Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBanting – “Puisi yang mempunyai nilai keindahan dan kejujuran harus mempunyai daya tarikan daripada dua hala, iaitu sosiologi dan teologi yang menyuarakan realiti masyarakat dan menyentuh dimensi rohani serta nilai keagamaan.”
Demikian pembentangan kertas kerja penerima SEA Write Award Sdr. Zaen Kasturi bersempena dengan Hari Puisi Nasional (HPN) ke-23 di Hotel Villea Morib semalam.
Menurut beliau, puisi yang indah bukan diungkapkan dengan kata-kata biasa, malah dihadiri dengan ungkapan bait puisi yang indah dengan keseimbangan antara unsur sosiologi dengan teologi.
“Keindahan puisi itu dapat diperlihatkan dengan nilai estetika dan kemoralan keagamaan dalam sesebuah puisi yang dihasilkan,” jelas beliau.
Beliau memetik puisi karya Edgar Allan Poe yang bertajuk “Al Aaraaf” (al-A’raf) yang menjadi contoh bagaimana puisi mampu menampilkan kekuatan sosial dan nilai kemanusiaan, walaupun tidak mengamalkan unsur teologi secara eksplisit.
“Edgar Allan Poe lebih menumpukan penggunaan sosiologi, yang menekankan nilai kemanusiaan, berbanding teologi yang lebih tertumpu pada nilai keagamaan,” ujar beliau.
Beliau berpandangan bahawa perbandingan ini menunjukkan bahawa walaupun puisi yang hanya berasaskan aspek sosial atau kemanusiaan sudah mampu mencipta karya yang kuat dan berkesan, kehadiran unsur teologi dapat menambahkan lagi kedalaman dan keindahan puisi atas unsur ketuhanannya yang mampu menyentuh jiwa.
Selain itu, beliau juga menyifatkan bahawa puisi tidak seharusnya tertumpu pada tradisi Barat semata-mata, yang lazimnya hanya menekankan nilai sosiologi dan aspek kemanusiaan dalam konteks sekular.
Penyair seharusnya memberi perhatian pada puisi Melayu yang memiliki kekuatan yang seimbang, iaitu berfokus pada sifat dua hala terhadap unsur utamanya; unsur sosiologi yang mencerminkan realiti masyarakat dengan unsur teologi yang menyentuh dimensi rohani serta hubungan manusia dengan Tuhan.
“Keyakinan Barat dalam kepengarangan puisi tidak memiliki unsur kesedaran teologi kepada masyarakat mereka.
“Manakala dalam puisi Melayu, ditafsirkan dengan nilai teologi yang menghubungkan antara penulis dengan Tuhan,” tambah beliau.
HPN ke-23 yang berlangsung pada 11 hingga 13 Julai 2025 di Hotel Villea Morib, menyaksikan penggabungan legasi antara HPN dengan Hari Puisi Kebangsaan buat pertama kalinya sejak resolusi dimuktamadkan pada HPN ke-21 di Pontian, Johor.
