuah Trilogi yang saya beli sekitar tahun 2003 di kedai buku SMO di bandar Pasir Mas sewaktu kebetulan berkunjung ke sana. Buku ini baru saja diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam tahun yang sama, dengan kulitnya yang menarik dan kualiti buku yang bagus membuatkan saya terus jatuh cinta untuk membeli. Yang turut musnah dalam rak tersebut ialah buku-buku Shahnon yang lain seperti kumpulan cerpen Anjing (kulit warna kuning) dan himpunan majalah Tamadun tahun 1997 hingga sekitar tahun 2000, yang menyiarkan novel bersiri Shahnon yang berjudul Kami Masih Ingat Lagi.

Novel ini juga seingat saya turut memaparkan kisah kehidupan orang kampung waktu dulu-dulu di kampung Banggul Derdap, yang seakan-akan kisahnya dengan novel Ranjau Sepanjang Jalan. Seingat saya, Shahnon banyak mengimbau kenangan dan ingatannya terhadap kisah kehidupan warga kampung Banggul Derdap yang hidup dengan cara kampung sebagai petani dan buat kerja kampung. Buku-buku lain Shahnon yang turut musnah termasuklah Sutan Baginda (DBP, 1989), Muntah (Pustaka Reka, 2000), Seketul Hati Seorang Pemimpin (DBP, 1989), Setitis Embun Semarak Api (Alaf 21, 2006), Kembara Seorang Hamba (Karya Bestari, 2010), dan beberapa yang lain yang saya sudah tidak dapat ingat kembali judulnya. Termasuk yang musnah juga ialah buku kajian terhadap karya Shahnon berjudul Mobiliti Sosial Perspektif Barat dan Islam dalam Novel-novel Terpilih Shahnon Ahmad (DBP, 1992) oleh Sohaimi Abdul Aziz dan sebuah buku antologi cerpen (kulit keras berjaket) yang mengandungi sebuah cerpen Shahnon selenggaraan Mohd Yusof Hassan bertajuk Takah Demi Takah (DBP, 1993).

Paling banyak mengimbau nostalgia kampung kelahirannya itu ialah buku Shahnon yang sering disebut-sebut dan diminati ramai, Detik-detik Diri di Daerah Daif (DBP, 1995) yang diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1991 oleh DBP. Alhamdulillah, buku Shahnon yang paling digemari ini juga selamat kerana kebetulan diambil untuk bacaan dan tiada dalam rak yang musnah. Membaca memoir Shahnon yang begitu menarik ini memang membawa kita sangat dekat dengan Banggul Derdap, dengan diri Shahnon pada masa silam dan dengan seluruh hidup Shahnon di kampung kelahirannya yang begitu nostalgik itu. Kita akan mengenali Shahnon dan karyanya sedekat-dekatnya melalui buku ini. Melalui buku ini juga kita seperti menjadi Shahnon Ahmad itu sendiri. Sangat mengagumkan seni penceritaan Raja Novelis Malaysia ini.

Daripada perbincangan ringkas ini, kita dapat menarik satu kesimpulan yang agak kukuh bahawa kampung kelahiran Shahnon, Banggul Derdap memang menjadi salah satu latar utama yang telah mendarah daging dalam banyak karya-karyanya.

Sayang sekali, dek kemusnahan tersebut, catatan ini hanya dapat dihasilkan berpandukan cuma sekitar tiga empat buah buku Shahnon yang masih tersisa itu sajalah kerana yang lainnya telah menjadi kenangan. Hanya tinggal kekal dalam ingatan. Dirobek hancur oleh anai-anai. Sejenis serangga kecil yang diam dan nampak perlahan, namun demikian kejam merosakkan buku dan kayu.

Mujur, selain Detik-detik Diri, yang masih tersisa juga ialah satu tulisan Shahnon yang cukup saya suka bertajuk “Biar Saya Jadi Sasterawan Tua!” dalam majalah Mastika keluaran Jun 2004 yang mengungkapkan kekerdilan dirinya ketika itu sebagai hamba, walaupun dirinya telah sekian lama bergelar Profesor Emeritus dan Sasterawan Negara. Nasib baiknya, majalah Mastika mengandungi tulisan Shahnon yang telah hampir musnah dikerjakan oleh anai-anai itu, hingga tinggal beberapa muka surat sahaja yang masih elok termasuklah empat halaman awal yang menyiarkan esei pendek Shahnon tersebut.

Shahnon mengungkapkan kelemahan dan kerendahan dirinya dalam tulisan tersebut kerana pada waktu itu, beliau baru sahaja sembuh daripada penyakit Myasthenia Gravis yang dihidapinya hampir lima tahun. Kerendahan dan kekerdilan diri yang diakui dan disebutkan oleh Shahnon ini banyak membawa diri saya untuk ikut bermuhasabah, mengingat diri sebagai pengarang. Sebesar mana pun seseorang pengarang itu, di sisi Allah dia hanyalah seorang hamba yang sangat lemah dan terlalu kerdil. Esei pendek ini sangat saya gemari dan saya baca berulang kali. Shahnon menulis ini di Banggol Derdap dan beliau tidak lupa mencatatkan kampung kelahirannya itu dalam tulisan berkenaan.

Latar kampung yang ditulis oleh Shahnon dan kelemahan diri seorang sasterawan sebagai hamba Tuhan yang menjadikan tulisan ini sedap dan menarik apabila Shahnon memulakannya sedemikian, “Sudah lama saya tak menulis. Namun saya masih berada di Kampung Banggol Derdap, Sik, Kedah tanah yang pernah menyambut kelahiran saya suatu waktu dahulu. Saya lebih tenang di kampung, bercakap dengan bukit bukau, kerbau lembu, ayam itik, jagung, pisang, ular dan lipan bara,” dan mengakhirinya begini, “Biarlah saya jadi sasterawan tua, sudahlah. Maafkan saya.”

Yang masih elok tersimpan dan terlepas daripada serangan anai-anai juga ialah sebuah buku kulit keras terbitan DBP, cetakan kedua pada tahun 2007 bertajuk Tonil Purbawara yang menghimpunkan 20 buah cerpen terbaik Shahnon. Buku ini terselamat kerana dibeli agak kemudian sedikit daripada buku-buku karya Shahnon yang lain dan tidak sempat dimasukkan dalam rak yang musnah itu. Kumpulan cerpen Shahnon ini juga menemukan kita dengan banyak karyanya yang tentu saja dapatlah kita katakan bahawa memang Banggul Derdap juga yang banyak menjadi latar tempat kepada cerita-cerita pendek yang ditulisnya.

Perkara yang sama, iaitu latar Banggul Derdap yang itu-itu juga yang ditemui apabila membaca sebuah lagi karya Shahnon yang lain, iaitu novelet Ibu Adalah Pentafsir & Sungai (Penerbit Fajar Bakti, 1995). Hal ini kerana novelet pertama Ibu Adalah Pentafsir menceritakan secara panjang lebar tentang ibu Shahnon sendiri yang sah-sah latarnya tentu saja kampung Banggul Derdap. Novelet Sungai pun sama, tentu sajalah sungai yang banyak menjadi latar cerita-cerita Shahnon, iaitu Sungai Ceper, yang letaknya juga di kampung Banggul Derdap. Apabila membaca cerpen terakhir dalam buku Tonil Purbawara berjudul “Ibu dan Ceper”, kita merasakan seperti Shahnon menggabungkan dan meringkaskan novelet Ibu Adalah Pentafsir & Sungai menjadi cerpen ini. Cerpen “Ibu dan Ceper” begitu nostalgik sekali kepada saya sebagai pengagum tegar Shahnon. Hal ini kerana karya ini saya baca ketika cerpen tersebut mula-mula disiarkan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 14 Disember 1997. Tarikh tersebut ialah tarikh sewaktu cuti sekolah selepas habis tingkatan lima di Machang. Hal ini menjadi bukti bahawa saya membaca karya sastera di akhbar mingguan rupa-rupanya sejak masih bersekolah lagi. Bertahun-tahun juga saya berjaya simpan naskhah surat khabar yang mengandungi cerpen Shahnon itu. Namun sayang, akhirnya surat khabar itu pun hancur lebur dimakan anai-anai.

Daripada perbincangan ringkas ini, kita dapat menarik satu kesimpulan yang agak kukuh bahawa kampung kelahiran Shahnon, Banggul Derdap memang menjadi salah satu latar utama yang telah mendarah daging dalam banyak karya-karyanya. Apabila membaca karya-karya Shahnon yang berlatarkan kampungnya itu, dengan sendirinya kita dibawa masuk ke kampung Banggul Derdap dan tanpa disedari kita seperti telah menjadi salah seorang penduduk kampung itu. Begitulah betapa dekat dan akrabnya Shahnon dengan Banggul Derdap yang menjadikan kita sebagai pembaca pun ikut dibawa bersama ke sana dengan cara yang sangat alami dan paling tidak sengaja. Itulah kehebatan penceritaan dan pemerian Shahnon yang telah dimaklumi umum.

Merenung wajah Shahnon itu juga menyebabkan timbulnya rasa keterharuan yang dalam di ufuk sanubari hati saya. Rasa amat sayu dan rindu mengenang wajah insan yang saya panggil Cikgu itu kerana ada satu kenangan indah dan tidak dapat dilupakan antara saya dengan dirinya pada satu ketika yang lalu. Kenangan yang paling manis dan tersimpan kejap dalam ingatan dan jiwa saya selama-lamanya. Kenangan bertemunya saya, iaitu seorang peminat tegar dan pengagum karangan-karangannya yang hebat, dengan Cikgu Shahnon buat kali pertama dan terakhir di Bukit Minden berbelas tahun silam. Ah, lain kali pulalah saya cerita.

Beli Dewan Sastera Bil. 10/2026.

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi