Diterbitkan pada 4 Ogos 2025, 14:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nazmi Yaakub menyatakan bahawa polemik yang berlangsung tentang Hadiah Sastera Perdana Malaysia baru-baru ini sebenarnya suatu perkembangan positif dalam aluran sastera yang sudah lama tidak timbul.

Saya kira, ketiadaan ruang polemik itu membunuh hubungan pengarang dan penulis sastera daripada pelbagai latar belakang sedikit demi sedikit. Selepas tiada polemik sastera, masing-masing berasa tidak ada keperluan untuk melihat karya orang lain, kemudian menilai dan mengkritik dalam satu tulisan yang boleh dipertanggungjawabkan serta didokumentasikan.

Ketika ghairah berkarya mula membugar di perantauan di Perlembahan Nil, saya mengirimkan tulisan kepada Allahyarham Sutung Umar RS yang ketika itu Ketua Unit Pengembangan Sastera Berita Harian (BH) atau tentunya lebih dikenali dengan jawatan editor sastera. Tulisan saya tidak hanya dalam bentuk cerpen, malah esei polemik dan rencana sastera.

Sutung atau nama sebenarnya, Wan Omar Wan Ahmad sememangnya menggalakkan polemik dan kritikan sastera, bahkan beliau berani mempertahankan sikap itu walaupun ke mahkamah, seperti yang diakui dalam perbualan saya dengan beliau dan Allahyarham Rahimidin Zahari.

Perbualan itu berlaku dalam pertemuan apabila saya dilantik sebagai Pengarang Sastera BH pada tahun 2014, tidak silap di rumahnya, dalam usaha mendapatkan nasihat dan pedoman mengendalikan ruangan berkenaan.

Selepas pertemuan itu, saya berjaya meyakinkan Pengarang Kumpulan BH ketika itu, Datuk Mahfar Ali untuk membuka ruangan Sastera & Budaya kepada penulis luar dengan bayaran honorarium.

Memang ada beberapa polemik sastera yang muncul dalam terbitan hari Sabtu setiap minggu, termasuk isu penerbit indie yang agak tajam apabila pengarang seperti Penerima Anugerah SEA Write, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau SM Zakir dan Muhammad Lutfi Ishak menerima kritikan balas daripada beberapa individu dalam ranah penerbitan berkenaan.

Walau bagaimanapun, ketika saya mula mengendalikan ruangan Sastera & Budaya itu, gelombang media sosial semakin ketara mengubah cara manusia berhubung dan berkomunikasi, tidak terkecuali khalayak sastera itu sendiri.

Tulisan di media sosial seperti Facebook dan Twitter (kini X) biasanya pendek (dan hal ini lebih ketara dalam Twitter yang mengehadkan aksara) menyebabkan “polemik” sastera menjadi pendek-pendek sehingga frasa-frasa emosional lebih menggelembung, manakala ayat-ayat intelektual menipis, bahkan menjadi hampa dalam hantaran-hantarannya.

Manusia cenderung bergaduh dalam semua isu, daripada politik hingga hubungan perkahwinan, percintaan dan persahabatan dalam ayat-ayat yang tidak lengkap strukturnya, penuh dengan maki hamun serta gopoh-gapah sifatnya.

Dalam sastera, kalau penulis tidak saling memuji rakan satu “kabilah” atau “kelab”, walaupun kualiti karya tidak ke mana, hantaran yang menyindir atau menyerang lebih kurang sama saja dengan khalayak umum.

Dengan lain kata, penulis sendiri tidak berminat untuk menulis esei polemikal atau kritikan sastera hingga sepanjang mengendalikan ruangan dibuka kepada penulis luar itu, saya sering lelah kerana tidak ada tulisan untuk dimuatkan.

Akhirnya, cita-cita untuk mengembalikan polemik sastera seperti yang berlaku antara Sasterawan Negara (SN) Dato’ Shahnon Ahmad dengan Kassim Ahmad mengenai sastera Islam tidak tercapai kerana lebih ramai yang berminat untuk memuat naik hantaran pendek-pendek di media sosial mereka, berbanding menghasilkan esei polemikal yang jauh lebih panjang.

Kemudian, harapan itu terus terkubur apabila akhbar mula merasakan kesan gangguan digital (digital disruption) hingga terpaksa melakukan penyesuaian dengan realiti baharu – ruangan itu sudah lagi tiada.

Lebih memburukkan keadaan, khalayak sastera sendiri semakin terpecah dan membentuk kabilah atau kelab masing-masing. Institusi dalam ranah sastera menjadi pulau tersendiri yang semakin terasing dengan hanya beberapa pengarang atau penulis yang sering “tersidai” di pantainya, mendapat perhatian orang di dalamnya. Penulis memilih “gu” masing-masing, mungkin dari segi generasi, platform digital atau mewujudkan kelab yang menambah jumlah organisasi penulisan. Di negeri, penulis yang tidak berhijrah ke Lembah Klang seolah-olah tidak mendapat perhatian ketara di luar sempadan yang mungkin mutu karya memainkan peranan, tetapi yang terbaik dalam kalangan mereka pun tidak diperkatakan sama ada pada peringkat institusi mahupun universiti.

Kesannya, khalayak penulis sastera terkepung dalam tembok yang dibina dan ditinggikan hari demi hari dengan hanya beberapa individu yang dapat melintas sempadan berkenaan. Acara baca puisi atau bicara karya yang dahulunya menjadi melting pot kepada para penulis pelbagai generasi dan genre bertemu, hanya jadi program ulangan (itu pun baca puisi sahaja kerana bicara karya tidak lagi jadi acara wajib) dihadiri oleh kelompok sendiri. Hal ini sangat benar jika kita lihat pada acara baca puisi.

Saya kira, ketiadaan ruang polemik itu membunuh hubungan pengarang dan penulis sastera daripada pelbagai latar belakang sedikit demi sedikit. Selepas tiada polemik sastera, masing-masing berasa tidak ada keperluan untuk melihat karya orang lain, kemudian menilai dan mengkritik dalam satu tulisan yang boleh dipertanggungjawabkan serta didokumentasikan.

Hal ini berlaku bertahun-tahun sehingga semangat sastera hilang bukan sahaja dalam masyarakat, bahkan daripada dada pengarang dan penulis sastera sendiri.

Saya kira sedang menyaksikan kematian polemik sastera, hanya sahaja ternyata saya salah. Mungkin tidak keterlaluan untuk saya menyifatkan bahawa membaca polemik yang tercetus daripada penilaian puisi dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 seolah-olah melihat burung Phoenix yang bangkit daripada abu selepas dirinya terbakar.

Polemik terhadap puisi eceran dinilai terbaik dalam sastera Malaysia sepanjang dua tahun penilaian itu sebenarnya disertai oleh pengarang dan penulis sastera merentas pelbagai sempadan. Perbincangannya merentas generasi dari segi usia, pemikiran dari aspek pandangan alam, lokaliti kerana melibatkan dari Lembah Klang dan negeri.

Dewan Sastera (DS) yang pernah menjadi wadah polemik sastera Islam, sekali lagi berperanan dalam menyemarakkan polemik, meskipun kita perlu akui belum cukup untuk menyamakan kedua-duanya.

Walau bagaimanapun, ada tulisan yang cuba menyelongkar lebih jauh daripada sekitar pusat emosi atau pandangan luar sahaja dengan menilai dari segi falsafah dan budaya di sebalik pemilihan puisi tertentu dalam HSPM 2021/2022. Hal ini sebenarnya isyarat yang sangat baik, menandakan polemik yang berlaku boleh dikembangkan lagi, meskipun tidak semestinya mengenai isu yang sama.

Hanya sahaja, saya bimbang satu sahaja dalam hal ini. Ada pihak yang mengambil sikap yang salah terhadap budaya polemik dalam sastera hingga boleh membantutkannya.

Hal ini kerana polemik pastinya menghasilkan kritikan yang tajam, manakala sasarannya tidak hanya terkena pada satu-satu pihak. Kalau-kalau panah itu terkena kepada tokoh tertentu, adakah hal itu nanti menjadi sebab-musabab untuk menutup polemik yang terhasil?

Walau bagaimanapun, saya kira kebimbangan ini mungkin tidak berasas. Setakat ini, polemik puisi eceran HSPM 2021/2022 masih terus berlangsung. Namun begitu, tidak salah saya memberikan ingatan awal-awal lagi.

Polemik yang berlaku ini sudah menunjukkan impak positif – tembok yang mengelilingi kabilah, kelab atau apa-apa sahaja label tidaklah terlalu tinggi hingga tidak boleh direntasi. Pengarang dan penulis sastera sudah mula membina wacana antara generasi, pemikiran dengan lokaliti.

Justeru, apa-apa yang kita perlu lakukan adalah dengan menyemarakkan lagi polemik dan kritikan ini. Burung Phoenix tadi yang bangkit daripada abu selepas terbakar, usah pula kita menyembelihnya. Sebaliknya, kita biarkan burung mitos itu berterbangan dan membawa semangat asal yang pernah menghidupkan sastera Malaysia itu.

Hal ini kerana, kita bukan hanya mahukan sastera hidup dalam khalayak sastera, bahkan dalam masyarakat kita dan kalau boleh, kepada pembaca antarabangsa.

_________________________

Nazmi Yaakub ialah wartawan dan pengarang akhbar yang menyusun kata, serta cerpenis, novelis dan eseis mengasah pena. Kini, beliau mula cuba menjadi pengaudio siar melalui audio siar Buku Malam² dan Buku Siang² di https://www.facebook.com/imzanazmi dan tiktok.com/@bukunotakaki.

Kredit Foto: Europena/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi