Diterbitkan pada 17 Mei 2025, 19:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dalam kajian retrospektif kepengarangan dan pemikiran Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad; isu kemasyarakatan seperti kemiskinan orang luar bandar, akses pembangunan tidak terkawal yang menyaksikan konflik antara borjuis dengan pekerja, pencarian bentuk Islam yang syumul, dan penceritaan kebobrokan medan politik yang tidak membela rakyat merupakan bentuk legasi beliau yang merentas zaman.

Demikian kata sepakat yang dipersetujui oleh ketiga-tiga ahli panel Forum 60 Tahun Shahnon Ahmad: Antara Legasi dan Kontroversi, yang terdiri daripada Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, pengkritik sastera YBhg. Profesor Dr. Hashim Ismail dan Sasterawan Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), YBrs. Encik Muhammad Lutfi Ishak yang berlangsung di Rumah PENA pagi tadi.

Forum ini anjuran bersama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan DBP dengan sokongan Punggok Agency.

Anwar Ridhwan berkata, novel-novel Shahnon yang awal segera memikat pembaca dalam kalangan orang Melayu kerana mengikut kajian demografi, kebanyakan (sekitar 60 peratus) orang Melayu terdiri daripada golongan miskin yang pekerjaannya ialah petani dan nelayan. 

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menghuraikan bagaimana Shahnon Ahmad memanfaatkan pengalaman hidup dalam membentuk karya-karya realisme sosial yang dekat dengan jiwa masyarakat Melayu.

“Pada zaman itu, masyarakat petani yang menghadapi masalah di Kedah dan nelayan di Terengganu yang tidak dapat menangkap ikan pada musim tengkujuh, terikat dengan masalah hutang.

“Oleh sebab itu, novel-novel Shahnon yang menulis cerita masyarakat pinggiran seperti petani dan nelayan mudah menyerap masuk ke dalam jiwa pembaca Melayu, seperti novel Rentong dan Ranjau Sepanjang Jalan,” ujar beliau.

“Shahnon pandai membawa pembacanya ke dalam fikiran watak-wataknya.

“Barangkali (hal) ini yang menyebabkan laporan Anugerah Sastera Negara menyatakan bahawa keunikan Shahnon yang paling utama ialah bahasanya.

“Kepintaran beliau memanipulasi bahasa membolehkan pembacanya memahami dan mencerna warna fikiran watak-watak dalam karya beliau.

Menurut Anwar Ridhwan, antara satu ciri sastera yang baik ialah karya yang menggambarkan kehidupan atau sebahagian daripada pengalaman pengarangnya. 

“Pada pendapat saya, Shahnon menerapkan kaedah dan pandangan ini secara sedar atau tidak sedar, yang mana karya-karya beliau ialah gambaran diri dan kehidupan beliau pada dekad-dekad tertentu, bermula dengan kehidupan petani semasa di Banggul Derdap menerusi novel Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan dan Srengenge yang turut membincangkan ritual khurafat masyarakat petani, yang menyediakan semahan dan sesajen sebagai ikhtiar bagi mendapatkan hasil padi yang subur.

“Cerita tentang kehidupan di bandar, urbanisasi dan pembangunan pula ditunjukkan menerusi novel Menteri dan Perdana.

“Cerita-cerita beliau yang berunsur keagamaan membangkitkan isu seperti wujudnya organisasi yang mempunyai citra islamik tetapi mempunyai beberapa fahaman yang tidak mencerminkan Islam yang murni.”

Anwar menegaskan bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh Shahnon akan sentiasa hidup dalam masyarakat Melayu dengan pendekatan kritis beliau dalam mendidik pembaca tentang mencari bentuk Islam yang syumul, seperti dalam novel Tok Guru serta Ummi dan Abang Syeikhul, atau menilai politik yang memihak kepada rakyat miskin yang mesti dibela.

Profesor Dr. Hashim Ismail membicarakan sisi protes dalam penulisan Shahnon Ahmad yang menyentuh isu ketidakadilan sosial, penyelewengan politik dan kegelisahan budaya melalui karya seperti SHIT dan Tivi.

Menelusuri kerjaya Shahnon sebagai seorang politikus dan mantan Ahli Parlimen Sik 1999 – 2004, Hashim Ismail berpendapat bahawa suara-suara dalam novel beliau ialah suara-suara protes, seperti isu penyelewengan baja dalam masyarakat petani dan penyelewengan subsidi lembu yang berlaku di Sik. 

“Shahnon merakamkan bagaimana peristiwa yang berlaku kepada masyarakat zaman tersebut, dan beliau menulis sebagai pengkritik ketidakadilan pada zamannya, merentasi isu sosial, politik dan ekonomi,” jelas Hashim Ismail.

Beliau menyimpulkan bahawa nafas kemodenan membawa pembaca ke novel Tivi yang menceritakan pertembungan landskap masyarakat di Pulau Pinang dengan perkembangan ekonomi yang membawa masuk kilang multinasional.

Tivi juga sebuah kritik sosial terhadap penularan hiburan sia-sia di rumah melalui teknologi video (VHS) yang tersebar secara meluas.

Shahnon melalui karyanya yang menjurus pada sastera Islam turut berkisar tentang dialog ketuhanan dan epistemologi dalam novel Protes.

Kritikan politik pula terlihat dalam novel SHIT, Perdana dan Muntah yang menentang tokoh politik parti lawan dan sikap politikus yang melompat parti.

“Pada pendapat saya, legasi beliau yang paling ketara ialah kemampuan beliau menyelami kejiwaan dan anutan watak sehingga pembaca percaya bahawa setiap watak dalam karya beliau wujud dalam dunia nyata.

“Watak-watak dalam karya beliau bukan sekadar boneka jalan cerita tetapi cerminan manusia sebenar yang mempunyai pegangan, kepercayaan, idealisme, dan ideologi,” ujar beliau.

Sasterawan Muda MASTERA, Encik Lutfi Ishak membuat kesimpulan bahawa hubungan kompleks Shahnon dari desa ke politik, dari kritikan sosial ke dakwah sastera Islam berpunca daripada sikap “dahagi”, iaitu degil dan penentang yang terus melangkah dengan sikapnya.

Sikap ini menampilkan bahawa seseorang penulis mesti memberikan kritikan atau ulasan buah fikiran tentang peristiwa yang berlaku di depan mata.

Sasterawan Muda MASTERA Encik Lutfi Ishak menyifatkan Shahnon Ahmad sebagai penulis “dahagi” yang tegas menulis tentang kemiskinan, peralihan budaya dan kekecewaan terhadap politik, menjadikan karya beliau sebagai refleksi zaman dan suara nurani rakyat.

“Jika kita memerhati peta kepengarangan Shahnon dari awal, beliau mengangkat wacana kemiskinan ke peringkat nasional (1950 sehingga 1970), isu Islam dan arus sastera Islam (1970 sehingga 1980), kesan pembukaan kilang-kilang di Kulim dan Butterworth yang mengubah gaya hidup kampung (1990), dan kekecewaannya terhadap keadaan politik negara (1990 sehingga 2000),” jelas beliau.

Turut hadir dalam forum ini ialah Presiden PENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus dan Ketua Bahagian Perkamusan DBP, YBrs. Encik Abdul Ghani Abu.

Kredit Foto: Mohd Nazmin Taharin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi