24 Oktober 2024, 09:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sik Deklarasi Sik 13 November 2021 bagi mewujudkan Galeri Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dibangkitkan semula dalam program khas Memperkasakan Sastera Melalui Sasterawan Negara 2024 (Sasterawan Negara Dato’ Dr. Shahnon Ahmad).

Perkara itu dibangkitkan oleh Presiden Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah, Puzi Hadi ketika menjadi ahli panel forum program berkenaan yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sik, Kedah pada 22 Oktober 2024.

Forum yang dikendalikan oleh Saidin Abdullah itu turut menampilkan pesara guru cemerlang sastera, Hassan Baseri Budiman sebagai ahli panel kedua dan dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman.

Saidin dalam reaksinya berhubung perkara tersebut berkata, rumah peninggalan arwah Shahnon adalah sangat sesuai untuk dijadikan sebagai galeri tersebut.

“Kami sudah pergi tengok dan mungkin rumah itulah yang paling sesuai. Bagaimanapun ia terpulang kepada pihak berwajib untuk memutus atau menentukan perkara ini,” katanya.

Deklarasi Sik 13 November 2021 menyaksikan kata sepakat untuk mewujudkan Pustaleri (Pustaka dan Galeri) Sasterawan Negara Shahnon Ahmad di Banggol Derdap dan ditandatangani oleh Mantan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dewan Bahasa dan Pustaka, Tuan Haji Abd. Halim Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, YB Md. Isa Shafie, Pegawai Daerah Sik, Encik Mahamad Suhaimi Man, Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI), Encik Abu Hassan Morad, dan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Yusof Hasan.

Sementara itu, Hasan Baseri membahas bahawa susuk Shahnon Ahmad menyifatkan Sasterawan Negara itu sebagai seorang penulis realisme yang dilihat sangat dekat dengan pemikiran dan minda masyarakat.

Menurutnya, Shahnon merupakan seorang yang jujur serta amanah selain sangat teliti terhadap karya-karya yang dihasilkannya.

“Pak Shahnon tidak pernah menipu cerita. Kalau dia cerita pasal kampung, dia akan cerita yang betul-betul walau tidak menggunakan watak yang ada tapi beliau akan bercerita tentang realiti sebagaimana novelnya Ranjau Sepanjang Jalan,” jelas Hasan Baseri.

Shahnon dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-2 pada tahun 1982 dan merupakan seorang tokoh yang dianggap sensitif terhadap peristiwa-peristiwa penting khususnya yang berlaku dalam ruang lingkup anak bangsanya.

Justeru, karyanya sama ada novel, cerpen dan kritikan kebanyakannya berkisar pada soal kehidupan sosiobudaya, politik dan ekonomi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.