Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Kangsar – Novel sejarah Ketika Itu di Bekor karya M. Zaki Arif terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2024, mengisahkan peristiwa sejarah yang berlaku di Kampung Bekor, Manong, Perak.
Setebal 208 halaman, novel mengimbas kehidupan penduduk Bekor yang majoritinya Melayu, dan hanya lima peratus sahaja Cina, yang menerima tekanan sosiobudaya, ekonomi dan politik, sehingga tercetusnya peristiwa hitam pada 6 Mac 1946.
Hal tersebut menyebabkan keharmonian kehidupan mereka tergugat. Pelbagai peristiwa yang menyayat hati berlaku sebelum semua penduduk Cina meninggalkan Bekor dan berpindah ke tempat lain, selain negeri Perak.
Tuan Haji Mohamad Paris Arshad yang membicarakan novel tersebut semasa sesi Bicara Novel Ketika Itu di Bekor dalam majlis Sejenak Bertandang di Bekor di Dewan Komuniti Kubang Udang, Kampung Bekor, Manong, menghargai usaha penulisnya menghasilkan novel berkenaan.
“Walaupun mengandungi 21 bab, novel ini tidak menampilkan banyak watak. Penulis lebih menggambarkan suasana alam sekitar tempat peristiwa daripada watak. Hanya ada dua watak utama, iaitu Imam Nadin dan Bilal Suman, yang dibantu oleh Selimin, Ah Foong dan Ah Foi,” ujar Haji Mohamad Paris.
Bendahari Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dan mantan pensyarah sastera Institut Pendidikan Guru Kampus Hulu Kinta itu merumuskan bahawa Ketika Itu di Bekor memaparkan kesepaduan orang Melayu, dan mereka sebenarnya mahu hidup aman damai dengan bangsa lain yang tinggal setempat.
Apakah peristiwa yang telah berlaku itu, dan siapakah yang berjaya ditangkap dan dihumbankan ke Sungai Perak boleh diketahui dengan membaca sendiri novel ini.
Novel Ketika Itu di Bekor merupakan novel sejarah yang berjaya merangkul Hadiah Sagu Hati dalam Sayembara Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2022/2023.
Bicara Novel Ketika Itu di Bekor merupakan satu daripada tujuh sesi program Sejenak Bertandang di Bekor anjuran Karyawan Pk pada 15 Disember lalu.
Program bicara diadakan selepas pelancarannya bersama-sama buku Bekor Sejarah dan Harapan (Penerbit Kayacipta, 2024) yang berisi 10 bab, tulisan Zabidin Haji Ismail dan antologi kompilasi Bekor di Sebalik Cerita Duka selenggaraan M. Zaki Arif (Karyawan Pk dan Penerbit Kayacipta, 2024) yang disempurnakan oleh YBrs. Puan Rafidah Abdul Aziz, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.
Sejenak Bertandang di Bekor dibuka dengan ucapan YBrs. Tuan Haji Shari Shawarudin Pandak Osman, Pengerusi Jawatankuasa Pengasas Galeri Perang Bekor, dan Dr. Zabidin Haji Ismail, Presiden Karyawan Pk sendiri. M. Zaki Arif merupakan nama pena bagi Dr. Zabidin.
Turut menyerikan majlis termasuklah persembahan Sketsa Pahlawan Bekor, Deklamasi Sajak Bekor (menampilkan Onn Abdullah, Sabariah Bahari dan Ijamala MN) dan Pengisahan Perang Bekor oleh YBhg. Dato’ Haji Sallehudin Abdul Hamid, Mantan Penghulu Mukim Senggang.
Beli novel sejarah Ketika Itu di Bekor.