Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBagi Ismail Hashim, Setiap penulis perlu menyedari acuan dirinya, dan acuan dirinya boleh berkembang dengan percubaan mengirim karya ke rumah penerbit majalah, akhbar atau buku, sayembara penulisan dan majlis ilmu persatuan penulis.
Memang kita ada mendengar cakap-cakap, sesetengah acuan dibentuk oleh penulis itu sendiri, bukannya persatuan. Akan tetapi, apabila acuan ini telah berkembang, perlu ada kesinambungan untuk menyertai persatuan. Hal ini tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang remeh.
Setiap penulis mempunyai caranya yang tersendiri untuk menghasilkan karya. Ada acuan yang dibinanya. Struktur acuan yang kukuh ialah paduan sistematik akal dan jari-jemarinya ketika menukang karyanya.
Mengikut pengalaman perdibadi, saya mula menulis di RTM Melaka melalui rancangan Di Pinggir Selat Melaka. Saya kemudiannya berjinak-jinak menghantar puisi dan cerpen ke media cetak, majalah dan akhbar.
Saya pernah menjadi wartawan sambilan atau disebut sebagai stringer bagi Kumpulan Utusan Melayu Sdn. Bhd. Syarikat yang turut menerbitkan majalah pada masa itu, misalnya majalah Massa yang mendekati gaya Dewan Masyarakat dan Times. Seterusnya, saya menulis drama radio dan drama-drama saya pernah tersiar di stesen radio RTM. Begitulah saya membina acuan diri saya sebagai penulis.
Sebaik-baiknya, ikutlah acuan dan disiplin sendiri. Penulis yang tidak mahu mengikut acuannya dan mengambil inti karya orang lain sebagai haknya, maka berlakulah plagiat yang sering diheboh-hebohkan oleh penulis.
Penulis sebegini menempah maut. Jerat yang dipasang kepada editor akhbar atau majalah untuk karyanya diberikan perhatian memakan dirinya sendiri. Sebaik-baiknya, dapatkan sumber pelbagai bagi modal bahan untuk menghasilkan sesebuah karya. Modal bahan yang dimaksudkan termasuklah pembacaan dan pergaulan harian.
kepada kuda tadi, kalau sudah kuda itu tidak mahu makan rumput, apakan daya kita memujuknya?
Bagi saya, menulis perlu ada acuan dan disiplinnya yang sendiri. Antara proses yang dapat mengasah acuan kita termasuk proses kita mengirim dan meneliti karya mana yang disiarkan oleh editor majalah atau akhbar dan karya mana yang tidak. Dan, apakah perkara yang dibaiki dan disesuaikan dalam penyiaraan tersebut. Bukankah majalah dan akhbar juga merupakan acuan bagi membentuk diri seseorang itu menjadi penulis?
Walaupun seseorng sudah pun menghadiri seribu bengkel penulisan, tapi kalau dia tidak menulis, tak ada faedahnya juga. Setiap penulis perlu melalui pelbagai fasa yang saya katakan sebagai acuan itu tadi.
Sekarang, ramai penulis pemula membina tapak untuk menulis di media sosial, bukan lagi di media cetak, setelah banyak akhbar dan majalah ditutup atau mereka kurangkan ruangan penyiaran karya kreatif. Saya juga mengikuti arus ini.
Majalah-majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga mengikut langkah dengan memperkenalkan naskhah digitalnya. Acuan (atau wadah) yang dibina untuk penulis ini tidak bersifat statik. Wadah ini terus berkembang baik, dari segi karya fizikal mahupun digital.
Hal yang kita fikirkan sekarang ialah pembentukan penulis pelapis. Tentulah proses penulisan mereka tidak sama acuannya dengan penulis yang terdahulu. Penerbitan digital yang cepat, masa nyata dan interaktif berjaya menenggelamkan dunia penerbitan fizikal. Siapakah yang menentukan hal ini semua? Sudah tentulah pembacanya. Kecenderungan membina pelapis muda untuk diketengahkan sudah berjaya melalui penerbitan digital. Kejayaan pembentukan melalui acuan ini berjaya menarik penulis pemula tadi.
Akan tetapi, melihat pada perkembangan acuan dalam kalangan penulis pelapis yang semakin menggalakkan, takkanlah kita hanya membiarkan mereka berserakan, bukan? Komitmen mereka terhadap persatuan penulis yang berserakan, seakan-akan seperti cendawan yang tumbuh di musim hujan, masih menjadi tanda tanya.
Begitulah zaman meninggalkan kita dengan sebuah kehilangan yang sukar diwujudkan kembali. Acuan seperti ini mungkin tidak wujud lagi. Apabila kurangnya sayembara-sayembara kebangsaan, tidak ada lagi penulis yang diangkat di arena sastera.
Saya hadir pada Hari Puisi Nasional ke-22 yang berlangsung di Kedah tahun lepas. Saya dapati, sambutan penulis pelapis pada majlis sebegini masih kurang memuaskan. Kenbanyakan yang hadir ialah golongan penulis yang sudah berusia. Mereka kebenyakannya sudah “pencen” bertahun-tahun dan tidak lagi menghasilkan sebarang karya.
Peribahasa ada menyatakan, kita tidak boleh memaksa kuda memakan rumput, kalau ia enggan memakan rumput tersebut. Akan tetapi, kesedaran perlulah diunjurkan dari semasa ke semasa untuk menarik penulis pelapis.
Majlis ilmu yang dikendalikan oleh persatuan, perlulah dimanfaatkan oleh setiap golongan usia, apatah lagi mereka yang turun padang ke majlis itu merupakan tokoh-tokoh penulis yang sudah terkenal, termasuk Sasterawan Negara yang turut hadir menjayakan majlis ilmu tersebut.
Memang kita ada mendengar cakap-cakap, sesetengah acuan dibentuk oleh penulis itu sendiri, bukannya persatuan. Akan tetapi, apabila acuan ini telah berkembang, perlu ada kesinambungan untuk menyertai persatuan. Hal ini tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang remeh.
Persatuanlah wadah yang membawa agenda yang lebih besar dalam kalangan penulis. Wajarkah hal ini dipinggirkan?
Pembentukan penulis yang agung sudah melalui pelbagai percuban dan tapisan, terutamanya melalui sayembara penulisan yang bersifat nasional. Karya-karyanya diperkatakan dalam majlis persatuan penulis, institusi dan universiti. Hal ini bermakna, peranan persatuan itu turut menjuakkan acuan tadi ke atas, barulah diri penulis dikenali ramai.
Karya-karya penulis agung telah melalui tapisan ini oleh para panel penilai yang berwibawa dan wajib dibaca oleh penulis atau pembaca umumnya. Hal ini penting bagi meransang acuan diri penulis.
Begitulah zaman meninggalkan kita dengan sebuah kehilangan yang sukar diwujudkan kembali. Acuan seperti ini mungkin tidak wujud lagi. Apabila kurangnya sayembara-sayembara kebangsaan, tidak ada lagi penulis yang diangkat di arena sastera.
Kepada penulis pelapis, paling tidaknya, timbalah pengalaman daripada persatuan penulis yang sedia ada apabila mereka mengendalikan suatu majlis. Sampai hari ini, kita masih lagi tercari-cari formula perpaduan antara penulis pelapis dengan penulis mapan, tetapi berbalik kepada kuda itu tadi, jika ia tidak mahu juga dengan rumput dan jerami yang dihidangkan kepadanya, terpulanglah kepada empunya badan!
______________________________
Ismail Hashim ialah penulis bebas dari Negeri Sembilan. Beliau menulis novel, cerpen, puisi, dan drama radio.