Oleh Osman Ayob
Diterbitkan pada 12 Januari 2025, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Labirin dalam Helaian kali ini menampilkan penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022, Osman Ayob. Beliau juga Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.01/2025. Cari dan telaah buku pilihannya dan selami pengalaman bacaannya.

Pengarang fiksyen kegemaran | Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Ada banyak karya yang ditulis oleh SN ini, namun yang begitu mengujakan saya ialah kumpulan cerpen Dunia adalah Sebuah Apartmen, novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Arus, Naratif Ogoshonto, dan Penyeberang Sempadan.

Hari-hari Terakhir Seorang Seniman ditulis dengan menarik dari awal hingga ke akhir. Saya tidak jemu membaca novel ini berkali-kali kerana teknik penyampaiannya mempunyai “irama yang menyentuh jiwa” saya. Novel ini mengungkapkan cerita seorang tua yang kaya dengan pengalaman seni dan mahu mengekalkannya dalam kehidupannya yang memiliki kompleksiti yang tersendiri dan sukar difahami oleh orang lain. Sama halnya dengan Naratif Ogoshonto yang memiliki kesatuan penceritaan yang kompleks dan menagih pembacaan yang teliti untuk memahami konsep dan pengajaran yang terkandung dalam satu bingkai kesejagatan yang berbentuk global. Novel atau cerpen-cerpen yang membentuk sebuah “novel cerita berbingkai” ini mencernakan pemikiran yang tajam dalam konteks masa depan yang sarat dengan segala kemungkinan.

Seperti satu kesinambungan pula, kemunculan Penyeberang Sempadan menjadi lebih mampat dengan falsafah kemanusiaan, selain konsep dan pegangan hidup yang menyerlahkan sebuah pengembaraan penuh cabaran yang mendebarkan. Novel ini mengangkat watak Kuay yang oleh kerana bencikan penjajah, sanggup meredah belantara yang penuh ranjau sebelum melewati sempadan negara jiran dan langsung membawa diri ke negara yang asing untuk merealisasikan kehidupan manusia sejagat secara sama rata dan adil. Namun begitu, impian Kuay ilusi semata-mata. Realisasimya menampilkan pelbagai masalah kerana manusia sebenarnya memerlukan saingan untuk bergerak maju.

Kebekuan dalam fahaman sama rata, dianggap oleh Kuay bukan satu keadilan sejati, sebaliknya mengundang sikap malas, membeku dan tidak mahu berusaha lebih demi kejayaan hidup. Lantaran itu, Kuay meneruskan pengembaraan hingga ke Rusia yang juga berpegang pada fahaman “hidup sama rata sama rasa”. Kebekuan tetap berlaku sehingga penulis besar Rusia seperti Alexander Solzenitsyn terpaksa bersuara dalam karya mereka dan sanggup menghadapi risiko disiksa lalu terpaksa melarikan diri ke negara yang boleh menerima mereka.

Kuay terus mengembara ke Mesir dan seterusnya ke Amerika Syarikat hingga menemui seorang wanita Palestin yang bertungkus lumus memperjuangkan keadilan dan kebebasan demi memerdekakan negaranya. Kuay yang terus diburu oleh pengintip Rusia tetapi berjaya menyelamatkan diri dan berkenalan dengan Shafa’a yang serasi dengannya. Mereka berkahwin dan merasakan kehidupan di Amerika Syarikat ada kelainannya, kerana kebebasan di negara kapitalis itu membolehkan setiap warganya bebas bergerak dan mencari kekayaan mengikut kemampuan dan daya usaha yang gigih. Persaingan menjadi landasan dalam kehidupan apabila manusia boleh bergerak dan aktif dalam apa-apa sahaja bidang yang menjanjikan kehidupan yang lebih sempurna, selaras dengan minat dan kepandaian semula jadi.

Pengarang esei, teori dan kritikan kegemaran | Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana). Saya kagum dengan beliau atas kegigihannya sebagai ahli akademik yang cemerlang di samping mempunyai kelebihan menulis karya kreatif, terutamanya cerpen dan novel eksperimen, malah memiliki ketahanan berkarya sampai sekarang.

Keberhasilan beliau menghasilkan tulisan kritikan yang baik dan dapat diterima oleh khalayak, banyak membantu dalam perkembangan karya sastera kebangsaan. Inisiatif beliau untuk mengembangkan teori sastera sendiri bagi menyeimbangkan penggunaan teori Barat yang kurang sesuai dengan suasana “kehidupan sastera” kebangsaan amat dikagumi. Teori Teksdealisme beliau masih relevan dan menjadi panduan pelajar dan sarjana sekarang.

Eksperimen beliau dalam penulisan cerpen barhau/absurdisme amat dikagumi. Hipokondriakal, Aqula dan Fakurdabakia merupakan kumpulan cerpen beliau yang memiliki nilai yang tersendiri dan wajar dijadikan panduan kepada penulis generasi baharu yang gemar pada pembaharuan. Mutakhir ini, daya kreatif beliau tidak pernah kering, malah masih ada cerpen beliau yang tersiar dalam akhbar dan majalah tempatan melagangkan ide pembaharuan yang bukan sahaja segar dari segi tema dan persoalan, tetapi olahannya juga mirip pada sesuatu yang baharu.

Idea bernasnya selalu tersiar dalam kritikan dan ulasannya dalam akhbar dan majalah utama, termasuk Dewan Sastera. Pada ketika ramai profesor sastera kita apabila bersara sudah tidak menulis lagi, namun tidak bagi Mana Sikana. Inilah kelebihannya yang mengagumkan saya. Diharap beliau akan terus tajam fikiran untuk menyumbang jasa bakti serta kebolehannya kepada kesuburan sastera kebangsaan kita.

Buku fiksyen pilihan sepanjang zaman | Novel Gadis Pantai karya Pramoedya Ananta Toer. Kisahnya diolah secara santai dan dijalin dengan corak penceritaan naratif daripada pengarang yang mahir memanipulasikan bahasa yang indah dan penuh estetika. Gadis Pantai melukiskan dua kasta dalam kehidupan yang menggugah emosi. Demi mencari kehidupan yang lebih sempurna, gadis pantai berhijrah dari perkampungan nelayan miskin ke “istana darjat” yang sarat pula dengan peraturan dan susunan hidup yang penuh pancaroba.

Novel ini amat mengharukan, menjadi ikhtibar bagaimana manusia hidup dalam dunia emosi dan fantasi akibat dorongan hawa nafsu tanpa batasan, walaupun dianggap alim dan patuh pada seruan agama.

Pengarang bukan fiksyen pilihan sepanjang zaman | Zainuddin Maidin atau Zam pernah menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu. Beliau juga terkenal sebagai penulis pojok Awang Selamat dalam akhbar Mingguan Malaysia. Tulisannya kritis, provokatif dan menarik minat ramai.

Saya tertarik kepada beliau kerana Zam ada kaitan dengan sejarah dan dunia penulisan di Kedah. Anak kelahiran Kota Kuala Muda ini mula bekerja sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di Alor Setar sekitar tahun 1951. Berkat dedikasinya ketika bertugas, beliau dilantik menjadi kakitangan tetap 10 tahun kemudian. Menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 1998 dan Timbalan Menteri Penerangan pada tahun 2018. Pada tahun 2004, beliau menang dan menjadi Ahli Parlimen Merbok dan seterusnya menjadi Menteri Penerangan yang penuh kontroversi pada tahun 2006. Akibat percaturan politik yang dirancang untuk memencilkannya, beliau dipindah bertanding di parlimen Sungai Petani dalam Pilihan Raya Umum tahun 2008 lalu tewas.

Saya ingin mengaitkan ketokohannya sebagai pengarang yang tidak lupa kepada rakan-rakan seperjuangannya, yang tidak bernasib baik sepertinya. Salah seorang rakan baiknya ialah Affrini Adham. Sewaktu beliau menjadi Menteri Penerangan, beliau pernah mengunjungi pondok Pak Affrini di Seberang Nyonya, Alor Setar. Atas simpatinya kepada Pak Affrini, setiap bulan beliau memberikan bantuan kewangan sekitar RM200 kepada sahabat baiknya itu. Bantuan itu berakhir setelah Pak Affrini meninggal dunia pada tahun 2005.

Sebagai Menteri Penerangan, beliau terbabit dengan beberapa isu kontroversi. Antaranya termasuk dengan Al Jazeera yang melibatkan perbualan telefonnya tersebar, bukan sahaja dalam negara, malah ke seluruh dunia. Sebagai wartawan, beliau banyak menghasilkan buku yang ada kaitan dengan dunianya. Antaranya termasuk Wira Tak Didendang, Mahathir di Sebalik Tabir dan Yang Pertama dan Terakhir. Namun, saya cukup tertarik dengan buku Saya Bukan Menteri: Memoir Wartawan Negara yang menyingkap susur galur sejarah hidup dan perjuangannya dalam dunia kewartawanan yang penuh dengan pancaroba. Beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi menteri tetapi takdir telah menentukannya sampai ke tahap itu.

Watak dalam karya sastera yang digemari | Watak Rusyda dalam novel Perempuan Patani karya Suraiya Chapakiya. Secara naratif, watak ini berkembang dengan baik, sama ada sikap, pemikiran dan perjuangannya untuk memartabatkan ilmu, terutamanya tulisan Jawi di negaranya. Rusyda yang bersekolah di Kelantan menghadapi masalah apabila pulang ke Yala. Dia yang memiliki dua warganegara; Thailand dan Malaysia, terpaksa membuat keputusan bijak, menjadi warganegara Thailand, tanah tumpah darahnya dan tempat keluarganya membina kelangsungan hidup.

Rusyda yang setia dan patuh dengan kehendak orang tuanya terpaksa berkahwin dengan seorang tokoh politik yang telah beristeri. Namun begitu, dia terpaksa membuat keputusan drastik, melarikan diri ketika kenduri perkahwinannya berlangsung dalam hujan lebat. Atas sikap toleransi dan keharmonian dalam keluarga, konflik ini dapat diselesaikan dengan baik. Rusyda membantu keluarganya dengan berniaga kedai runcit. Perniagaan mendedahkan Rusyda kepada ramai pelanggan. Ada yang mengambil kesempatan memikatnya, termasuk Muhamad yang setiap kali datang bertanya khabar itu dan ini.

Muhamad yang merahsiakan telah mempunyai tunang, memutuskan untuk memilih Rusyda sebagai isteri. Sebagai suami yang ideal, Muhamad berperanan dalam usaha membantu hasrat Rusyda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Walau Bagaimanapun, Rusyda terpaksa belajar semula di Thailand bagi memenuhi kelayakan yang membolehkannya belajar pada peringkat ijazah pertama sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Sains Malaysia (USM). Atas komitmen Muhamamd, Rusyda berjaya mengatasi pelbagai halangan untuk ke menara gading.

Pada ketika yang sama, pembabitannya dalam perjuangan penggunaan tulisan Jawi di Selatan Thailand menjadi isu yang tidak disenangi oleh kerajaan Thailand. Di sinilah Muhamad memainkan peranan, bukan sahaja sanggup menjaga anak-anak yang kian membesar, tetapi memberi ruang kepada Rusyda meneruskan karier sebagai pengendali tadika, selain meneruskan cita-cita melanjutkan pelajaran.

Rak buku atau pustaka? | Sejak bergiat dalam dunia penulisan, saya membeli dan menyimpan banyak buku, majalah dan kertas kerja yang dikumpul sepanjang pembabitan saya dalam dunia penulisan. Sejak tahun 1970-an hingga sekarang, semua bahan ini tersimpan dengan baik. Semuanya penuh di dalam sebuah bilik di rumah berkembar saya di Sungai Petani. Kini pada usia 73 tahun, saya terfikir, ke mana khazanah ini hendak disimpan setelah ketiadaan saya? Perpustakaan Awam Kedah kini sudah tidak ada ruang, sedangkan Koleksi Kedah dan Koleksi Ismail Hussein sedang dihimpit dengan masalah kesesakan yang semakin kritikal.

Hingga kini, saya masih memikirkan cara untuk memindahkan khazanah buku ini untuk rujukan pembaca dan pengkaji pada masa akan datang. Mungkin lepas ini, ada pihak yang boleh menyumbang idea dan inisiatif bagi membantu mengatasi masalah ini?

Beli buku tulisan sendiri? | Ketika berlangsung acara penganugerahan SEA Write Award 2022 dan 2023 baru-baru ini, terdapat acara bertukar buku sesama pemenang. Saya membawa buku-buku karya saya yang saya beli sendiri untuk dihadiahkan sesama penerima anugerah. Walaupun pegawai Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka turut membawa buku saya, tetapi nyata tidak mencukupi. Hal ini perlu difikirkan pada masa depan agar sesi pertukaran buku dan hadiah-menghadiahkan ini berjalan dengan lebih harmoni kerana pihak penaja juga perlu diberikan buah tangan sebagai tanda kenangan yang sukar dilupakan. Namun begitu, saya beruntung kerana dapat menghadiahkan novel baharu saya, Beralih Sebuah Piama kepada CEO Bangkok Bank, iaitu penaja utama SEA Write Award di ibu pejabat bank itu sendiri.

Tentang Sasterawan Negara | Satu tulisan saya telah tersiar dalam JendelaDBP Dewan Sastera pada 25 November tahun lepas. Andaian saya ialah, sudah tiba masanya seorang sasterawan bukan Melayu dinobatkan sebagai Sasterawan Negara ke-16. Hal ini bertepatan dengan moto kerajaan MADANI sekarang yang menekankan soal pelbagai kaum dan pertimbangan yang lebih saksama. Sesungguhnya, politik tetap memainkan peranan dalam pelbagai bidang dan gerakan.

Buku yang dibaca sekarang | Ketika  menunggu di Don Mueang International Airport pada petang 27 November lalu, akibat kelewatan penerbangan, saya mengisi waktu yang terluang itu dengan memulakan pembacaan novel From the Sixth Hour to the Ninth Hour (Hoi Nha Van Publisher, 2023). Novel karangan penulis terkenal Vietnam, Nguyen Mot yang turut menerima SEA Write Award 2023 memaparkan getir dan pentingnya masa dalam setiap perjuangan, lebih-lebih lagi dalam perjuangan hidup untuk bangsa dan negara.

_________________________

Kenali Osman Ayob dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil.12/2024.

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi