Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRaja Yusoff Ariffin meneliti isu kecerdasan buatan (AI) dan menjangkakan (serta bimbang dengan) kesan buruk daripada kecerdasan buatan (AI) terhadap penulis dan bidang penulisan tanah air.
Dalam hal ini, kerajaan bukan hanya menggalakkan AI, tetapi turut mengingatkan bahawa kemanusiaan tetap perlu dijunjung. AI bukan sebagai pengganti, sebaliknya pembantu.
Saranan Uthaya Sankar SB semasa menjadi pemudah cara sesi ketiga pembentangan kertas kerja Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SABM) di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 11 Oktober lalu bahawa kita perlu menyebut kecerdasan buatan, dan bukan lagi AI tidaklah saya risaukan melebihi kebimbangan yang bakal menimpa penulisan di negara kita.
Sejak dari dahulu lagi, kita sentiasa mahukan karya sastera kreatif dan bukan kreatif yang mulus, tulus dan pastinya asli. Baik daripada penulis veteran, muda mahupun pemula, sifat-sifat tersebut amat didambakan, dan sentiasa menjadi bahan/faktor sanjungan/kritikan.
Namun demikian, sama ada hebat, menarik atau mengagumkan, karya akan menerima kritikan jika karya itu bukan asli, apatah lagi hasil daripada bantuan AI!
Sejak dari dahulu lagi, pelbagai kursus dan bengkel penulisan serta kewartawanan diadakan untuk membantu melahirkan calon penulis/wartawan. Mereka yang telah agak lama menulis dan baru mencipta nama pun turut menyertainya. Tiada salahnya. Boleh sahaja selagi hal itu baik dan memberikan kebaikan. Sangat digalakkan.
Bagaimana pula dengan menulis menggunakan AI? Meskipun saya risaukan kesan AI, tetapi saya tidak boleh membangkang dan menolaknya begitu sahaja kerana pihak kerajaan telah mengangkatnya, khususnya dalam galakan terhadap urusan pendidikan, komersial dan tadbir urus. Jika tidak menggunakan AI, Malaysia akan ketinggalan dalam beberapa aspek.
Hakikatnya, Malaysia komited untuk menerajui bidang AI dengan memperkukuh penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, dan daya cipta melalui peruntukan hampir RM5.9 bilion merentasi kementerian, dalam usaha mencapai status Negara AI menjelang tahun 2030.
Sebagai contoh terbaharu (saya paparkan sebahagian sahaja), semasa membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut menyalurkan hampir RM20 juta kepada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) bagi membangunkan bakat berkemahiran tinggi, serta memperkukuh infrastruktur digital dan ekosistem AI negara.
“Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta, kerajaan bercadang memberi potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana bagi perbelanjaan latihan berkaitan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf oleh Majlis AI Kebangsaan MyMahir untuk Industri (MNAICI) yang diterajui bersama-sama TalentCorp dan MyDigital,” katanya.
Tambah Dato’ Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan, keupayaan menguasai teknologi AI akan menjadi penentu utama pada jatuh bangun ekonomi, serta daya saing negara pada masa hadapan.
“Di bawah kerangka Malaysia MADANI, kerajaan memberi tumpuan pada pembangunan AI yang seimbang, beretika dan berpaksikan nilai kemanusiaan bagi memastikan kemajuan teknologi tidak meninggalkan mana-mana pihak,” katanya lagi.
Menurut beliau, pejabat NAIO akan dipertingkatkan sebagai pusat penyelarasan dasar AI kebangsaan, manakala Fakulti Kecerdasan Buatan di Universiti Teknologi Malaysia akan dijadikan hab pembangunan tenaga pakar dalam bidang tersebut.
Dalam hal ini, kerajaan bukan hanya menggalakkan AI, tetapi turut mengingatkan bahawa kemanusiaan tetap perlu dijunjung. AI bukan sebagai pengganti, sebaliknya pembantu.
Menurut YB Tuan Gobind Singh Deo, Menteri Digital pada Februari 2025, teknologi AI sedang mengubah landskap global dan membawa potensi besar untuk meningkatkan daya saing negara, termasuk dalam mentransformasi perkhidmatan awam.
Kepentingan adaptasi AI yang efisyen dan beretika dalam penyampaian perkhidmatan awam kini menjadi satu agenda penting kerana pelbagai manfaat yang mampu diperoleh.
“Ia juga akan dapat meningkatkan kecekapan operasi organisasi dan kualiti penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam ini mencerminkan visi dan komitmen kerajaan untuk memperluaskan pengadaptasian teknologi AI secara strategik dan beretika,” kata Gobind.
Panduan ini, tambah beliau, bertujuan memastikan setiap aplikasi AI di sektor awam mendukung prinsip keselamatan, tanggungjawab dan keadilan sosial, sekali gus memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.
“Malaysia kini bersedia menerajui gelombang transformasi digital serantau, membuka ruang luas untuk kepimpinan dan inovasi yang cemerlang. Selaras dengan itu, pelaksanaan garis panduan ini, bukan sahaja mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui pengadaptasian AI, tetapi juga memacu pertumbuhan ekonomi digital berasaskan inovasi yang mampan melalui peningkatan kepercayaan pelabur, industri dan rakyat,” kata Gobind, lantas menyeru kita agar bersama menjadikan AI sebagai pemangkin utama kejayaan Malaysia pada era digital ini.

Beberapa orang rakan media yang lebih muda sejak akhir-akhir ini banyak menggunakan AI atau ChatGPT untuk menulis berita.
Saya sendiri secara peribadi turut bersetuju dengan hakikat AI membantu, bukan menggantikan.
Dalam hal ini, akan semakin berkurangkah kursus dan bengkel penulisan karya kreatif/bukan kreatif, dan kewartawanan nanti jika kian ramai yang menggunakan AI untuk menulis/berkarya?
Situasi zaman sekarang yang sering dikaitkan dengan kata-kata marhaen, “Hidup ini keras, dik!” tidak lagi mementingkan mutu. Yang penting, kerja siap dengan cepat!
Di situlah bahayanya dan kesan negatif AI – antikemahiran diri! Juga tidak adil kerana penulis/wartawan veteran yang telah sekian lama bertungkus-lumus belajar/mengikuti kursus, kemudian bekerja secara konvensional sebelum turut meladeni media baharu (kerana panjang umur), tiba-tiba penulis/wartawan muda – lebih teruk lagi, pemula, senyum simpul menulis dengan bantuan AI!
Beberapa orang rakan media yang lebih muda sejak akhir-akhir ini banyak menggunakan AI atau ChatGPT untuk menulis berita. Meskipun hal itu lebih baik daripada menyalin dan menampal (copypaste) kenyataan media (PR), tetapi sama ada daripada PDF atau teks bercetak, usaha itu tetap tidak asli.
Tidak mustahil daripada “taraf” pembantu AI akan bertukar menjadi pengganti lantaran terlalu kerap digunakan, malah setiap kali, dan banyak (lebih daripada tiga) tugasan dalam sehari. Untuk mengejar masa, kaedah copypaste, menaip semula dan mengolah PR tidak lagi relevan – malah hal ini turut menjadi bahan sendaan rakan media lain. “Gunalah cara yang senang sekarang, bang,” kata mereka. Maka, bantuan “pembantu” ditagih. Terus dan terus.
Maka itu, perlu lagikah kursus penulisan/kewartawanan? Sementelah dengan kemajuan media sosial, semakin ramai yang begitu mudah menjadi wartawan, terutama selepas COVID-19 – endemik – meskipun sebenarnya mereka tidak bertauliah – atau lebih teruk, saya gelarkan “wartawan jadi-jadian” – bloger “naik pangkat” menjadi wakil media hanya kerana celik/pintar teknologi maklumat/AI.
Pun begitu, barangkali ada yang tidak bersetuju, tetapi saya fikir wajar, kerana sesuai dengan tempoh berkarya dan menulis, untuk penulis atau wartawan veteran menggunakan AI. Peningkatan usia turut menghakis kemampuan bekerja dari semasa ke semasa – penat dan bosan melakukannya sejak usia muda. Bayangkan dari usia 20-an hingga 60-an masih menulis, mengarang, mengolah dan menterjemah secara konvensional. Memanglah lelah. Apa salahnya gunakan “pembantu”?
Jangan pula kata jika sudah letih, bersara sahajalah. Usah kata begitu kalau selalu juga mengatakan, “Menulis dan berkaryalah hingga ke akhir hayat!”
Penulis/wartawan yang masih “bekerja” telah menempuh semua zaman – daripada menulis tangan, menerusi mesin taip, komputer peribadi, komputer riba, tablet kepada telefon bimbit (contoh diri saya sendiri walaupun mungkin ada yang akan mengecam), apa salahnya “membaharukan” (new school) diri untuk menjimatkan tenaga?
Cuma, perlu sentiasa juga ingat, jangan ubah fungsi AI itu. AI hanya mencepatkan dan memudahkan kerja, bukan menggantikan/mengambil alih tugas sehingga pengarang/wartawan terbabit menjadi “manja”. Walau bagaimanapun, setakat ini, saya masih menulis tanpa bantuan AI.
YBhg. Datuk Yong Soo Heong, Presiden Institut Akhbar Malaysia semasa bercakap di Forum HAWANA 2025 pada 14 Jun lalu berkata, peranan AI yang semakin pesat dalam kewartawanan berpotensi meningkatkan operasi bilik berita, tetapi mengingatkan agar tidak terlalu bergantung pada teknologi.
AI, katanya, harus bersifat melengkapkan, bukan menggantikan wartawan, dan cabarannya terletak pada penyepaduan teknologi secara bertanggungjawab untuk meningkatkan kredibiliti dan keberkesanan media, tanpa menghakis nilai teras kewartawanan.
Menulis karya kreatif bukan mudah, apatah lagi yang asli dan bermutu tinggi. Namun begitu, telah, malah ramai yang kata dengan mudah dapat dikesan bahawa cerpen dan sajak yang dihasilkan oleh AI kering jiwa, serta tidak semurni kreativiti manusia.
Sedangkan dalam karya bukan kreatif pun hasilnya pincang tempang, apatah lagi yang kreatif.
Saya turunkan contoh sebuah sajak yang dihasilkan oleh AI:
……….hati merintih, tiada lagi tenang
……….tangisan jiwa yang tiada berhenti
……….membawa beban yang tak terperi …
……….setiap langkah seakan berat
……….mengusung derita yang tak terlewat
……….dalam bayang-bayang mimpi yang pudar
……….rindu terpendam, cinta tersasar…
……….di bawah langit yang tiada bintang
……….kesedihan mengalir, jiwa melayang
……….seperti ombak yang tak berhenti
……….memukul pantai sunyi tanpa simpati.
Oleh itu, sambil menggunakan AI sebagai pembantu, kursus penulisan, kewartawanan, malah penyuntingan perlu terus diadakan dari semasa ke semasa. AI itu ciptaan manusia. Ertinya, manusia yang lebih pintar!

______________________________
Raja Yusoff Ariffin atau Raja Yusoff Raja Ariffin dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Pulau Tiga Kanan, Parit, Perak. Beliau menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016). Raja Yusoff merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) serta mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Beliau pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).