Diterbitkan pada 12 Mei 2025, 08:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pencetus Teori Anjakan Makna, Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari disifatkan sebagai seorang tokoh akademik yang berdiri dengan identiti tersendiri dalam seni penciptaan puisi.

Bahkan, keberadaan SN ke-15 itu pada ranah kesusasteraan Melayu mampu membentuk pemikiran dan mendidik pembaca melihat atau memahami sesuatu isu secara holistik dengan tidak menyempitkan makna.

Penulis, penyair dan penterjemah penulisan kreatif, YBrs. Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman berkata, kebijaksanaan Rahman mencetuskan inovasi dalam medan makna mengajar masyarakat berfikir secara lebih kritis dan kreatif.

“Rahman Shaari membawa suatu inovasi dengan imej yang berbeza.

“Beliau telah mencipta idionsinkrasi dalam karyanya justeru, secara tidak langsung, membijaksanakan pembaca melalui intelektualiti dan daya kreativiti yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi pembentangan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari yang diadakan di Balai Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 8 Mei 2025 lepas.

Pembentangan Rajeswari menjurus kepada konsep cinta berdasarkan beberapa puisi karya Rahman dalam edisi karya malar segar Anjung Persinggahan yang dianggap sebagai suatu inovasi dari sudut semiotik.

Beliau memilih konsep cinta berikutan sifat tersebut sangat dekat dan sering teruji dalam kehidupan insani, selain keindahannya terisi dalam kebanyakan karya puisi.

Menurut Rajeswari, konsep atau unsur cinta yang dibawa oleh Rahman dalam karya-karyanya membawa suatu inovasi yang meninggalkan gaya konvensi dalam larik-larik puisi dan seni puisi.

“Cinta sebagai perjuangan, pengorbanan, kesetiaan, keikhlasan, dan jati diri. Cinta mendapat sisi positif dalam semua puisi yang dikaji sebab cinta itu sendiri suatu misteri yang sering teruji dalam kehidupan insani,” katanya.

Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari turut bersama para hadirin pada hari kedua pembentangan seminar.

Tambahnya, cara berfikir serta ketajaman penghayatan Rahman dalam proses kepengarangan dan kreativitinya telah meluaskan horizon tafsiran, selain menyuburkan deviasi dan mencipta inovasi dalam mandala semiotik.

“Beliau telah beralih daripada konvensi kepada deviasi dan hal ini satu inovasi dalam aliran semiotik,” jelas Rajeswari.

Kredit Foto: Zai
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi