Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDr. Khairul Nizam Zainal Badri meneliti konsep hiperrealiti dan fiksyen yang makin menjelma dalam dunia realiti.
Enjin fiksyen berkembang menjadi satu teknologi atau sistem yang mampu mempelbagaikan dan mengubah pengalaman hidup kita …
Fiksyen merupakan sesuatu yang berkaitan dengan kekuatan imaginasi, yang terdiri daripada fakulti atau tindakan yang membentuk idea baharu, imej atau konsep objek luar yang tidak hadir pada deria. Dalam hal ini, fiksyen boleh diertikan sebagai keupayaan minda yang boleh berubah menjadi akal atau rekaan yang kreatif. Dalam konteks sastera, fiksyen ialah tulisan rekaan (cereka), bukannya fakta sebenar. Namun tidak mustahil, fiksyen boleh menjadi realiti pada masa hadapan. Atas sebab itu, fiksyen ada kalanya memberikan inspirasi kepada kepercayaan dan tindakan untuk membentuk wawasan dan penentuan terhadap capaian sumber pada masa hadapan.
Mengarang novel dalam bentuk imaginasi kreatif akan kekal sebagai usaha kritikal, tetapi benih naratif tersebut mampu mencetuskan pelbagai idea hebat dalam mengembangkan teknologi, bahkan memberikan cadangan yang terbaik untuk meningkatkan permintaan terhadap inisiatif untuk membangunkan sesuatu yang berinovasi. Dengan itu, dapatlah dikatakan bahawa fiksyen memungkinkan berlakunya pemindahan kuasa daripada individu atau kolektif yang mampu menjana pengalaman hidup yang menarik kepada pengaturan dan penonjolan teknologi atau sistem, yang kemudiannya berupaya pula mengubah persepsi dan pemikiran dalam kehidupan manusia.
Dengan kata lain, manusia mengatur dan menonjolkan kuasa melalui fiksyen yang terjana dalam mindanya kemudian, dengan keamatan, halaju dan skala yang besar, lantas enjin fiksyen itu berkembang menjadi satu teknologi atau sistem yang mampu mempelbagaikan dan mengubah pengalaman hidup kita.

Dalam hal fiksyen yang berubah menjadi realiti, ahli falsafah Perancis, Jean Baudrillard (1929 – 2007) mengemukakan pandangan tentang bagaimana perkara tersebut boleh berlaku. Menurutnya, faktor terbesar yang menjadi penyumbang kepada konsep yang dipanggilnya sebagai hiperrealiti itu ialah pascamodenisme yang didorong oleh gerakan sosial yang mempersoalkan konvensyen dan institusi sosial sedia ada.
Melalui lensa pascamodenisme, realiti dilihat sebagai sistem yang berpecah belah, komplementari dan polisemik dengan komponen yang dihasilkan oleh aktiviti sosial dan budaya. Realiti sosial yang membentuk realiti konsensus sentiasa dihasilkan dan dihasilkan semula, berubah melalui penggunaan lanjutan tanda dan simbol yang seterusnya menyumbang kepada penciptaan hiperrealiti yang lebih besar. Di sini, tanda dan simbol memperoleh makna yang tidak terikat daripada perkara yang sebelum ini dapat difahami secara tradisi sebagai nyata. Realiti tidak lagi mempunyai masa untuk mengambil rupa realiti. Realiti mengatasi fiksyen, dengan menangkap setiap mimpi walaupun sebelum hal itu muncul dalam mimpi.
Dengan kata lain, hiperrealiti merupakan satu proses evolusi tanggapan realiti yang berada dalam wadah pascastrukturalisme sehingga boleh membawa kepada keadaan kekeliruan dalam budaya antara tanda dengan simbol yang dicipta untuk menyokong realiti dan persepsi langsung tentang realiti konsensus. Hiperrealiti juga dilihat sebagai satu keadaan berlakunya pemampatan persepsi realiti dalam budaya dan media, apabila apa-apa yang secara umum dianggap sebagai nyata dan apa-apa yang difahami sebagai fiksyen digabungkan dengan lancar dalam pengalaman supaya tidak ada lagi perbezaan yang jelas antara mana satu yang berakhir dengan mana satu lagi bermula.
Walaupun hiperrealiti menimbulkan kebimbangan sosial yang besar, terutamanya dalam hal-hal yang bersangkutan dengan etika, namun konsep tersebut tetap dianggap sebagai penting dari sudut paradigma kerana membantu untuk menerangkan keadaan budaya semasa.
Dalam penciptaan hiperrealiti, pergantungannya pada nilai pertukaran tanda menjadi asas pada usaha untuk melepaskan diri daripada mana-mana pelibatan emosi sebenar, dengan cara memilih simulasi tiruan dan pengeluaran semula, yang tanpa pada awalnya adalah kosong. Pemenuhan atau kebahagiaan ditemui melalui simulasi dan peniruan simulasi realiti sementara, bukannya sebarang interaksi dengan mana-mana realiti sebenar.
Terdapat empat langkah cara hiperrealiti dapat dihasilkan semula dan berulang, iaitu pertama, refleksi asas realiti dalam persepsi yang pantas; kedua, penyimpangan realiti, yakni dalam bentuk perwakilan; ketiga, kepura-puraan realiti apabila tidak ada model; dan keempat, simulacrum yang tidak mempunyai kaitan dalam realiti sama sekali. Simulacrum menurut Baudrillard bukanlah salinan yang sebenar, tetapi tetap boleh terjadi atau berlaku melalui pemampatan sosiobudaya apabila sesuatu perkara itu benar-benar berlaku dan dapat berdiri dalam realiti.
Adik-beradik Wright tidak mungkin dapat mencipta kapal terbang sekiranya mereka tidak membina visi …
Adakah angan-angan termasuk dalam fiksyen yang berubah menjadi realiti?
Sesetengah pihak memang beranggapan begitu. Menurut golongan ini, semua penemuan bermula sebagai fiksyen. Sarjana politik Benedict Anderson (1936 – 2015) berhujah dalam Imagined Communities bahawa negara bangsa tidak akan wujud tanpa fiksyen. Tambah golongan ini, tanpa fiksyen mana mungkin William Shakespeare (1564 – 1616), sarjana sastera Inggeris dan Miguel de Cervantes (1547 – 1616), sarjana sastera Sepanyol dapat mengembangkan potensi intelektual mereka untuk mencipta bahasa dan identiti kebangsaan masing-masing.
Fiksyen sains dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang cara sesuatu idea itu dapat bertahan dalam ujian masa dan akhirnya menjadi kenyataan. Hal ini demikian kerana kehadiran teknologi atau persekitaran yang diinspirasikan daripada lingkungan teknologi dapat mempengaruhi penjanaan idea yang segar dan menakjubkan dalam dunia yang munasabah. Teknologi menjadikan idea fantastik itu berubah menjadi kenyataan, tetapi visi mendahului kemungkinan. Galileo Galilei (1564 – 1642) tidak mungkin dapat membangunkan teleskop sekiranya beliau tidak terinsipirasi dengan gelagat golongan bangsawan yang sentiasa mengintip dan mengintai antara satu sama lain. Begitu juga dengan adik-beradik Wright yang tidak mungkin dapat mencipta kapal terbang sekiranya mereka tidak membina visi terlebih dahulu.
Imaginasi dan percubaan secara rekursif mencipta masa depan. Dengan itu, dapatlah dikatakan bahawa fiksyen bukan sahaja mencadangkan kemungkinan masa depan, malah juga membantu menavigasi perubahan. Teknologi yang berkembang pesat menawarkan peluang untuk menyelesaikan cabaran yang dahulunya sukar dikawal dan memanjangkan serta meningkatkan kualiti kehidupan manusia secara radikal. Secara semula jadi, manusia mempunyai keupayaan untuk membayangkan dan mencipta sesuatu. Imaginasi membingkaikan realiti dan memaklumkan pencarian makna dalam sesuatu tema kehidupan. Apabila bingkai itu ditanggalkan, maka yang tinggal ialah realiti dalam kehidupan.
Teknologi dron misalnya, telah membantu menyelesaikan banyak perkara dalam kehidupan manusia pada hari ini. Spesifikasinya sebagaimana yang dapat dilihat mutakhir ini dikatakan berevolusi daripada teknologi UAV (Unmanned Aerial Vehicle) yang banyak digunakan dalam ketenteraan sekitar tahun 1990-an, seperti model GNAT 750 yang mencetuskan inspirasi kepada kelahiran model dron yang lebih maju seperti RQ-1 Predator. Namun begitu, ciri-cirinya yang maju itu telah pun digambarkan lebih awal dalam novel fiksyen (sains) siri remaja yang ditulis kira-kira 60 tahun yang lalu.
Dengan kata lain, hiperrealiti mengenai teknologi UAV yang melanda dunia pada masa itu benar-benar mempengaruhi masyarakat sehingga menghasilkan novel fiksyen yang dapat memperincikan dengan baik tentang teknologi dron yang bakal dibangunkan beberapa dekad selepasnya. Selain teknologi, beberapa isu yang menjadi kontroversi pada hari ini seperti ancaman kerahsiaan dan privasi juga telah disentuh dalam kandungan novel tersebut, sekali gus melengkapkan kitaran yang bermula daripada refleksi hinggalah kepada simulacrum sebagaimana yang dinyatakan dalam konsep hiperrealiti.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
_________________________
Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) mengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.