Diterbitkan pada 25 Jun 2025, 07:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Mohd Rashidi Radzali meneliti novel Seluang Menodak Baung dari sisi psikologi sosial.

Kekayaan dan kemiskinan ada di mana-mana. Suasana kampung yang menjadi simbol pada kemiskinan, selain suasana bandar yang menjadi simbol pada kekayaan dan kemodenan cuba diharmonikan oleh Shahnon untuk mengurangkan jurang perbezaan yang amat ketara antara kedua-duanya pada latar belakang tahun 1970-an.

Pertama kali, saya cukup menghargai usaha yang dilakukan oleh penerbit Jejak Tarbiah di bawah cabang JIWA yang telah menerbitkan semula sehingga kini dua buah novel Sasterawan Negara Allahyarham Shahnon Ahmad. Saya sudah mempunyai naskhah Ranjau Sepanjang Jalan terbitan mereka, lalu kali ini, saya diberikan rezeki untuk memegang naskhah Seluang Menodak Baung secara percuma di bawah dana Inisiatif Belanjawan 2023.

Terasa ada suatu tarikan yang boleh dikatakan menggoda untuk terus membaca naskhah ini sesudah sampai ke tangan saya melalui kiriman pos. Tambahan pula, keadaan saya sekarang ini yang sedang hiatus, atau lebih selesa untuk mengatakan yang saya sedang berehat sebentar daripada membaca buku Freud, Jung dan Fromm, menambahkan lagi keterujaan saya untuk membaca penulisan daripada sasterawan yang cukup digemari penulisannya oleh arwah mak saya.

Pembacaan sastera pada ketika ini, perasaannya lebih pada kerinduan. Sebelum ini, ketika arwah mak masih ada, kami akan membedah buku-buku sastera yang dibaca bersama. Tambah pula, dengan penulisan Shahnon yang berlatar belakang negeri Kedah yang terkadang saya sendiri tidak dapat memahami perkataannya, maka mak akan menghuraikan semula apa-apa yang cuba disampaikan oleh novelis tersebut.

Seluang Menodak Baung tidak menyeksa pembaca seperti dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Mungkin itu pendapat saya sesudah membaca buku ini kerana pengakhirannya agak gembira, tidak seperti dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan.

Kisah berlatarbelakangkan penduduk kampung Terenas, yang terfokus pada keluarga Salam dan Piah, serta Fatah dan Bibi, kedua-duanya bersama-sama anak-anak mereka. Dua keluarga/watak utama ini ditampilkan mempunyai perbezaan sebagai satu pihak yang menerima penindasan dengan reda, manakala sebelah pihak lagi melihat kehidupan sebagai sebuah penindasan yang perlu ditolak.

Kisah yang ditulis tidak rumit. Novel ini bercerita tentang usaha penduduk kampung Terenas yang cuba untuk meminta sekeping tanah sebagai harta pemilikan buat mereka.

Shahnon ternyata lebih realis dalam Seluang Menodak Baung, khususnya dari sudut mengaitkan suasana kampung Terenas yang tidak hanya berdiri dengan sendiri semata-mata, malah juga mengaitkan hubungan kampung ini dengan bandar, tempat lubuk kekayaan dan rezeki.

Kekayaan dan kemiskinan ada di mana-mana. Suasana kampung yang menjadi simbol pada kemiskinan, selain suasana bandar yang menjadi simbol pada kekayaan dan kemodenan cuba diharmonikan oleh Shahnon untuk mengurangkan jurang perbezaan yang amat ketara antara kedua-duanya pada latar belakang tahun 1970-an. Jurang antara kaya dengan miskin yang semakin melebar, telah direkodkan dengan cukup jelas, juga dengan penggunaan bahasa yang melewah untuk memberikan gambaran yang tepat kepada pembaca tentang kemiskinan yang cukup menyayat hati, yang dilalui oleh penduduk kampung Terenas.

Keluarga Pak Salam dan Mak Piah menjalani kehidupan yang serba mencabar. Masing-masing dengan lima anaknya, sedang menunggu kehadiran seorang lagi cahaya mata. Gambaran kehidupan yang dilalui oleh mereka di kampung Terenas tidak lebih daripada kehidupan yang hanya memikirkan tentang apa yang perlu dimakan pada esoknya semata-mata. Setiap anak mereka juga sedang mempunyai masalah kesihatan yang tersendiri.

Simbolik penduduk kampung pada waktu tersebut sering kali dikaitkan dengan kehidupan yang mundur. Berulang kali telah diingatkan kepada mereka bahawa kehidupan yang seperti itu, kehidupan yang bermula dari pagi perlu mencari pokok-pokok untuk ditebang, kemudiannya ke bendang untuk memancing ikan darat untuk habuan lauk makanan petang merupakan kehidupan yang biasa dan perlu dilalui oleh semua.

Dalam masa yang sama, watak Fatah sekeluarga yang pulang dari bandar dengan melihat sendiri kehidupan berbeza dan lebih memudahkan serta mempunyai keseronokan sendiri cuba untuk menyedarkan penduduk kampung tentang kehidupan mereka yang sebenarnya mampu untuk menjadi lebih baik daripada kehidupan yang sedang mereka jalani selama ini.

Kebanyakan penduduk kampung tidak mempunyai harta sendiri. Mereka juga terpaksa meminjam tanah orang kaya kampung untuk diusahakan, malah hasilnya juga perlu diberi kepada tuan tanah. Tanah yang belum diusahakan, yang berada di sekitar kampung itu, menjadi harapan buat mereka untuk memiliki sendiri tanah untuk diusahakan.

Fungsi kapitalisme sebagai sebuah sistem kehidupan yang mewarnai kehidupan moden sekarang telah banyak dilihat sebagai antara faktor utama yang memberikan kesan kepada wujudnya penyakit mental dalam masyarakat.

Penindasan tidak bergerak bebas tanpa wujudnya manipulasi. Shahnon Ahmad dalam novel ini cuba untuk menggali fungsi reda dalam beragama. Penduduk kampung sering diulang-ulang bicara tentang reda lalu perlu pula menyantuninya. Mereka seakan-akan telah menerima ketetapan daripada Tuhan akan kehidupan mereka yang serba daif. Penindasan dilihat oleh mereka sebagai sebuah ketentuan Tuhan, manakala dari sudut pandang pihak atasan, menjadi sebuah keuntungan buat mereka. Inilah kritikan halus Shahnon tentang jurang kelas.

Jurang perbezaan ini secara selarinya akan bergerak bersama-sama penindasan. Jika satu pihak mampu untuk hidup dengan cukup selesa, manakala sebelah pihak lagi cukup menderita dan hidup serba kekurangan. Jelas tampak berlakunya penganiayaan serta penindasan dalam dinamik kehidupan yang cukup tidak adil ini.

Manusia moden pula harus diterima akan kehidupan mereka yang semakin jauh daripada pegangan agama. Dalam erti kata lain, pegangan kepercayaan yang dipegang oleh mereka tidak lagi pada kuasa luar yang berkuasa, seperti dewa-dewa dan tuhan. Sebaliknya, mereka bertuhankan kekayaan serta kekuasaan dalam memandu arah kehidupan yang berkiblatkan sistem kapitalis.

Suasana kehidupan di bandar tidak ubah dengan persaingan mengejar siapa yang lebih berkuasa dan berharta. Jika seseorang itu mempunyai harta dan kuasa, maka dia akan diangkat tinggi oleh masyarakat. Namun jika seseorang itu tidak mempunyai apa-apa, maka dia akan jatuh sehina-hina, malah lebih rendah daripada haiwan.

Keadaan ini pernah ditulis oleh Roy Richard Grinker dalam bukunya, Nobody’s Normal: How Culture Created the Stigma of Mental Health. Grinker menulis bagaimana kehidupan di kampung atau pedalaman merupakan sebuah kehidupan yang saling bergantung antara satu sama lain. Berbeza dengan kehidupan manusia moden, khususnya di bandar, kehidupan di kampung saling bergantungan bukan pada nilai seseorang manusia, tetapi lebih pada kebergantungan atas dasar kemanusiaan. Seperti yang kita dapat baca pada saat-saat Mak Piah ingin melahirkan anak yang keenam, Pak Salam menyuruh hampir kesemua anaknya mencari jiran tetangga yang ada, selain daripada bidan, bagi membantu proses kelahiran. Dari situ, kita dapat melihat sebuah suasana yang harmoni dan saling membantu tanpa ada rasa bebanan tidak mampu menyediakan sesuatu sebagai balasan.

Penindasan dari sudut kemiskinan yang melata ini sering dilihat sebagai biasa jika berlaku di kawasan kampung atau mundur. Dengan menggunakan alasan kebiasaan serta cara hidup mereka yang memang sebegitu, maka kebanyakan daripada kita menjadi seperti waibi (YB) yang mengambil mudah akan permintaan penduduk kampung.

Shahnon juga dalam masa yang sama mengkritik secara halus cara beragama yang diamalkan oleh penduduk kampung Terenas, terutamanya Lebai Karim dan orang-orang tua di situ. Sikap berharap sepenuhnya tanpa melakukan usaha semampu mungkin untuk menambah baik kehidupan mereka serta penduduk kampung telah menjadi cabaran yang besar dalam usaha orang muda yang diketuai oleh Fatah bagi menaik taraf kehidupan yang baik untuk penduduk di situ.

Keadaan beragama seperti ini pernah ditulis oleh Erich Fromm dalam buku Psychoanalysis and Religion sebagai beragama yang menyerah diri sepenuhnya sehingga menolak fungsi akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Tuhan. Keadaan beragama seperti ini juga antara yang disebut oleh Freud sebagai kebergantungan yang membahayakan buat manusia kerana secara halusnya akan menolak fungsi manusia sebagai makhluk yang mempunyai pertimbangan akal fikiran yang rasional serta mampu membezakan antara baik dengan buruk. Pada akhirnya, cara beragama sebegini akan memudahkan penindasan yang dilihat juga sebagai ujian yang harus diterima daripada Tuhan.

Fungsi kapitalisme sebagai sebuah sistem kehidupan yang mewarnai kehidupan moden sekarang telah banyak dilihat sebagai antara faktor utama yang memberikan kesan kepada wujudnya penyakit mental dalam masyarakat. Manusia harus berusaha menonjolkan dirinya untuk dilihat bernilai dan sesuai dalam masyarakat. Dari sudut positif, sesiapa yang berusaha dia akan berjaya. Namun dari sisi negatifnya, manusia akan mudah menilai manusia dari sudut apa yang ada, lalu yang tidak mampu untuk berusaha atas pelbagai kekangan yang ada hanya akan dilihat lebih rendah dan tidak membawa apa-apa untuk masyarakat.

Kita cukup sedar kekayaan dan kemiskinan ada di mana-mana. Seperti juga konsep berlawanan yang saling memerlukan, kekayaan memerlukan pada kemiskinan, begitu juga sebaliknya. Tidak akan kukuh sebelah pihak tanpa satu pihak lagi mengimbanginya. Kehidupan yang harmoni dapat wujud jika kita kembali kepada cara hidup seperti dulu, yang menghormati setiap individu tanpa melihat nilai atau harta yang ada padanya. Harta benda dan pangkat hanyalah keperluan untuk meneruskan kehidupan. Namun cinta, kasih sayang serta menghormati antara satu sama lain ialah perkara yang membuatkan kehidupan ini sebuah perjalanan yang cukup berbaloi untuk ditempuhi.

_________________________

Mohd Rashidi Radzali seorang peminat sastera. Beliau tinggal di Gurun, Kedah.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi