Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKhoo Phau Liang menemui novel Srengenge Sasterawan Negara Shahnon Ahmad dan mengganggu jiwanya. Ikuti pengakuannya.
Sebenarnya, dari awal bab lagi saya sudah merasakan ada yang tidak kena dengan Awang Cik Teh. Dia nampaknya bersungguh benar hendak menutuh Srengenge, tidak padan dengan kudrat yang tua.
Barangkali tidak ada pembaca yang hendak menyanggah kalau saya katakan bahawa alam kita ini sudah cukup sifat indahnya. Alangkah sempurnanya – tak terlawan ciptaan manusia dengan ciptaan Tuhan. Sejuk mata kita setiap kali melihat laut dan bukit, hati pun terasa damai sahaja.
Akan tetapi, apa kena dengan Pak Shahnon? Sebagai pembaca sastera yang masih mentah, baru hendak mengenali susuk sasterawan legenda, Srengenge inilah novel pertama beliau yang saya jumpa. Bayangkan, baru ayat pertama, Pak Shahnon menulis, “Srengenge tersergam hodoh macam setan.”
Kalau hendak tahu, dalam novel, Srengenge ini nama bukit. Perumpamaan “hodoh macam setan” pula digunakan oleh Awang Cik Teh, watak pertama yang diperkenalkan dalam novel. Bukan hanya sekali dia menggunakan perumpamaan itu. Belum pernah saya temui siapa-siapa yang menyamakan rupa bukit selayak hodohnya setan. Saya tidak puas hati, kenapa Srengenge dikutuk sampai begitu sekali?
Untuk berlaku adil, izinkan saya ceritakan sinopsis novel ini sepintas lalu. Awang Cik Teh seorang lelaki tua, mempunyai seorang isteri yang taat bernama Keghesum. Awang Cik Teh rajin dan degil orangnya, pernah buat rumah, buat bendang, buat dusun, buat syarikat. Kini padi yang ditanam menunggu masak, Awang Cik Teh tidak betah duduk diam. Hendak ditutuhnya bukit Srengenge pula. Dikatakan bukit itu menghalang cahaya matahari, menyemakkan mata dan patut dijadikan huma. Awang Cik Teh cuba memujuk Imam Hamad untuk meyakinkan penduduk-penduduk kampung yang lain.
Pada mulanya, Imam Hamad tidak bersetuju kerana seperti penduduk kampung yang lain, dia sendiri mempunyai kepentingan peribadi terhadap bukit Srengenge. Imam Hamad kemaruk meracik tekukur dengan Jebat, denak peliharaannya. Akan tetapi, dia berubah fikiran setelah terbunuh Jebat dengan tangan sendiri di atas bukit itu. Sebelum sempat melaksanakan rancangan untuk menutuh bukit bersama-sama dengan Awang Cik Teh, Imam Hamad tiba-tiba diserang penyakit misteri, tak dapat diubati dan akhirnya meninggal dunia.
Kesimpulan mudah yang boleh dicapai oleh pembaca pada penghujung novel ini ialah bukit Srengenge itu memang setan. Srengenge telah mengenakan Imam Hamad kerana Imam membunuh Jebat dengan cara tidak senonoh di atas bukit itu. Srengenge memang setan kerana tidak melepaskan nyawa Imam Hamad, meskipun Useng dan penduduk kampung lain sudah memberi jamu kepada datuk-datuk bukit Srengenge. Srengenge memang setan kerana seperti hendak merasuk Awang Cik Teh pula sebaik mengambil nyawa Imam Hamad.
Saya terbelenggu, apakah yang berlaku seterusnya? Adakah Pak Shahnon ingin mengajak pembaca menyertai Awang Cik Teh, biar Srengenge ditutuh sahaja demi menjamin keamanan kampung? Atau Awang Cik Teh pula akan terkedang, sementara Useng dan lain-lain menyediakan jamu sekali lagi kepada datuk-datuk Srengenge?
Sebenarnya, dari awal bab lagi saya sudah merasakan ada yang tidak kena dengan Awang Cik Teh. Dia nampaknya bersungguh benar hendak menutuh Srengenge, tidak padan dengan kudrat yang tua. Bahkan sanggup menutuh Srengenge sendiri kalaupun tidak ada yang mahu berpakat dengannya. Puas saya mencongak, mampukah seorang tua seperti Awang Cik Teh, yang sudah berusia 55 tahun, yang sakit lenguh perdu pahanya, menutuh sebuah bukit yang tersergam seperti Srengenge?
Tidak semena-mena saya teringatkan nenek sendiri. Sama seperti Awang Cik Teh, nenek saya juga rajin dan degil orangnya, selalu hendak buat kerja walau jalannya terkecak-kecak sakit kaki. Betapa kental dan kuatnya semangat orang dulu-dulu. Barangkali Awang Cik Teh juga merindui zaman mudanya, ketika dia mampu membuat rumah, bendang, dusun dan segala.
Ironinya, kita juga melihat Awang Cik Teh yang berdarah panas seperti orang muda itu sudi menerima layanan selayak orang tua ketika penduduk kampung menyediakan hidangan di rumah Imam Hamad. Awang Cik Teh tidak boleh disuruh buat apa-apa. Awang Cik Teh juga tidak diajak mengikuti rombongan untuk memberi jamu kepada Srengenge. Di situ, Pak Shahnon mencatatkannya begini, “Awang Cik Teh sudah tua dan matanya pun sudah lemah”. Jadi sahihlah, satu kampung dan Awang Cik Teh sendiri mengaku bahawa dirinya sudah tua, sudah tidak kuat untuk bekerja seperti penduduk kampung lain, tak begitu?
Semakin meningkat usianya, Awang Cik Teh tidak betah duduk diam melihat Srengenge masih tersergam di depannya. Maka dia tidak tahan, berasa tercabar dan mahu menduga tenaga yang masih bersisa dalam tubuhnya itu. Lihat sahaja bagaimana Awang Cik Teh sampai terbawa-bawa ke alam mimpi cita-citanya hendak menutuh Srengenge. Lihat sahaja bagaimana dia naik minyak apabila dicabar oleh Diah untuk meluahkan kemahuannya. Awang Cik Teh orang tua yang pantang dicabar. Dia kalah kepada keegoan diri sendiri, lebih-lebih lagi sejak Syarikat Mati dan Syarikat Bajanya lingkup dan diejek orang kampung.
Imam Hamad juga kalah kepada dirinya sendiri. Bagaimana seorang imam boleh dipacu oleh nafsu amarah sehingga sanggup berlaku zalim kepada haiwan peliharaan sendiri? Mungkin kita boleh kata, setiap manusia tidak ada yang sempurna, pasti ada juga yang terkhilaf di mana-mana. Akan tetapi, yang lebih teruk bagi saya ialah keengganan Imam Hamad untuk menghadapi kesilapannya. Sebaliknya, dia meletakkan kematian Jebat sebagai ketentuan Tuhan. Dan boleh jadi saya tersilap, tetapi mungkinkah niat Imam Hamad hendak menutuh Srengenge adalah semata-mata untuk menutup aibnya? Mungkin Imam Hamad mahu melupakan kesilapannya dengan menghapuskan saksi kejadian, iaitu bukit Srengenge itu sendiri?
Betapa saya berharap dapat mendengar permintaan maaf yang tulus datang daripada Imam Hamad kepada Jebat, tetapi sampai ke hujung nyawanya, Imam Hamad dalam komanya cuma mengulang-ulang jeritan, “Kenapa menyeksaku begini? Kenapa menyeksaku begini?” Sedangkan Imam Hamad sendiri patut sudah ada jawapannya.
Itu baru Awang Cik Teh dan Imam Hamad. Tentang Diah, Siddik dan Saad Cik Lah pula, sepertinya mereka masih belum serik-serik menganiaya binatang di bukit Srengenge. Sewaktu dalam rombongan memberi jamu, ketiga-tiganya saling tidak mengaku dosa dalam hati, sebaliknya sibuk membanding-bandingkan dosa diri dengan dosa orang lain. Masing-masing beranggapan bahawa dosa sendiri terlalu kecil jika dibandingkan dengan dosa orang lain. Lucu juga, kuman di seberang nampak, gajah di depan mata boleh pula tak nampak.
Maka kembali kita kepada persoalan pokok: Srengege hodoh macam setan? Mungkin kalau kita melihat orang lain sebagai setan, kitalah yang sebenar-benarnya sedang dirasuk setan. Tanpa sedar, kita menghalalkan dosa-dosa sendiri dan mengulang-ulang dosa itu sehingga tampak kecil di mata kita. Awang Cik Teh, Imam Hamad, Diah, Siddik, dan Saad Cik Lah masing-masing menyembunyikan setan dalam jiwa, tetapi mereka tidak nampak. Mereka hanya nampak setan di tubuh orang lain. Mungkin itu sebabnya Awang Cik Teh melihat rupa setan itu pada Srengenge. Musibah akan terus berlaku selagi Awang Cik Teh dan penduduk kampung lain belum sedar daripada keegoan diri sendiri.
Betapa ayat terakhir Pak Shahnon terngiang-ngiang di kepala saya, cuba meninggalkan amaran keras, “Srengenge tegak kukuh jauh-jauh. Rupanya hodoh sehodoh-hodohnya.”
Novel Srengenge boleh dibeli di sini.
Kredit Foto: Iffah Ishak/Unsplash
_________________________
Khoo Phau Liang seorang guru yang bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa Jerteh. Gemar membaca dan pernah menulis beberapa puisi yang terbit di sana sini.