Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 11 Julai 2025, 06:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus mengukuhkan reputasinya sebagai medan utama penerbitan karya sastera bermutu apabila mendominasi kemenangan dalam Kategori B: Karya Eceran sempena Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022.

Daripada keseluruhan 28 buah karya yang dinobatkan sebagai pemenang dalam kategori itu, sebanyak 18 buah karya merupakan terbitan majalah tersebut.

Lebih membanggakan, Dewan Sastera turut mengungguli tiga genre utama dalam kategori berkenaan dengan menyapu bersih lima kemenangan bagi drama eceran, selain merangkul sembilan daripada 10 kemenangan dalam puisi eceran, serta menguasai empat daripada lima kemenangan bagi makalah separa ilmiah.   

Antara penerima hadiah yang cemerlang dengan kemenangan “hatrik” termasuklah Zaen Kasturi menerusi puisi “Dari Senja Hingga Senja Lagi” serta cerpen “Mencari Air Ulung”, Saifullizan Yahaya dengan cerpennya, “Kisah Sebuah Rumah yang Tidak Pernah Selesai” dan esei “Tradisi dan Pengalaman Kepengarangan Islam sebagai Teras Pemikiran dan Pengucapan Penulis Mutakhir”, serta Siti Jasmina Ibrahim dalam dua buah drama, iaitu “Bazin Bawah Pintu” dan “Gantungkan Dulu Jakinya Itu”.

Siti Jasmina Ibrahim berjaya merangkul dua hadiah karya eceran drama yang tersiar dalam majalah Dewan Sastera.

Selain itu, terdapat pemenang baharu yang turut menyerlah dengan meraih kemenangan buat julung-julung kalinya dalam kategori ini, termasuk Norawi Hj. Kata (puisi “Lidah yang Dirindui Ular”), Abdul Mubin Ismail (puisi “Penjual Doa”), Zamhari Bakti (puisi “Pencuri Pakaian”), Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid (esei “Strategi Naratif dalam Novel Sejarah: Menjalin Fakta dengan Fiksyen”), Rita Robert Rawantas (cerpen “Stingere”), U-Wei Haji Saari (drama “Sampai Hidup Harung Sengsara”), dan Yusof Bakar (drama “Orang Bulan”).

Pada masa yang sama, mereka yang berjaya memenangi karya eceran membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 mengikut genre masing-masing.

Secara keseluruhan, Kategori B: Karya Eceran dalam HSPM edisi kali ini telah menerima jumlah penyertaan tertinggi daripada para peserta berbanding dengan tiga kategori lain yang dipertandingkan, iaitu sebanyak 3,203 buah karya.

Kategori B HSPM merupakan kategori bagi karya eceran, seperti cerpen, puisi, drama, serta esei/kritikan sastera yang disiarkan dalam pelbagai medium penerbitan, termasuk majalah, jurnal, akhbar, dan buku antologi.

Pengiktirafan terhadap karya eceran Dewan Sastera dalam HSPM 2021/2022 telah menyaksikan majalah tersebut mempunyai peranan yang signifikan dalam usaha menyemarakkan wacana dan kreativiti kesusasteraan, sekali gus memperlihatkan pengaruhnya dalam landskap penerbitan sastera tanah air.

Kredit Foto: Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi