Diterbitkan pada 8 Mei 2025, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Penerapan nilai emosi dalam teks karya drama Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari memberi impak yang mendalam terhadap pemahaman karakter, penyampaian tema dan kesan moral dalam cerita.

Hal ini dinyatakan oleh YBrs. Dr. Mohd Shahremy Ikmal Shahbudin ketika membentangkan kertas kerja “Emosi dan Cerminan Sosial dalam Karya Drama Rahman Shaari” dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Rahman Shaari di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), siang tadi.

Menurut Dr. Mohd Shahremy, emosi menjadikan karya drama Rahman Shaari lebih relevan.

Emosi dalam teks dramanya menggerakkan perwatakan dan kedalaman ruang lakonan pelakon, sambil memberi ruang kepada pembaca dan penonton untuk berhubung dengan perasaan dan pengalaman watak.

“Inilah strategi yang berkesan untuk menyampaikan mesej yang kuat, sama ada tentang perjuangan, identiti dan nilai kehidupan,” ujarnya.

Barisan pembentang kertas kerja (dari kiri) pensyarah Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia, Tuan Haji Che Abdullah Che Ya, pensyarah Universiti Sains Malaysia Dr. Mohd Shahremy Ikmal Shahbudin dan penulis skrip Encik Subroto Katimin.

Beliau berkata, penerapan emosi dalam karya drama teater Rahman Shaari, seperti dalam Matahari Tak Selamanya Rembang, memberi impak yang besar terhadap pemahaman pembaca dan penonton tentang karakter, tema dan konflik dalam cerita.

Walau bagaimanapun, katanya, emosi bukan hanya sebagai elemen untuk menyentuh hati pembaca, tetapi juga sebagai alat untuk menyampaikan mesej yang lebih mendalam, baik dalam konteks sosial, budaya, mahupun pendidikan.

Meskipun Rahman lebih dikenali sebagai penyair dan juga dalam penulisan esei, karya dramanya tetap memaparkan kekuatan falsafah serta kedalaman emosi yang memperlihatkan kompleksiti psikologi manusia.

Dalam konteks kesusasteraan Melayu, Rahman Shaari merupakan tokoh yang bukan sahaja dikenali melalui puisi dan esei kritisnya, tetapi juga menerusi karya dramanya yang kaya dengan pemikiran falsafah, pengucapan estetika dan pengolahan emosi yang mendalam.

Justeru, tegas Mohd Shahremy, kebanyakan drama tulisan Rahman Shaari sering menampilkan watak yang bergelut dengan dilema nilai, krisis identiti dan konflik emosi yang kompleks.

Dalam hal ini, Rahman Shaari berjaya membina naratif teks drama yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mengajak khalayak untuk merenung persoalan hidup, makna kemanusiaan dan keadilan sosial.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi