Diterbitkan pada 19 Jun 2025, 08:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dr. Khairul Nizam Zainal Badri meneliti konsep hiperrealiti dan fiksyen yang makin menjelma dalam dunia realiti.

Sesuai dengan khalayak pembacanya yang rata-rata terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja, Abrashkin dan Williams membina plot cerita berdasarkan pendekatan yang dapat mengembangkan pemikiran dan kecerdasan intelek mereka.

Siri remaja bercorak novel fiksyen yang dikenali sebagai Danny Dunn bermula pada tahun 1950-an, ditulis oleh Raymond Abrashkin dan Jay Williams. Kisah-kisah yang terdapat dalam siri ini agak inovatif, yang merangkumi pengembaraan remaja yang taasub dengan sains dan kejuruteraan yang diketuai oleh Danny dan rakan-rakannya—Irene yang menggemari bidang fizik dan biologi dan Joe yang suka melukis komik dan mencintai seni.

Setelah bapanya meninggal dunia, Danny tinggal bersama-sama ibunya di rumah Profesor Bullfinch, seorang saintis yang baik hati kerana ibunya bekerja sebagai pembantu rumah di situ. Danny dan rakan-rakannya berpeluang meneroka pelbagai uji kaji sains sepanjang tinggal di rumah saintis tersebut, termasuk cat antigraviti, mesin masa dan sinar haba.

Sesuai dengan khalayak pembacanya yang rata-rata terdiri daripada golongan kanak-kanak dan remaja, Abrashkin dan Williams membina plot cerita berdasarkan pendekatan yang dapat mengembangkan pemikiran dan kecerdasan intelek mereka. Tanpa disedari, pembaca mengikuti siri tersebut dengan tahap pemikiran yang meningkat dari masa ke masa. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan asas sains yang mereka miliki dan memahami mesej liberal yang hendak disampaikan, iaitu dengan menanam sifat ingin tahu, berjuang untuk keadilan, dan sentiasa berfikir tentang sesuatu.

Gambaran tentang teknologi dron bermula apabila Danny dan rakan-rakannya bertanya kepada Profesor Bullfinch tentang idea untuk menjadi halimunan dan boleh melihat orang lain tanpa disedari oleh orang yang dilihat itu. Profesor Bullfinch berhujah bahawa fizik mungkin tidak akan membenarkan idea tersebut, tetapi dia menawarkan pilihan kedua yang lebih pragmatik dengan memberikan bayangan tentang teknologi yang mempunyai fungsi pengintipan dan peninjauan, seperti fungsi dron yang dapat dilihat hari ini.

Profesor berkata: “What I’m thinking of is a tiny device full of sensors which would pick up the signals of light, sound and touch and send them back to a receiving station.” Terjemahannya: “Apa yang saya fikirkan ialah sebuah peranti kecil penuh dengan penderia yang akan mengambil isyarat cahaya, bunyi dan sentuhan lalu menghantarnya semula ke stesen penerima.”

Kenyataan profesor itu disandarkan kepada pengaruh yang berada di sekelilingnya sehingga hal itu dapat membayangkan teknologi yang boleh dibangunkan pada masa hadapan. Pengaruh yang dimaksudkan adalah seperti penggunaan pepijat (alat pengintip) yang boleh mentransmisikan data.

You’ve all seen spy stories on television in which bug is put somewhere in a room and send back voice signals to a listener. If it’s small enough, it isn’t noticed. Well, if you could make sensors tiny enough, they could send back the images and the touch of things as well as sounds. Then, if you had the right equipment to receive information, it would be just as if you were standing invisibly in that room.

 Terjemahannya:

Anda semua pernah melihat cerita pengintipan di kaca televisyen apabila pepijat diletakkan pada suatu tempat di dalam bilik dan menghantar kembali isyarat suara kepada pendengar. Jika ia cukup kecil, ia tidak akan disedari. Nah, jika anda boleh membuat penderia yang cukup kecil, mereka boleh menghantar semula imej dan sentuhan benda serta bunyi. Kemudian, jika anda mempunyai peralatan yang sesuai untuk menerima maklumat, ia adalah sama seperti anda berdiri dalam keadaan tidak dapat dilihat dalam bilik itu.

Edisi pertama siri Danny Dunn.

Beberapa minggu selepas mereka berdiskusi tentang halimunan, Profesor Bullfinch memanggil tiga orang kanak-kanak itu ke makmalnya untuk mempamerkan kepada mereka tentang peranti ciptaannya sebagaimana yang telah dibayangkan oleh mereka selama ini. Perantinya menggunakan teknologi semikonduktor sebagai teras, dilengkapi dengan kamera, penderia dan suis kawalan penerbangan terkecil yang pernah wujud. Dia membungkusnya dalam bentuk seperti pepatung kecil, di mana pengendalinya boleh menerbangkannya sejauh 2,500 ela, yang dikawal secara jarak jauh oleh gelombang mikro.

Ketiga-tiga kanak-kanak tersebut segera meminta untuk mencubanya. Irene melaraskan pandangan peranti tersebut seumpama kamera yang dilaraskan pada dron dan disebabkan dia sangat berminat dengan biologi, maka dia pun mula mengikuti seekor burung murai ke sarangnya, dan melihat dari jarak dekat menerusi kamera peranti bagaimana burung itu memberi makanan kepada anak-anaknya. Pada dasarnya, Irene menemui sesuatu yang diperlukan oleh penyelidik alam sekitar, iaitu peranti yang dapat memerhatikan dunia semula jadi. Kemudian, Danny mencadangkan bahawa dron juga sesuai digunakan untuk meneroka planet lain, sesuatu yang mungkin atau kini sedang diteliti oleh saintis bidang angkasa.

Tanggapan Jeneral Gruntle berkenaan dengan keupayaan dron yang mampu meninjau dan menggempur musuh itu memang benar-benar berlaku dalam dunia sebenar.

Walau bagaimanapun, selaras dengan konsep hiperrealiti, peranti itu juga mencipta perlanggaran sosial baharu. Misalnya ketika Danny mengambil alih kawalan. Dia terbang mengelilingi kawasan kejiranan, melihat ibunya sedang melakukan tugasan harian, dan memutuskan untuk mengikutinya, satu perbuatan nakal yang lazimnya dilakukan oleh kanak-kanak yang seusia dengannya.

Dia mengetahui rancangan ibunya yang pergi membeli pai sebagai kejutan untuk dirinya dan rakan-rakannya tetapi setelah mengetahuinya, dia tidak lagi berasa gembira kerana kejutan tersebut baginya tidak lagi mempunyai nilai. Dia turut menerbangkan peranti tersebut ke sekolah dan berjaya mengesan pembuli di sekolahnya dan mengetahui apa yang dirancang oleh pembuli tersebut untuk keesokan harinya.

Satu perkara menarik yang digarap oleh penulis buku ini ialah caranya membayangkan penggunaan peranti tersebut yang boleh melampaui batas penguatkuasaan tentera dan undang-undang. Pada pertengahan novel, muncul watak Jeneral Gruntle yang beranggapan bahawa peranti tersebut menjadi ancaman pada privasi masyarakat dan negara. Beliau cuba merampas peranti tersebut tetapi dihalang oleh Profesor Bullfinch dengan alasan bahawa peranti itu merupakan hak milik peribadinya, dan kerajaan tidak boleh mengambilnya begitu sahaja.

Jeneral Gruntle berusaha mempertahankan tindakannya kerana menurutnya, Profesor Bullfinch tidak memahami kepentingan perkara ini kepada pertahanan negara. Tambahnya, peranti tersebut hanya sesuai digunakan untuk tujuan ketenteraan—boleh digunakan untuk menembusi semua pertahanan musuh dan dengan beberapa pengubahsuaian boleh digunakan untuk meletupkan tempat penyimpanan senjata, mencari rahsia musuh, atau bahkan membunuh pemimpin musuh.

Tanggapan Jeneral Gruntle berkenaan dengan keupayaan dron yang mampu meninjau dan menggempur musuh itu memang benar-benar berlaku dalam dunia sebenar. Pada tahun 1980-an dan 1990-an, tentera Amerika Syarikat menggunakan dron secara meluas dalam Perang Teluk untuk misi peninjauan, pengawasan dan pertempuran.

MQ-1 Predator, dron yang cukup menakutkan, digunakan oleh tentera Amerika Syarikat sewaktu perang di  Afghanistan dan Iraq. (Sumber: Lt. Col. Leslie Pratt)

Perkembangan dron Predator pada pertengahan tahun 1990-an menjadi tanda aras baharu dalam teknologi peranti yang dikawal secara jarak jauh itu apabila dron itu dilengkapi dengan pengesan dan kamera canggih, serta mempunyai keupayaan untuk membawa dan melancarkan peluru berpandu. Dron Predator menjadi senjata rahsia tentera Amerika Syarikat, yang memainkan peranan penting dalam peperangan di Afghanistan dan Iraq.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

_________________________

Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) mengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.

Kredit Foto: Matthew Stephenson/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi