Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penterjemahan puisi penyair tersohor Turkmenistan, Magtymguly Pyragy ke dalam bahasa Melayu menjadikan dunia kesusasteraan sebagai medium hubungan dua negara yang membawa makna kerjasama komprehensif antara negara Islam yang komited terhadap pembangunan dan keamanan.
Bahkan, hal demikian mungkin menjadi satu wadah bagi melonjak nilai tinggi dalam bidang kesusasteraan, terutama karya Pyargy yang mengangkat nilai keadilan, keamanan dan keperibadian menentang ketidakadilan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), YBrs. Encik Sakri Abdullah memberitahu, kerja-kerja penterjemahan itu dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan Februari ini selepas perbincangan mengenai hal-hal berkaitan antara ITBM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kedutaan Turkmenistan pada awal bulan yang sama.
“Insya-Allah pada pertengahan bulan Februari, kita sudah boleh mulakan kerja-kerja terjemahan ini,” katanya sewaktu dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan ITBM dan DBP yang akan bekerjasama untuk menterjemahkan karya penyair terkenal di rantau Asia Tengah itu.
Menurut Sakri, kerja-kerja penterjemahan tersebut dijangka mengambil masa dua bulan sebelum naskhahnya diterbitkan, namun begitu, terpulang pada pemilihan puisi tokoh berkenaan.
”Selain itu, kita perlu tengok juga bahasa sumber, penterjemah dan penyunting yang akan dipilih.
”Jika kita merujuk puisi bahasa Inggeris, kerja-kerja penterjemahan akan lebih cepat, berbanding menggunakan bahasa asal,” jelas Sakri.
Beliau berkata, inisiatif penterjemahan tersebut bukan sahaja dapat mendorong masyarakat memahami budaya global, sebaliknya menggalakkan pembaca menghayati serta memahami karya-karya agung dunia.
Pyragy dilahirkan pada tahun 1724 di Hajygowshan, sebuah kampung berhampiran bandar Gonbad-e Qabus di wilayah Golestan moden, Iran, iaitu sebahagian daripada Empayar Safavid pada separuh pertama abad ke-18.
Beliau dikenali sebagai penyair falsafah dan sufi, selain dianggap sebagai tokoh dalam sejarah sastera di rantau Asia Tengah. Karismanya dilihat sebaris dengan tokoh sastera Turkiye seperti Yunus Emre serta Hoja Ahmad Yasawi.
Karyanya telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris, Rusia, Kyrgyz, dan Romania.