Diterbitkan pada 17 Mei 2025, 21:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Benarkah karya-karya Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad sudah tidak lagi malar segar, dan karya pengarang lain seperti Azizi Haji Abdullah dilihat lebih relevan?

Pendapat itu dikongsikan oleh penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2022, YBrs. Osman Ayob dalam Forum 60 Tahun Shahnon Ahmad: Antara Legasi dan Kontroversi yang berlangsung di Rumah PENA pagi tadi.

Penerima SEA Write Award 2022, Osman Ayob memberikan pandangannya bahawa karya Azizi Haji Abdullah lebih banyak dibaca dan dibicarakan oleh masyarakat sekarang daripada karya Shahnon Ahmad.

Pendapat itu bagaimanapun lekas disanggah oleh tiga tokoh sastera tempatan yang diundang sebagai panel program berkenaan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pensyarah Universiti Malaya, YBhg. Profesor Dr. Hashim Ismail dan penerima Anugerah Sasterawan Muda MASTERA 2023, YBrs. Encik Muhammad Lutfi Ishak.

Anwar yang juga Sasterawan Negara berkata, karya Shahnon masih kekal relevan kepada masyarakat, malah perlu dihargai kerana kedudukan beliau sebagai Sasterawan Negara.

Malah tegasnya, mustahil sebagai sasterawan besar, tidak ada karya-karya beliau yang mewakili zaman.

“Tentu saja karya daripada pengarang yang besar ada lahirnya masterpiece mewakli zamannya yang perlu difahami dan dimengerti generasi baharu.

“Mungkin bukan semua karya beliau terbaik, tetapi tentunya ada yang dijadikan mutiara dan dikekalkan,” katanya.

Hashim pula berpandangan, masyarakat perlu menghargai karya penulis-penulis kerana tugas mengarang itu bukan mudah, apatah lagi jika membabitkan pengarang seperti Shahnon.

Katanya, Shahnon membawa cerminan zamannya dan tidak betul untuk menyebut karya beliau tidak malar segar.

“Sebenarnya, ada juga dakwaan dan pandangan yang menyebut sebenarnya karya Azizi banyak dipengaruhi oleh Shahnon.

“Malah agak tidak adil untuk membandingkan kedua-dua pengarang itu kerana masing-masing ada kaedah kepengarangannya sendiri,” katanya.

Muhammad Lutfi turut memberi pandangan serupa, malah mengakui mungkin bukan semua karya beliau itu baik tetapi tentu saja ada yang dianggap sebagai malar segar.

Katanya, Azizi dan Shahnon mempunyai gaya bahasa yang hampir sama jika dilihat secara sepintas lalu. Namun begitu, Azizi walaupun sama seperti Shahnon, masing-masing berasal dari Kedah, tapi Azizi banyak menggunakan “loghat hilir” yang biasa ditemui di sekitar Alor Setar, manakala Shahnon banyak menggunakan loghat Melayu Kedah di Sik.

“Karya Shahnon evergreen tetapi macam mana generasi hari ini hendak menghargai karya itu yang perlu diusahakan.

“Antara kaedah terbaik adalah untuk menjadikan karya-karya Sasterawan Negara ini seperti Shahnon sebagai teks KOMSAS.

“Hal ini pernah jadi kontroversi dulu, ada pihak yang tak setuju dengan pandangan karya Sasterawan Negara ini kononnya berat. Maka, ambillah teks yang dianggap tidak berat atau mudah, misalnya kalau Shahnon, Rentong.

“Yang hendak diangkat ialah pengarang dan ketokohannya,” katanya.

Forum 60 Tahun Shahnon Ahmad: Antara Legasi dan Kontroversi dianjurkan bersama oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), DBP dengan sokongan Punggok Agency.

Kredit Foto: Mohd Nazmin Taharin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi