Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari ingin memberi maklum balas terhadap kritikan Salman Sulaiman pada puisinya, “Catatan Baki, Bangkok”.
Puisi ialah kebijaksanaan, bukan total hukum tatabahasa …
Saya ingin memberi sedikit respons terhadap kritikan Sdr. Salman Sulaiman dalam Dewan Sastera Bil. 10 2025, “Mengapa Permainan Bahasa Juga yang Tetap Dilebih-lebihkan?” berkenaan puisi saya, “Catatan Baki, Bangkok” yang tersiar dalam Bil. 9 2025. Sebenarnya Adinda Salman “lupa” besar pada cara saya menulis dan mengkraf puisi. Apabila saya mengarang puisi, saya bukannya jenis memilih “Apa” yang hendak ditulis, tetapi pada “Bagaimana” hendak ditulis. Dua hal itu merupakan dua hal yang berbeza.
Jika Salman cermat dan tahu pada konteks “bagaimana”, nescaya akan ada titik henti terlebih dahulu untuk bertanya, berfikir dan merenung “mengapa” pemilih-pemilihan “bagaimana” itu dilaksanakan.
Contohnya, salah satu ciri kraf pada “bagaimana” adalah untuk bertanya “sebab apa?” kerana sebab apa berpunca daripada kraf cara, iaitu “bagaimana”. Misalnya, seseorang penyair tidak mungkin kurang bijaksana dalam pemikiran, bahasa dan caranya yang sudah bertahun-tahun menghadapinya.
Oleh itu, ada sebab yang tertentu saya menggunakan kata ‘saxaphone’ bukan ‘saksofon’; ‘jam 3.00’ bukan ‘pukul tiga’, frasa “luluh-lantak” dan ulangan ‘lebur’.
Mungkin satu sahaja yang sesuai diterangkan di sini, iaitu ‘saxaphone’ dan bukan kata ‘saksofon’ yang dipilih. Latar pengalaman yang membuahkan puisi ini hadir dari ruang yang begitu terasing daripada ruang yang kita sedia tahu. Negara orang. Negara asing yang serba sibuk dan berlapis-lapis penjajaan dagang dan hiburan di tepi-tepi jalannya yang serba berasak dengan simpang-siur kereta, bas, motosikal, dan tuk tuk. Salah satu hiburan yang berlangsung itu ialah bunyian latar saksofon, suatu alat muzik hiburan elit-Barat dan Inggeris yang langsung asing dan jauh daripada jati diri.
Penggunaan ‘saxaphone’ ini menjadi wajar atas itu, juga sebagai lapis superfisialnya. Kota Bangkok itu sendiri ditampal-tampal dengan budaya asing daripada jati asal usulnya.
Dengan ‘saksofon’, kita hanya tahu sebagai alat muzik semata-mata. Sekadar itu (dalam kamus atau ensikopedia). Akan tetapi, dengan ‘saxaphone’, dapat menyebabkan titik berhenti. Kita hairan sejenak, “Mengapa harus ini, begini?” Tentu ada sesuatu tujuan, justeru mementingkan kesengajaan demikian. Oleh sebab itu, puisi ialah kebijaksanaan, bukan total hukum tatabahasa, maka dapat mendorong bagi menemukan ruang lain pada fungsi yang diterangkan di atas.
Oleh sebab itulah, titik berhenti dalam pembacaan puisi adalah amat penting. Bukan sekadar untuk terus lancar dibaca. Cukuplah sekadar itu.
Dalam hal ini, jika Sdr. Salman pintar dalam usaha merenung hal “sebab apa”, maka pembacaan puisi ini akan menjadi lebih jelas lagi. Mudah-mudahan Salman jumpa dan tahu.
Saya juga ingin menyampaikan suatu wasiat buat penyair muda fahami: “Puisi bukan bahasa Melayu. Puisi ialah Kraf. Kraf yang bagus ialah Bagaimana, bukan Apa.”
Dalam mendepani sebuah sajak nanti, renungkan dan henti dulu pada titik “sebab apa”.
_________________________
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.