Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 11 Februari 2025, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha memperkukuh hala tuju inisiatif penterjemahan karya penyair terkenal Turkmenistan, iaitu Magtymguly Pyragy, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan kunjungan hormat terhadap Duta Besar Tukmenistan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Encik Muhammetnyyaz Mashalov.

Kunjungan hormat yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, YBrs. Encik Sakri Abdullah tersebut telah berlangsung di Pejabat Kedutaan Turkmenistan, Wisma Sin Heap Lee semalam.

Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak membincangkan beberapa perancangan dan perkembangan usaha sama yang kini dilaksanakan berkaitan dengan projek terjemahan dan penerbitan karya Magtymguly Pyragy.

Pada masa yang sama, pihak kedutaan turut memaklumkan bahawa pihaknya berbesar hati dengan usaha tersebut, selain bersedia untuk membantu pihak ITBM dan DBP dalam proses perolehan beberapa naskhah kumpulan puisi penyair berkenaan dalam versi bahasa Inggeris bagi mempercepat dan memudahkan kerja penterjemahan dalam bahasa Melayu.

Menurut pihaknya juga, naskhah terjemahan sedia ada tersebut telah diterbitkan oleh kerajaan Turkmenistan sebelum ini bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahiran ke-300 penyair itu pada tahun lalu.

Turut serta dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ketua Jabatan Penerbitan ITBM, YBrs. Encik Khairulnizam Mohamad Yunis; Ketua Bahagian Hak Cipta ITBM, YBrs. Puan Hanani Laidin; Ketua Bahagian Buku Sastera DBP, YBrs. Encik Mohd Azam Juhari, dan YBrs. Puan Mazfarina Marzuki selaku pegawai Bahagian Harta Intelek DBP.

Terdahulu, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama-sama Presiden Turkmenistan, TYT Serdar Berdimuhamedow ketika lawatannya selama dua hari ke Malaysia pada Disember yang lalu menyatakan bahawa karya penyair agung Turkmenistan, iaitu Magtymguly Pyragy sedang dalam usaha penterjemahan kepada bahasa Melayu.

Inisiatif ini sebagai langkah untuk memaknai semangat kerjasama yang menyeluruh dalam kalangan negara Islam yang komited terhadap pembangunan dan keamanan.

Kredit Foto: Mazfarina Marzuki
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi