Diterbitkan pada 6 Jun 2025, 08:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nor Muhamad Mat Zain meneliti novel 1990-an Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, Tivi, yang masih menggetar dengan mesej dan kritikannya terhadap masyarakat kontemporari.

Setelah diteliti semula isi dan jalur kisah Tivi, karya tersebut telah mengangkat pelbagai isu dan persoalan penting yang berkaitan dengan sosial dan agama.

Karya sastera menterjemahkan realiti kehidupan dan pemikiran masyarakat selain merupakan rakaman sosiobudaya, termasuklah adat istiadat, cara hidup dan ekonominya. Begitu juga dengan kebobrokan politik dan kepimpinan daripada pelbagai peringkat, yang diolah secara kritis dan bijaksana oleh pengarangnya.

Maka, secara tidak langsung, pengarang boleh dianggap sebagai perakam zaman dan dekad yang diwakilinya. Hal ini bersandarkan pandangan Sohaimi Abdul Aziz melalui tulisannya dalam Teori dan Kritikan Sastera: Modenisme, Pascamodenisme, Pascakolonialisme (1993:65), “Sastera merupakan satu bentuk peniruan, iaitu sastera sebagai satu cara melahirkan semula atau mencipta semula pengalaman hidup dalam bentuk kata-kata”.

Kebanyakan peneliti sastera sedar bahawa sastera mengungkapkan bahasa yang indah, namun bahasa yang gramatis bukanlah jaminan isi ceritanya menarik, dan terkandungnya mesej yang besar dan “bertenaga”. Walaupun karya itu dikatakan bebas – olahan bahasa dan jalur ceritanya, penekanan terhadap soal sensitiviti perlu diberikan perhatian agar tidak bercanggah dengan nilai, adab dan norma agama sehingga membawa implikasi negatif terhadap pemikiran pembaca.

Sejujurnya, pandangan daripada pembaca adalah terbuka, dan mereka boleh memperkatakan apa-apa sahaja jika merasakan karya yang ditelitinya mengganggu emosi dan fikiran. Lain pembaca, lain penerimaannya. Begitulah ruang untuk bersetuju ataupun tidak bersetuju dalam menentukan karya tersebut itu benar-benar bermanfaat atau “sampah”!

Tafsiran dan Penelitian dalam Tivi

Novel Tivi pada awal penelitian penulis, dianggapkan dan difikirkan sebagai karya yang polos dan picisan bentuknya. Namun begitu, setelah diteliti semula isi dan jalur kisahnya, karya tersebut telah mengangkat pelbagai isu dan persoalan penting yang berkaitan dengan sosial dan agama.

Pertamanya tentang penerimaan pengaruh luar (dari kampung ke bandar) yang memberikan kesan pada perubahan sikap (perbuatan dan perlakuan) seseorang, sama ada baik ataupun buruk.

Watak Chah contohnya, telah berhijrah ke bandar untuk bekerja di sebuah kilang skru, dan dari situlah wujudnya perubahan sikap dan cara hidup atau sosialnya. Chah digambarkan telah hilang perasaan malunya, berpakaian ketat, dan bersentuhan dengan kekasihnya, Jefri. Dari situ juga memperlihatkan peranan ketua keluarga (Mat Isa) yang hanya mendiamkan diri, apatah lagi untuk menasihati perbuatan salah anak gadisnya. Di sini, penulis membayangkan bahawa watak Mat Isa ialah individu yang tandus ilmu tentang agama, dan gagal dalam membina sebuah keluarga yang sejahtera berasaskan lunas Islam.

Kedua, kemunculan teknologi baharu telah mengubah pola fikir, perilaku dan sikap sesetengah masyarakatnya. Melalui Tivi, isunya ialah penyalahgunaan teknologi, iaitu televisyen yang menjadi teras keseluruhan karya. Kini, keistimewaan televisyen itu dapat kita samakan dengan kemunculan “gajet” atau telefon pintar yang berfungsi sebagai alat yang membantu kehidupan manusia, terutama bagi mendapatkan informasi dan maklumat tertentu. Inilah antara fungsi penggunaan teknologi pada zaman kini, selain menjimatkan masa dan tenaga. Begitu juga dengan televisyen yang suatu ketika dahulu menjadi medium wahana untuk seseorang itu mendapatkan maklumat dan berita isu semasa, selain untuk hiburan.

Melalui Tivi juga, pengarang memberikan satu perlambangan secara khusus terhadap alat tersebut. “Televisyen” sebagai wujudnya makhluk lain selain manusia yang berperanan untuk menggoda, menghasut dan membisikkan sesuatu kepada manusia agar cenderung untuk melakukan kemungkaran dan kejahatan. Atau boleh diberikan persamaan dengan jelmaan “syaitan” dan nafsu yang merupakan musuh yang benar-benar nyata.

Tivi (1995) pada halaman 102 menyebutnya, “Di kaca TV pemuda dan pemudi sedang membunuh dajal bertubi-tubi. Dan di atas tikar mengkuang yang beragi indah, di depan tetamu khas yang menetap di bucu rumah itu, Mat Isa bersama-sama anaknya Chah yang dipimpin hebat oleh para hantu milik masing-masing itu sempat pula membunuh dajal yang tidak pernah direstui oleh sesiapa kecuali hantu-hantu milik Mat Isa dan hantu-hantu milik Chah.”

Dajal dalam petikan itu merujuk syaitan, manakala hantu-hantu milik Mat Isa dan Chah merujuk nafsu syahwat yang telah terjerumus dalam perbuatan tercela.

Walau bagaimanapun, televisyen bukanlah alat yang membawa keburukan secara total jika individu dan masyarakat tahu untuk memanfaatkannya. Apa-apa pun, pengarang sangat berjaya dalam membentuk sebuah novel yang ringkas dan padat, mudah difahami, dengan daya dan gaya kepengarangan yang berdiri sendiri.

Godaan dan bisikan jahat itulah yang memunculkan kerosakan iman dan akhlak serta pelbagai lagi pelanggaran dalam agama. Misalnya, pergaulan bebas antara bukan mahram, perzinaan, meninggalkan ibadah yang disyariatkan dalam Islam, mendedahkan aurat (termasuklah Chah, ibu dan adik perempuan Chah), dan berlaku sumbang mahram antara ayah dengan anak perempuan.

Tivi juga secara tidak langsung memberikan sindiran secara halus, terutamanya tentang sikap dan pendirian seorang Muslim terhadap penjagaan nilai dan ketinggian agamanya. Peralihan ruang solat utama semata-mata untuk menempatkan televisyen, dan penggunaan sejadah bergambar Kaabah sebagai alas untuk menempatkan televisyen ialah contoh yang sangat menusuk. Sekalipun perbuatan tersebut bukanlah suatu kesalahan dalam agama, namun pengarang telah membawa pembacanya untuk merenungi dan menjawab setiap persoalan tentang kenapa dan mengapa hal tersebut berlaku.

Kritikan seterusnya juga diperlihatkan melalui dialog Mat Isa, “Sembahyang boleh dibuat di mana-mana saja”, yang membayangkan tidak pentingnya ibadah solat oleh sesetengah individu.

Begitu juga perbuatan mengalihkan tasbih, al-Quran, sejadah di kawasan lain (dapur), termasuklah meletakkan Surah Yasin pada celah-celah dinding rumah. “Sekarang ini pindahkan muqaddam dan al-Quran itu ke dinding dekat dapur”, dan “surah-surah Yasin boleh diselit di celah-celah papan dinding saja”.

Manakala timbul dialog seperti “Masjid boleh tunggu. Minggu depan pun, penghulu segala hari itu akan datang juga”, yang merujuk tindakan Mat Isa yang sanggup meninggalkan Solat Jumaat semata-mata menunggu penghantaran televisyen ke rumahnya, dan menganggap bahawa televisyen merupakan tetamu istimewa buatnya.

Kritisnya pengarang bukan hanya pada tema dan isi karyanya, tetapi pada pembinaan judul dan tajuk buku juga menjadi perhatian penting.

Dari sudut pandang editor pula, persembahan kulit buku Tivi dirangka dengan menepati konsep keseluruhan karya, terutama dalam pemilihan ilustrasi atau subjek yang mempunyai perlambangan tertentu. Tivi terbitan 2019 misalnya,  menampilkan dua subjek dan wajah (manusia-haiwan), yang membayangkan tentang sifat dan nafsu kebinatangan yang wujud dalam diri manusia.

Seterusnya, pembinaan judul “Tivi” juga telah membuka berbagai tafsiran kepada para pembaca. Misalnya, huruf T merujuk “tengok”, manakala V ialah “video”. Shahrun Nizal Mohd Nor (2012:210) menjelaskan bahawa “tengok video” yang dimaksudkan bukanlah menonton video yang biasa seperti filem Hindustan, P. Ramlee atau Hollywwod, tetapi konotasinya bermaksud video lucah. Contohnya melalui petikan yang berikut (1995:100):

Chah membuka beg tangannya dengan begitu mudah. Chah berjalan keluar bilik. Jolok masuk video yang masih tak tamat kisahnya yang tersergah dengan kagum itu. Dan, tertonjollah kembali pemuda dan pemudi yang sedang londeh pakaian masing-masing untuk meneruskan ceritanya … 

Oleh hal yang demikian, kebanyakan karya yang terhasil bukan sekadar imaginasi semata-mata. Karya yang terhasil sememangnya suatu cerminan realiti masyarakat dalam pandangan pengarang, sama ada perkara itu dilihat, didengar atau dibaca.

Baharuddin Kahar dalam membicarakan proses kreatifnya, Denai Kreatifku (2023:4) menyatakan, “Rangsangan atau cetusan yang menjadi idea terjelma daripada tindak tanduk di persekitaran kita yang pelbagai pula bentuk dan rupanya. Ia muncul dalam kehidupan kita sehari-hari, menjelma daripada masyarakat lingkungan kita. Pembacaan, pergaulan, pemerhatian, cerita kawan-kawan dan orang di sekeliling kita”.

Novel Tivi boleh dibeli di sini.

_________________________

Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan fauna. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kredit Foto: Murai hr/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi