Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAlor Setar – Kerjasama yang erat antara editor dengan penulis memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan sesebuah karya yang berkesan.
Jalinan yang mesra tersebut, bukan sahaja memudahkan urusan penyuntingan malah akan merintis kepada usaha penulis dalam menghasilkan karya yang baharu.
Demikian kata-kata oleh Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika berucap melancarkan lima buah buku baharu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) sempena Hari Puisi Nasional ke-22 yang diadakan di Hotel Jerai, baru-baru ini.
Dalam ucapan tersebut, beliau berharap sinergi yang baik bukan sahaja memudahkan penulis, malah memberi ruang kepada editor bertukar pandangan dan idea agar penghasilan karya tersebut menjadi lebih baik.
Beliau juga menyarankan agar para penulis berasimilasi dengan kaedah semasa, iaitu menulis dan menjual produk.
“Era kini, penulis turut menjadi ejen jualan buku mereka sendiri dengan mengaplikasikan pelbagai kaedah”
“Media sosial kuasa besar dalam mempengaruhi jualan sesebuah karya, lantaran itu disarankan kepada para penulis untuk menggunakan kaedah semasa dan akhirnya karya anda tersebar meluas serta dibaca oleh khalayak.”
Seterusnya, beliau juga berharap agar penulis terus bekerjasama dengan DBP, menjayakan aspirasi DBP dan negara dalam melahirkan karya yang bersifat global.
Terdahulu, Dr. Hazami Jahari melancarkan lima buah buku Ahli ASASI, iaitu Travelog Cinta Madinah karya Abu Hassan Morad dan Antologi Puisi Tiga Rasa, Tenggelam Dalam Aksara karya Hamizun Syah, Qalam Daie dan Zulkifli Dolllah.
Manakala selebihnya karya Wadiassofi Jaafar, Kumpulan Cerpen Remaja yang berjudul Impian Murni; Kumpulan Sajak yang berjudul Senja Memeluk Matahari dan Kumpualn Puisi yang berjudul Waktu Yang Lahap Mengunyah Ku karya Ibnu Din Assingkiri.