Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProf. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah memerhatikan fenomena kecerdasan buatan yang mula menyelusup dalam penulisan para siswa di institusi pengajian tinggi dan renungannya untuk mencari keaslian makna diri dan identiti dalam dunia tebaran maklumat yang melimpah dan tanpa sempadan.
Tulisan ini aku lakar sendiri dengan jari-jemariku, hasil gabungan dua dunia, akal manusia dan kepintaran mesin. Namun begitu, jangan sangka aku menyalin bulat-bulat. Aku bertanya, aku menilai, aku menulis semula dengan jiwa sendiri. Kerana pada akhirnya, bukan kesempurnaan yang aku cari, tetapi kejujuran dalam setiap baris kata.
Aku merenung ke jendela masa, memikirkan dunia yang berlari tanpa lelah. Dunia yang kononnya dimudahkan oleh teknologi, namun, kerja bukannya berkurang, malah bercambah seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan. Belum sempat menyiapkan satu amanah, datang pula tugasan baharu mengetuk pintu kesabaran. E-mel tak berhenti berdentum masuk, bagai ombak menghempas pantai, tiada henti dan tiada belas kasihan. Terkadang, aku bertanya kepada diri, cukupkah kudrat ini?
Kerja belum sempurna, mata pula makin kabur meneliti ejaan satu per satu. Aku manusia biasa, namun jiwaku perfectionist. Lelah ini aku panggul demi Tuhan yang Maha Melihat. Bukan kerana manusia. Bukan kerana pujian yang bersifat sementara. Akan tetapi, biarlah setiap huruf yang ditaip, frasa yang menghubungkan istilah dan noktah yang menutup, menjadi saham abadi, di alam sana yang tiada penghujung nanti.
Tuhan anugerahkan 24 jam, bukan sekadar angka, tetapi ruang untuk memilih. Sembilan jam kuabadikan untuk mencari rezeki. Malam pula kuhadiahkan buat anak-anak, walau terkadang, kelopak mata seakan ingin dikunci sebelum isyak menjengah. Yang meresahkan, tatkala malam berlabuh, sepertiga malam yang penuh rahmat itu aku biarkan berlalu begitu sahaja. Namun, pada hujung minggu, aku gagahi jua bertahajud, mencari ilham dan ilham itu sering datang mencurah, bak hujan lebat pada musim tengkujuh.
Di sudut pejabat yang sunyi, aku menyemak tugasan pelajar. Amanah ini bukan sekadar menyemak, tetapi membaca jiwa dan usaha yang tertulis. Tugasan bukan setakat helaian digital, tetapi cerminan siapa mereka sebenarnya. Namun, terbit juga purbasangka. Adakah ini benar-benar tulisan mereka? Atau sekadar salinan dingin daripada kecerdasan buatan? Aku tahu. Dunia berubah. AI bukan musuh, malah pelengkap. Seperti guru dengan kapur, seperti pena dengan kertas. Namun, di manakah letaknya akal dan rasa, andai semua diserahkan kepada mesin yang tidak berjiwa? Tulisan ini aku lakar sendiri dengan jari-jemariku, hasil gabungan dua dunia, akal manusia dan kepintaran mesin. Namun begitu, jangan sangka aku menyalin bulat-bulat. Aku bertanya, aku menilai, aku menulis semula dengan jiwa sendiri. Kerana pada akhirnya, bukan kesempurnaan yang aku cari, tetapi kejujuran dalam setiap baris kata.
Lebih menyedihkan, apabila ada pelajar tersalin sekali prompt (prom perintah) dan cadangan lanjutan AI. Betapa malangnya! Di manakah akal yang Tuhan anugerahkan? Kita mampu menapis, menilai, menyaring. Jangan terus telan tanpa kunyah. Kerana ilmu bukan makanan yang perlu ditelan tanpa dikunyah. Ilmu perlukan renungan, perlu dihadam dengan sabar dan hikmah.
Benar, AI mampu bantu kita menjana idea, memberi data, malah menyusun fakta. Tapi adakah kita semak sumbernya? Wujudkah rujukan itu? Tepatkah interpretasinya? Sekali lagi, akal manusialah yang perlu menjadi hakim. Akal inilah yang menimbang tara antara yang benar dengan yang palsu. Andai mahu menulis, gunakan AI sebagai sauh ketika kapal terumbang-ambing di tengah laut idea, tapi nakhoda sebenar tetap kita. Gunakan jurnal yang sahih, data yang benar, akal yang waras. Kita ada data.gov.my, Jabatan Perangkaan, laporan TIMSS, dan PISA. Apa lagi kurangnya? Jadikan teknologi sebagai alat, bukan dalih. Tahukah kalian? Dunia kini tidak lagi hanya perlukan bijak pandai, tetapi pencari hikmah yang punya daya analisis dan kritikal. World Economic Forum saban tahun mengingatkan, pemikiran analitik, inovasi dan kemahiran menilai ialah nadi masa depan.
Dalam dunia sains sosial, terutamanya di fakultiku yang tercinta, naskhah kajian dan laporan tahun akhir sering mekar dalam bahasa ibunda, bahasa Melayu yang menjadi nadi kebangsaan, nadi perpaduan. Sebagai anak watan, hatiku berbunga. Kerana setiap helaian tulisan itu, andai dikongsi dan diterbitkan, menyumbang pada gugusan khazanah ilmu dalam bahasa bangsa yang kadangkala dipinggirkan, namun tetap berdiri teguh sebagai tiang peradaban.
Sebagai pendidik dalam ranah pendidikan Matematik, aku tidak memasang harapan setinggi langit untuk melihat tesis mahasiswa dipenuhi dengan kosa kata yang indah bak pujangga. Aku maklum, mereka bukan daripada jurusan sastera, bukan juga pengkaji bahasa. Cukuplah ayat-ayat mereka mudah difahami, tetapi tulus daripada pemikiran yang jujur dan mendalam. Itu lebih bererti daripada baris-baris kata yang memukau mata, tetapi kosong isinya. Namun dalam diam, aku terpesona, kerana di celah-celah kepayahan itu, masih ada mahasiswa yang berani menyelitkan istilah-istilah tinggi dan bernas, yang jarang-jarang kita temui dalam kalangan penulis bidang sains mahupun sains sosial. Istilah itu tidak hanya mewarnai tesis mereka, malah menjadi bukti bahawa bahasa Melayu mampu menanggung beban ilmu yang paling berat sekalipun, andai digunakan dengan bijaksana.
Tuntasnya, aku menyantuni mahasiswa di bawah jagaku dengan hati yang seimbang, antara kasih seorang pendidik dengan amanah seorang penyelia. Dalam setiap helaian draf yang kuperiksa, terselit denyut usaha dan keringat mereka yang tak selalu terlihat di permukaan. Namun, sesekali tatkala menelusuri manuskrip mereka, aku terhenti sejenak. Ada istilah yang asing bagi generasi kini, namun wujud dalam tulisan mereka dengan megah. Bagai bunga lama yang mekar semula di taman moden. Kata-kata yang jarang diangkat, kini kembali hidup di tangan anak-anak didikku. Saat itu, hatiku diselimuti rasa bangga yang sukar diungkap. Inilah detik-detik kecil yang membuat seorang pendidik mengalirkan syukur dalam diam. Inisiatif mereka, walau barangkali tanpa sedar, menyulam semula jalur kesarjanaan yang menyatu antara ilmu dengan bahasa bangsanya. Dan aku percaya, itulah tanda bahawa mereka bukan sekadar menuntut ilmu, tetapi sedang menjiwainya.
Bacalah daripada sumber yang benar, yang sahih dan terbukti …
Aku sering mengulang pesan, bukan sebagai bebelan kosong, tetapi sebagai bekal untuk perjalanan jauh anak-anak didikku, “Bacalah … dan teruslah membaca.” Bacalah apa sahaja. Jika mahu komik untuk hiburan, silakan. Jika mahu berita sensasi untuk lepas lelah, tiada salah. Namun jangan biarkan seluruh masa hanyut di situ. Berikan lebih ruang untuk bahan yang menghidupkan jiwa dan mencambah akal. Ilmu tidak datang daripada hal yang ringan-ringan sahaja. Terkadang ia tersembunyi dalam naskhah tebal yang sunyi daripada sorotan media. Jangan hanyut di lautan media sosial yang bergelora kerana gelombangnya boleh menenggelamkan waras. Jangan sesat di hutan gosip yang lebat kerana akar spekulasinya menjalar dan menjerat. Dan jangan juga terbang terlalu tinggi ke awan angan-angan kerana di sana, tiada bumi untuk berpijak. Bacalah daripada sumber yang benar, yang sahih dan terbukti. AI itu hanya alat, walau cerdas, ia tetap hasil ciptaan akal manusia. Jangan telan mentah-mentah setiap janaan yang lahir daripadanya. Telitilah, tapislah dan timbangkan dengan neraca akal yang waras. Kerana membaca itu ibarat menimba air di telaga ilmu dan akal ialah timba yang akan menentukan jernih atau keruhnya air yang kau bawa pulang.
Membaca juga ialah jambatan emas ke alam ilmu. Tanpa membaca, kita sekadar katak yang selesa di bawah tempurung sempit. Socrates pernah berkata, “Semakin banyak aku tahu, semakin aku sedar betapa sedikit yang aku tahu.” Itulah kerendahan hati yang menjulang tinggi. Jangan hanya lalai dengan media sosial yang kadangkala lebih banyak memancing emosi daripada memberi erti. Gembira aku mendengar, rakyat Malaysia kini membaca lebih banyak daripada dahulu. Namun begitu, puratanya masih rendah berbanding negara lain. Apa guna slogan “Bangsa Membaca Bangsa Berjaya” jika kita hanya membaca dan menghafalnya tanpa menghayatinya?
Akhirnya, semua terletak di tangan kita. Mahu menjadi generasi berilmu, atau sekadar generasi yang leka? Mahu menggunakan teknologi sebagai alat untuk menyinar, atau sebagai topeng untuk menipu diri sendiri?
Dan ingatlah, wahyu pertama bukan suruhan untuk solat atau puasa, tetapi: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Surah al-‘Alaq, 96:1).

_________________________
Abdul Halim Abdullah (Prof. Madya Dr.) merupakan ahli akademik sepenuh masa di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sangat cinta pada bahasa ibundanya. Beliau pernah dinobatkan sebagai Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pada tahun 2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Tokoh Penerbitan (Kategori Sains Sosial) Majlis Citra Karisma UTM 2025.