Oleh Salman Sulaiman
23 November 2024, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman menyimpulkan mengapa keberadaan dan sumbangan Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari dalam sastera Kelantan amat penting waktu ini.

Rosli mampu menulis begitu banyak sajak ketika melalui hari-hari dalam hidupnya. Malah, boleh dikatakan hampir setiap hari dia akan mengarang sajak yang sedap-sedap.

Ketika sedang asyik membaca sebuah buku yang ada menyebut perkataan wali dalam konteksnya yang tersendiri, penulis segera teringatkan gelaran Tok Wali yang diberikan kepada Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari dalam grup WhatsApp kami warga port, kedai kopi Kubang Kerian (nanti di perenggan bawah, penulis akan catatkan judul buku yang dimaksudkan).

Kalau dulu tempat mengopi kami di sebuah restoran berdekatan Balai Polis Kubang Kerian yang kami panggil Port Pine, tapi kini kedai makan itu sudah tutup, kami beralih ke sebuah restoran yang tidak jauh dari simpang empat lampu isyarat utama bandar Kubang Kerian, iaitu Restoran Pattani. Restoran ini terletak di jalan yang menghala ke Pasir Puteh, di sebelah kanan. Restoran Pattani inilah yang menjadi tempat keluar minum terbaharu kami malam-malam yang kami panggil port.

Dalam salah satu grup WhatsApp yang lain, yang mana Rosli dan kami para sahabat port juga ada di dalamnya; Romzan al-Firdausi dengan nada berseloroh dalam satu mesejnya yang bertarikh 18 Februari 2024 pernah mengesahkan perihal gelaran yang diberikan kepada Rosli itu. Dihujung catatannya itu, Romzan menyatakan, “… tapi kalau Cikgu Li martabat lagi tinggi, sahabat-sahabat panggil Tok Wali.”

Rosli pun tidak pernah mengaku dirinya seorang sufi, apatah lagi wali, seperti Reshad Feild dalam Tabir Terakhir (Serambi, 2004) dengan rendah diri mengatakan bahawa dia bukan seorang sufi walaupun banyak mendalami tradisi sufi – seorang wali yang mengaku dirinya wali, tentu jauh sekali.

Begitulah halnya dengan Rosli, tidak pernah sepatah pun keluar dari mulutnya mengarahkan atau menyuruh kami memanggilnya Tok Wali, tidak. Gelaran itu diberikan oleh beberapa rakan dan kenalan dalam grup WhatsApp hanya suka-suka, atau mungkin kerana menganggap dia hebat dalam sastera dan kerja kepengarangannya, maka diberikanlah gelaran Tok Wali.

Rosli di Port Pattani pada 2 Mac 2024 bersama-sama karya anak muridnya yang paling dikasihi, Almarhum Rahimidin.

Penulis sendiri sebenarnya tidak pasti siapa yang mula-mula memanggil Rosli dengan gelaran Tok Wali ini. Adakah Zuharman, atau mungkin Amir Batik, ataupun Dahri? Nik Hafiz dan Romzan rasanya bukan. Berkemungkinan besar Zuharman.

Baiklah, penulis akan cuba senaraikan beberapa kehebatan Rosli dalam kerja buat sasteranya, hinggakan dia mendapat gelaran Tok Wali daripada kami para rakan kenalan, termasuk anak didiknya sekali.

Rosli mampu menulis begitu banyak sajak ketika melalui hari-hari dalam hidupnya. Malah, boleh dikatakan hampir setiap hari dia akan mengarang sajak yang sedap-sedap. Di situ, kita lihat kegeniusannya seperti mengalahkan penyair-penyair lain yang ada. Mana bukti yang mengatakan Rosli hampir setiap hari menghasilkan sajak?

Sebenarnya, sajak-sajak baharu (ada yang masih dalam proses draf) yang dihasilkannya akan terus dimasukkan dalam grup WhatsApp dan kami dapat segera membacanya, dan Rosli selalu berpesan, jangan dipos keluar karya-karyanya itu, hanya untuk bacaan kawan-kawan dalam grup sahaja.

Rosli berkeupayaan menulis esei-esei sastera yang begitu panjang dalam masa sehari dua sahaja. Hal ini kerana dia akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada satu-satu tulisan yang ingin disiapkan itu beberapa jam lamanya sehingga tak tidur malam. Saudara saudari boleh baca sendiri setiap esei yang dihasilkannya, bukan sahaja panjang dan puas dibaca, tapi lelah untuk menyudahkan pembacaan kerana sifat esei-esei Rosli yang begitu panjang. Stamina dan kekuatan yang dimiliki oleh lelaki 60-an sepertinya itulah yang menakjubkan kita yang muda-muda ini.

Buktinya ada dalam majalah eDewan Sastera JendelaDBP. Penulis rasa tidak ada lagi penulis lain setakat ini yang berjaya memecahkan rekod Rosli, yang disiarkan hingga empat siri secara bersambung sebuah eseinya yang menghuraikan sajak-sajak dan kepengarangan Abdulhadi Muhamad.

Penulis lain paling panjang pun disiarkan setakat tiga siri sahaja, tapi Rosli satu esei dipecahkan kepada empat siri untuk siaran. Sebab kita tahu, seperti yang penulis katakan tadi, tulisan Rosli selalunya panjang-panjang kerana dia menghuraikan dengan begitu terperinci satu-satu perkara atau peristiwa yang ingin diceritakan.

Rosli juga menguasai banyak cabang ilmu dalam sastera, bukan hanya berkenaan puisi atau sajak. Dia juga mampu bersyarah berhari-hari berkenaan cerpen dan bagaimana caranya untuk menghasilkan cerpen yang baik. Hal itu terbukti semasa Perintah Kawalan Pergerakan tiga tahun lepas, Rosli menjadi pembimbing Bengkel Cerpen Hujung Minggu secara dalam talian anjuran Liga Penulis Kelantan (LPK) pada tahun 2021 yang diadakan sekali seminggu sebanyak tujuh siri.

Rosli juga mempunyai pengetahuan luas tentang bidang sastera yang ditekuninya sekian lama. Hal ini kerana dia memang banyak membaca, kerana katanya, “Membaca itu lebih penting daripada menulis.” Pendek kata, semua perkara dan cabang, serta subbidang dalam sastera ini dia tahu. Beberapa kehebatan yang penulis sebutkan di ataslah barangkali yang menjadi penyebab ada antara kawan-kawan kami yang menggelarnya sebagai Tok Wali.

Jika H.B. Jassin itu dianggap sebagai wali yang menjaga kesusasteraan moden Indonesia saat dirinya masih hidup suatu masa dulu, maka Rosli bolehlah penulis katakan sebagai wali penjaga kesusasteraan Kelantan buat masa sekarang.

Apabila membaca tulisan Goenawan Mohamad dalam Puisi dan Antipuisi (Tempo & PT Grafiti, 2011) yang mencatatkan kata-kata A. Teeuw yang menggelar H.B. Jassin sebagai “wali penjaga” kesusasteraan moden Indonesia, segera mengingatkan penulis kepada Rosli K. Matari yang juga digelar sebagai wali dalam kalangan kami (sebenarnya kata-kata A. Teeuw yang dinukil Mas Goen inilah juga yang menjadi pencetus ilham untuk penulis mula mengarang esei ini).

Kata-kata A. Teeuw itu juga telah memberikan satu cetusan. Bagi penulis, jika H.B. Jassin itu dianggap sebagai wali yang menjaga kesusasteraan moden Indonesia saat dirinya masih hidup suatu masa dulu, maka Rosli bolehlah penulis katakan sebagai wali penjaga kesusasteraan Kelantan buat masa sekarang. Apa agaknya syarat-syarat atau faktor-faktor yang menyebabkan penulis mahu menggelarkannya demikian?

Pertama, Rosli satu-satunya Sasterawan Negeri Kelantan yang ada di Kelantan ketika ini untuk menjaga sekali gus bergiat aktif menghidupkan sastera kita. Hal ini kerana dua lagi Sasterawan Negeri Kelantan tidak ada di Kelantan. Mereka di luar negeri – Dr. Fatimah Busu di Pulau Pinang dan S.M. Zakir di Lembah Kelang.

Tentulah orang yang ada bersama yang berkeupayaan menjaga daripada yang jauh di mata. Autoriti dan kredibilitinya sebagai Sasterawan Negeri tentu saja menjadi satu wibawa penting untuknya dipertanggungjawabkan sebagai pengarang senior yang mampu memimpin dan menghidupkan sastera Kelantan.

Memang Rosli telah melakukan hal itu dengan berterusan sejak menerima gelaran Sasterawan Negeri Kelantan pada tahun 2020, malah sebelum itu pun. Dia telah mengusulkan cadangan untuk diadakan seminar dan simposium sastera dan budaya peringkat antarabangsa. Juga merealisasikan seminar kearifan tempatan yang disertai oleh ramai sarjana Nusantara. Rosli juga telah menyertai Persatuan Penulis Kelantan (PPK) sejak muda ketika masih dalam usia belasan dan dengan itu, dia tahu jatuh bangun serta perkembangan persatuan sastera di Kelantan dari dulu.

Kedua, kejaguhannya dalam bidang puisi, iaitu tepatnya, dunia persajakan di

Kumpulan puisi terbaharunya, Mengingat Matahari muncul juara dalam Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023.

Kelantan memang diakui sejak lama. Sajak-sajak Rosli sudah banyak yang memenangi hadiah sastera walaupun dia belum ada buku persendirian, iaitu sebelum tahun 2011, kerana buku sajaknya yang pertama, Nun Bulan, terbit pada tahun 2011. Perakuan itu juga disahkan dengan gelaran “Profesor Puisi”  yang diberikan kepadanya oleh beberapa orang pengarang Kelantan yang lain. Penulis masih ingat dengan jelas bahawa Allahyarham Norhisham Mustaffa juga pernah menyebut Rosli sebagai Profesor Puisi.

Ketiga, Rosli dilihat sangat mengambil berat perihal melahirkan pelapis-pelapis baharu dalam sastera, terutamanya sastera Kelantan. Dia selalu menasihati kami, dan kepada penulis sendiri, Rosli beberapa kali mengingatkan agar carilah pelapis baharu; didik dan ajar mereka. Kerana itulah yang dibuatnya sejak dulu. Sebelum ini, Rosli melahirkan Rahimidin, kini dia sedang membentuk Nik Hafiz dan melorongkan Zuharman pula.

Oleh itu, dengan beberapa sebab yang telah dikemukakan, maka mulai sekarang, eloklah penulis mula menggelarkan Rosli K. Matari sebagai: Tok Wali Sastera Kelantan.

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Kredit Foto: British Library
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.