Diterbitkan pada 10 Oktober 2025, 08:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari berkongsi pengamatan tentang memasyarakatkan sastera di desa jauh terpencil, di daerah perkebunan getah.

Bererti, pertama kali, saya mengetahui dan terhidu bau petai daripada pokok yang rupa-rupanya dapat mengapung dalam udara kampung. Sebagai bau yang boleh bertebar, merata-rata.

“Kita ini, sesat atau apa?”

Dahri diam.

Sepatah pun tidak menjawab pertanyaan. Memandu, menumpu jalan. Namun, senyumnya lebar. Bagai menahan gelak pada enggan menjawab. Entah apa-apa ingin ditahan tawanya. Mungkin kerana kata tanya sesat itu, terasa lucu juga. Agaknya, dia pun sedang baur campur perasaan. Salah-habah, kata orang Kelantan.

Tentu, di celah-celah rasa yakin untuk boleh bergantung harap pada Waze bagi penunjuk jalan, dengan rasa waswas kerana kekadang putus isyarat jaringan maya, justeru di kawasan terpencil. Sementelah, peta Waze itu kekadang berputar miring kanan, dan sesekali lain, miring kiri.

Sesekali, bertemu simpang. Perjalanan di celah-celah beberapa jujuk ghakar-ghekei (rangkai-rengkei, rangkaian) desa kecil temaram, kanan kiri penuh jajar pohon getah. Berselang juga pohon petai, durian, kecupu, celagi, gelugur, atau mungkin kandis. Teringat amat saya pada pantun orang tua-tua yang pernah saya kutip kumpul di Kelantan dalam lingkung tahun 1980-an. Menginsafkan, pada renung mendalam.

……….Buah kemio (kemior, kundang), buah petai,
………………..Galah jugalah sudahannya;
……….Hidup dunio
(dunia) kerana lalai,
………………..Lupalah pada api neraka.
……….
(Tok Deraman, 69 tahun, Kg. Jembal, Kedai Lalat, Kelantan, 1981)

……….Asam kandis, asam gelugur,
………………..Tumbuh dekatan dua-dua;
……….Menangis nyawa di pintu kubur,
………………..Teringat badan ditipu dunia.
……….
(Tok Chek Resat, 81 tahun, Kg. Badak Mati, Bukit Marak, Kelantan, 1983)

Matahari buram. Jalan panjang, sesekali bersisikan juga rentang pagar tua buluh di beberapa kawasan tanaman rambutan, mangga, ciku, jambu batu dan limau jebol. Sesekali, bersisikan pepohon lain yang besar dan tinggi. Ketika terpandang sepohon cempedak yang kebetulan ada di luar pagar, saya mengujar, “Tengok itu. Betullah, ada pantun, buah cempedak di luar pagar.” Dahri ketawa.

Dia terus menumpu jalan kecil, cermat menelusur liku selekoh.

Doeloe, di Kuala Ibai (Terengganu), Abang pernah dijerkah oleh perempuan. Waze bawa Abang lalu mencelah di lorong-lorong sempit di belakang rumah orang. Ada perempuan sedang menjemur pakaian di sidaian. Dia pula berkembang kain sarung batik Jawa sahaja. Kuat tempiknya. Abang pun terkejut. Marahnya bukan main. Mujur tak ada sesiapa, lelaki di situ. Mentidak, tentu dikejar.”

Dahri tergelak-gelak mendengar kisah pengalaman saya, pada saat kami bagai harus merayau begitu.

Dia terus memandu. Sesekali perlahan apabila bertemu simpang. Banyak simpang, sebenarnya, sebagai lorong kampung. Namun, semua sudah berturap tar. Alhamdulillah. Kemudahan pembangunan desa di tanah air indah yang makmur, walau ke kawasan terpencil. Sesekali, Dahri berhenti juga di muka jalan, mencerap lorong. Terasa pula kami bagai pengembara.

“Kalau jalan berlengkang-kalang, selerak-selirak macam ini, Abang nak balik ke rumah bini muda pun payah. Sesat sokmo.

Dahri gelak, menjadikan saya sebagai bahan jenakanya, kerana sekali-sekala mencerap simpang-simpangan jalan itu. Tentulah berdekah tawa saya.

Cepat saya teringat pada puisi masyhur “The Road Not Taken” Robert Frost yang dikarangnya pada tahun 1916. Saya ingat sangat pada tahun penciptaannya itu. Hanya bagai keterbalikan sahaja pada angka tahun kelahiran saya, 1961. Malah, melafazkannya sepenuh rangkap kerana saya sangat menghafaznya.

Saya tahu Dahri menadah penuh telinga, tumpang mendengar sambil memandu. Pada saya, terasa nikmat peribadi dapat mendeklamasi untuk diri sendiri. Sangat terasa dapat menghayatinya, mendalam.

Buat pertama kali terasa benar puisi itu begitu berkesan sekali pada diri saya kerana sesuai dengan situasi dan latar dialami. ‘Agaknya, beginilah yang dialami, dirasai dan diselami oleh Frost, doeloe,’ getus saya pada diri sendiri. Namun, gumamnya tetap turut didengar Dahri juga.

……….Dua jalan bercabang di hutan kekuningan,
……….Dan aku kesal tak dapat lalui kedua-duanya,
……….Sebagai seorang pengembara, lama aku berdiri,
……….Memandang satu jalan sejauh mata menatap,
……….Hingga ia hilang di celah-celah rimbunan semak.

Begitulah yang diungkap oleh Frost, jika saya terjemahkan hafaz ingatan. Beliau pernah diundang ke White House bagi mendeklamasikan puisi masyhurnya itu di hadapan Presiden Amerika dan semua ahli senat pada zaman hayatnya. Pengungkapan Frost jauh lebih indah dalam teks asalnya kerana dipenuhi bunyi rentak rima akhir. Namun, jika dipindahkan ke dalam apa-apa bahasa pun, isi pemaknaan puisi itu tetap indah sekali pada perasaan dan kesan.

Satu baris lain, antara yang diungkapkannya, menggetarkan perasaan dan imaginasi ialah kata-kata: “Oh, aku simpan (jalan) yang satu lagi untuk hari lain.

Namun, pada diri saya, mungkin tidak akan bertemu dengan mana-mana jalan lain itu. Sementelah, jalan sedang dilalui pun, kelak belum tentu akan terulang lagi. “Aku akan menceritakan ini dengan keluhan,” ujar Frost lagi dalam puisinya itu. Ah, lagikan Frost pun menggetus dan mengeluh demikian pada “Jalan yang Tidak Diambil.

Jalan terus berkeluk dan bersimpang di hadapan. Sudah lebih sejam kami bertolak dari Kubang Kerian dan Kota Bharu, sesekali sesak. Menuju ke Jajahan Tanah Merah. Ke sebuah kampung destinasi yang berlangsung program sastera kepada kalangan penduduk atau masyarakat desa. Destinasi itu ialah “Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim” pada 16 September yang lepas.

Di sesetengah tempat, kami melintas dalam derai berai hujan, rintik hujan dan ada yang baru sejenak-renak lepas hujan. Jalan basah. Udara segar, nyaman. Indah landskap lewat jujuk jajar, selang-selang kampung yang tak terusik dek pembangunan. Harmonis suasana. Beberapa tahun belakangan ini, di Kelantan, bulan Ogos hingga September sudah kerap hujan. Tidak sebagaimana lazim, November hingga Disember baru bermula hujan kasar, lebat dan bah.

Pada suatu pertengahan perjalanan, saya bertanya, “Bau apa? Macam, haring.” Dahri menjelaskan sepatah, “Petai.”

“Wah, petai pun berbau juga dalam kampung?” Saya kehairanan kerana belum pernah memiliki pengetahuan dan pengalaman tentang itu. Bererti, pertama kali, saya mengetahui dan terhidu bau petai daripada pokok yang rupa-rupanya dapat mengapung dalam udara kampung. Sebagai bau yang boleh bertebar, merata-rata. Lazim yang saya tahu, bau petai hanya semasa dikopak kulit dan ketika dikunyah makan.

“Kalau macam ini, agaknya, perempuan dalam sebutir kampung pun berbau petai juga.”

Giliran Dahri tergelak-gelak lagi. Menggeleng. Panjang gelaknya.

Pak Kassim Muhammad dan Shariffah Naina Mohammad, sepasang suami isteri pencinta sastera.

Hampir dua jam perjalanan, berkeluk, bersimpang, kekadang ragu pada lorong jalan. Mencari, Kampung Cita Jaya. Hebat namanya. Tidak sebagaimana nama pada kebanyakan kampung di tanah air yang lebih lazim bercitrakan tradisional. Nama kampung ini sudah menyerlah cerminan unsur moden, malahan bercitra semangat tinggi daya juang, meski jauh, terpencil. Tentu kampung ini asalnya adalah pada era penerokaan tanah baharu bagi kebun getah atau sawit. Maka, namanya lebih berorientasikan unsur moden demikian.

Saya tidak temui papan tanda pada mana-mana sisi jalan menunjukkan hala atau memaktubkan nama: Kampung Cita Jaya. Atau, mungkin saya terlepas pandang. Saya hanya bergantung harap pada Dahri. Dahri pula bergantung harap pada Waze.

Teringat saya pada nama sebuah kampung, Kampung New Zealand yang terletak di Maran, Pahang. Lucu juga, nama itu ada pada sebuah negara. Merupakan sebuah perkampungan yang diwujudkan oleh FELDA. Menempatkan peneroka bagi aktiviti pertanian, khususnya penternakan lembu tenusu. Itulah, terkenal bernama demikian kerana penternakan itu dan landskap pula menyerupai kawasan luar bandar New Zealand.

“Kita ini, mungkin petang maghrib lusa baru jumpa kampung, tempat hendak pergi.”

Pecah tawa Dahri, mendengar rungut dan keluh saya. Gelak panjang.

Akhirnya kami sampai sebelum asar. Hujung hujan masih pada rintik. Tiba, kami disambut girang oleh Kassim Muhammad yang mesra dipanggil Pak Kassim, berusia 76 tahun sebagai peringkat abang. Juga bergegas datang menyambut, Jamly Bharuldin sebagai peringkat adik.

Mengejutkan saya ialah agak ramai juga penduduk desa yang hadir, beberapa puluh orang. Seanggar lebih 50 orang. Walau kurang pada bilangan seratus orang, namun seramai itu sudah cukup untuk dibanggakan. Apatah lagi, sebagai masyarakat desa yang berminat untuk hadir pada program sastera.

Tua, muda, remaja, kanak-kanak. “Cari satu, Bang, buat tambah,” cetus Dahri, gelak lagi. Sayalah yang paling gelak pada jenaka usikan itu, bermaksud menemukan satu jodoh baharu kerana agak ramai juga perempuan muda. Namun yang paling mengagumkan saya ialah kehadiran para mak cik yang merupakan golongan wanita tua desa, tentu merupakan nenek. Malah, semua mak cik atau nenek itu pun tiadalah kalah jangok (berpakaian baharu, berhias cantik dan berbedak) daripada perempuan muda.

Program sastera ini merupakan suatu program yang dianjurkan secara peribadi oleh Pak Kassim dan Cikgu Sharifah Naina Mohammad, sepasang suami isteri yang benar-benar merupakan pencinta sastera. Cukup mengagumkan, sebegitu berminat menganjurkan. Berlangsung di kediaman mereka sendiri, “Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim” di Kampung Cita Jaya yang sebegitu terpencil, jauh di kawasan perkebunan getah. Harmonis. Tenang. Indah. Nyaman. Segar.

“Program santai-santai sahaja. Santai-santai sastera,” begitu Pak Kassim memberitahu. Saya senyum, mengangguk gembira, turut berbangga.

Di tengah-tengah rerintik hujan, saya tidak sempat memuji atau ikut berterima kasih atas budi, keikhlasan, kesedaran tinggi serta kesungguhan inisiatif peribadi beliau dan isteri atas tungkus-lumus menganjurkan program. Memperkenalkan, mendekatkan, mendinamikkan dan memasyarakatkan sastera pada kalangan masyarakat di desa yang sebegitu terpencil di kawasan perkebunan getah itu.

Program santai-santai sahaja. Santai-santai sastera …

Saya hadir mewakili Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN). Saya tidak dapat ikut mengajak AJK lain daripada PERADABAN bagi turut bersama-sama hadir, menghormati, memberikan sokongan moral, dan memeriahkan kerana semua mereka sedang berada di Pattani (Selatan Thailand). Justeru, AJK dan peserta dengan dua buah bas, memenuhi beberapa program bersempena Simposium Bahasa dan Persuratan Islam 2025 anjuran PERADABAN sendiri sepanjang tiga hari, pada 14 – 16 September.

“YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman berkirim salam,” saya menyampaikan salam dan ucapan hormat serta tahniah daripada Presiden PERADABAN. Tampak, peribadi Pak Kassim terharu pada kiriman salam itu.

Manakala Dahri Zakaria pula hadir selaku Presiden pada Pertubuhan Liga Penulis Kelantan (LPK). Beberapa orang daripada LPK juga tidak dapat bersama-sama kerana mereka pun menyertai simposium yang berlanjut dengan lawatan sambil belajar ke Pattani.

Kami bergegas ke beranda pada kediaman Pak Kassim kerana hujan masih terus merintik. Malah, hujan meluru menderai semula. Namun, saya sempat menoleh, terdapat sebahagian masyarakat desa yang hadir itu beberapa kelompok memenuhi kerusi di halaman, berpayung, tidak berganjak untuk pergi, walau hujan. Mengagumkan. Bagai cukup setia. Selebihnya lagi, sebahagian ramai berkumpul sepenuh beranda.

‘Bijak Pak Kassim,’ terfikir oleh saya tentang beranda itu.

Berandanya agak besar, luas dan memanjang bagai mengelilingi separuh daripada kediamannya. Fikir saya lagi, tentulah hal ini sudah lama, awal-awal lagi dirancang oleh beliau dan isteri untuk membuat beranda sedemikian, sebelum mendirikan dan menyiapkan kediaman. Jika hujan lebat sekalipun, aktiviti sastera atau seni budaya tetap dapat berlangsung di beranda tersebut sebagai “beranda penyelamat”.

Di beranda itu, ada Datuk Dinsman. Juga penyair dan penyanyi lagu puisi, AnBakri dari Kota Bharu serta bekas wartawan Berita Harian, Manzaidi Amin. Saya tidak pasti, Manzaidi kini menetap di mana. Mungkin di Kuala Lumpur.

Ashaabul Kahfi,” cepat getus Manzaidi di beranda. Tentu sahaja, saya tertawa mendengar ujaran itu. Kami bersalaman, erat menggenggam tangan kerana sebegitu lama sekali tidak bertemu, hampir 30 tahun. Ashaabul Kahfi yang disebutkannya itu atas kenangan kami ketika saya mementaskan kisah sejarah ajaib itu sebagai teater di Kelantan.

Teater itu berlangsung dengan kira-kira 2,000 audiens bertiket di Balai Islam, Lundang, Kelantan. Namun begitu, tidak mudah sebenarnya bagi mementaskan teater itu kerana menjadikan saya berkonflik dengan Dato’ Mufti Kelantan ketika itu. Dato’ Mufti mengeluarkan arahan yang sama sekali tidak membenarkan saya menjadikan pelakon orang Islam sebagai watak Raja Kafir. Malah, berita penegasan itu disiarkan dalam akhbar. Di luar duga sama sekali.

Beliau mengundang saya untuk bertemu dengannya, berbincang. Beberapa kali dipanggil ke pejabat beliau. Namun saya tetap enggan pergi. Mengelak kemungkinan pertengkaran yang kelak tentu akan menjadi peristiwa hitam dalam isi sejarah sastera Kelantan.

Saya tetap berpegang tegas bahawa watak Raja Kafir itu boleh dilakonkan. Oleh itu, mahu tak mahu, terpaksa saya berhempas pulas berfikir mengelak ditangkap oleh kuasa arahan larangan Dato’ Mufti, jika dipentaskan juga. Akhirnya saya terasa bagai terilham. Menjadikan pengucapan dialog raja itu dalam cara atau bentuk cakap pindah. Namun cakap pindah diujarkan oleh diri Raja Kafir itu sendiri. Seolah-olah menceritakan. Diarahkan oleh Hassan Jali (Allahyarham).

“Tuan Puan, ingin tahu apa yang diperintahkan oleh raja itu kepada sidang menterinya? Dengar baik-baik, ya. Begini titahnya …” merupakan antara dialog Raja Kafir itu sebagai bentuk cakap pindah untuk diketahui oleh audiens. Sambil, dapatlah raja itu meneruskan lakonan watak dan perwatakannya. Seolah-olah meniru dan mengajukkan bagi wajar disesuaikan dengan cara dan gaya lakonnya.

“Cerdik benar. Pandai cara tipu aku,” keluh Dato’ Mufti, yang dapat kami ketahui melalui kerani pejabat.

Manzaidi gelak terbahak-bahak apabila mengetahui Dato’ Mufti mengeluh, menggeleng-geleng kepala pada teknik, cara tersebut. Beliaulah, antara wartawan yang menuliskan berita dan sorotan berkenaan teater itu.

Datuk Dinsman

Bertemu kembali, di beranda itu, saya menyangka Manzaidi sudah bersara. Namun tidak. Rupa-rupanya, selepas berkhidmat dengan Berita Harian, beliau ke Sinar Harian dan kini di meja National Daily pula. Saya memahami, sukar bagi beliau untuk bersara. Bidang kewartawanan begitu mendarah daging pada dirinya.

Merenung pada Datuk Dinsman, juga lama sekali saya tidak bertemu mata dengan beliau. Lebih sepuluh tahun. Tampak sudah agak uzur sedikit. Sesekali, memegang tongkat. Mujur ada program memasyarakatkan sastera dianjurkan oleh Pak Kassim, walau dianggap santai, maka mendapat peluang, ruang dan luang bertemu Datuk Dinsman semula.

Saya kagum, Datuk Dinsman sebegitu jauh dari ibu kota, malah dengan terpaksa menyusur lagi pada jalan yang jauh ke desa yang agak terpencil itu, serta pada keuzurannya, tetap menggagahkan diri sanggup hadir.

Tokoh teaterwan terkemuka ini mempunyai hubungan yang amat rapat benar dengan Pak Kassim. Sebegitu akrab persahabatan mereka, itulah sebab maka beliau hadir. Malah, program sastera yang dianjurkan itu pun dinyatakan oleh Pak Kassim melalui kerjasama pertubuhan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) pimpinan Datuk Dinsman.

Datuk Dinsman sudah tiga hari berada di situ. Ada sebuah rumah lain lagi yang didirikan oleh Pak Kassim untuk tamu boleh menetap dalam lingkungan kawasan tanahnya yang agak luas. Namun, lebih sebagai kegunaan keluarga anak-anaknya ketika sesekali pulang cuti kerja. Bukan untuk dijadikan inap desa pada sesiapa yang berminat berehat atau mendapat ketenangan di lokasi sedemikian.

Pepohon getah yang ada di pinggir tanahnya pun bukan untuk ditorehnya. Cuma, saya tidak pasti kalau-kalau diberikannya percuma pada orang kampung bagi ditoreh. Saya tidak fikir, beliau bergantung pendapatan daripada pepohon getah. Mereka suami isteri mempunyai pencen sara hidup kerana pernah bekerja dengan kerajaan.

Di situ, Datuk Dinsman dapat berpeluang memperkenalkan dan mengajarkan teater serta penulisan skrip teater pada generasi muda di desa. Selama tiga hari, beliau membimbing. Suatu usaha yang cukup terpuji, walau agak uzur, beliau tetap memanfaatkan peluang bagi membantu memasyarakatkan sastera dan teater di desa terpencil.

Hebat individu ini, sebagai peminat, pencinta dan pembaca kuat sastera …

Pak Kassim pula bukanlah oghe Kelate. Berasal dari Sungai Petani, Kedah. Namun, beliau bukan calang-calang individu. Berkelulusan bidang Kejuruteraan Awam (Universiti Teknologi MARA), kemudian merupakan lulusan pengajian Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Pengairan (Leuven, Belgium). Bertugas sebagai jurutera pengairan dan saliran selama 26 tahun. Bertemu jodoh dengan Sharifah Naina Mohamad di Kelantan, lalu terus menetap di sini sejak tahun 2017.

Meski lebih sebagai pencinta dan pembaca sastera, Pak Kassim sedikit-sedikit menulis juga puisi dan cerpen, malah pernah tersiar dalam Dewan Sastera. Sebuah novelnya pernah diterbitkan oleh penerbit Rhythm, namun saya sudah lupa pada judulnya.

Skrip teater beliau berjudul “Pesta Kanivor” memenangi hadiah pertama RM5 ribu dalam sayembara oleh pertubuhan PAKSI yang turut disertai oleh beberapa penulis Indonesia, diumumkan semasa program Baca Puisi Bumbung@IDE Shah Alam bersempena Hari Puisi Dunia 2021. Sejak itulah beliau akrab dengan Datuk Dinsman yang merupakan Presiden PAKSI.

Saya sendiri sudah lebih lima tahun tidak bertemu dengan Pak Kassim, sejak pertama kali kami bersua di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), ketika suatu program sastera. Sangat saya ingat, memerhati beliau memilih dan membeli buku dengan agak banyak juga di DBPWT. “Untuk baca,” jawabnya, dua patah pendek, ketika saya mendekatinya. Saya gelak, memanglah buku untuk dibaca.

Saya kagum. Pada agakan saya, beliau bukan penulis kerana namanya tiada lazim saya ketahui atau temui dalam kesusasteraan. ‘Hebat individu ini,’ cetusan fikiran saya, ‘sebagai peminat, pencinta dan pembaca kuat sastera.’ Lewat kemudian, baru saya tahu beliau ada juga sekali-sekala menulis sastera kreatif.

Isteri beliau, Puan Sharifah Naina Mohammad juga bukan dari Kelantan. Berasal dari Pulau Pinang. Berkelulusan bidang Teaching English as a Second Language (TESL), Universiti Leeds (United Kingdom). Mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah sejak tahun 1984, bersara tahun 2022. Bak kata-kata indah dan hebat daripada orang tua-tua, “Ikan di laut, asam di darat, dalam belanga bertemu juga.

Dari Kedah, dari Pulau Pinang, akhirnya suratan jodoh mereka adalah di Kelantan. Menetap bahagia di “Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Pak Kassim” yang mereka dirikan itu, di desa terpencil yang harmonis, indah dan segar udaranya, di celah-celah perkebunan getah Tanah Merah.

Pada perkampungan program itu, Sharifah membantu, mengambil inisiatif mengajarkan bahasa Inggeris kepada anak-anak desa. Hal demikian pun, besar juga manfaatnya, tidak semesti terbatas pada bahasa Melayu. Termenung saya, sebegitu dinamik pemanfaatannya, walau hanya dianggap sebagai perkampungan program sastera secara santai sahaja oleh suaminya, Pak Kassim.

Memikirkan kerana bahasa Inggeris, cepat saya terfikir, ingin menyarankan pada Sharifah agar, misal kelak, ajarkanlah juga puisi “The Road Not Taken” Robert Frost. Tidak mengapa, walau puisi berbahasa Inggeris, asalkan menyemai minat dan generasi muda menghargai puisi.

Antara kelompok di halaman rumah Pak Kassim dan Puan Sharifah, tanpa menghiraukan hujan.

Saya pernah tahu, puisi “The Road Not Taken” di Amerika sana bukan sekadar dipelajari di sekolah menengah, kolej dan universiti, serta diterbitkan dalam kumpulan puisi Robert Frost bagi pembaca awam. Bahkan, sebagai sebuah puisi itu sahaja pun diterbitkan juga sebagai buku edisi mewah, berilustrasi indah, malah setiap baris hanya satu halaman sahaja, diajarkan, jadi bacaan murid sekolah rendah. Namun, saya pendamkan sahaja pandangan dan hasrat. Tidak saya suarakan pada Sharifah.

Lebih termenung, memikirkan, justeru suatu perkara dan pembaharuan cara yang tidak pernah dilakukan demikian untuk murid sekolah rendah di tanah air, pada mana-mana puisi, terutama karya para penyair besar tanah air.

Lantaran, kita menganggap puisi, jika bukan puisi kanak-kanak, adalah sukar dan berat bagi difahami oleh murid sekolah rendah. Padahal, guru tetap mempunyai kemahiran pada cara untuk mengajarkan, menerangkan dan membawa mereka untuk boleh memahami, menikmati dan menghayati demi menambahkan keseronokan belajar, mengasuh jiwa dan nilai kemanusiaan, serta meningkatkan kecerdasan.

Misalnya, jika puisi mengungkapkan (1) “Awan sedang berjalan di langit” (jika bukan disebutkan bergerak), guru tetap boleh bijak untuk menerangkan, mengapa dianggap berjalan? Begitu juga, pada misal (2) “Hujan menyentuh bumi” (jika bukan disebutkan jatuh ke tanah), malah sekalipun, (3) “Bulan tersenyum” (keindahan bulan yang menawan hati, malah biasa ada lukisan bulan yang begitu dalam buku kanak-kanak).

Tidakkah hal demikian, sebenarnya berkemampuan membantu keseronokan belajar, mengayakan imaginasi, mempertajam persepsi, dan mempertingkatkan lagi kecerdasan minda?

Begitu juga, pada misalnya bagi puisi “Ke Makam Bonda” oleh Allahyarham Sasterawan Negara Usman Awang. Apresiasi dan moral murni yang amat besar signifikannya ialah puisi ini boleh dihayati oleh murid seawal sekolah rendah lagi, dengan pelbagai cara kemahiran penyampaian dan pengajaran oleh guru.

Lama sekali saya menaruh harapan moga puisi “Ke Makam Bonda” ini, antara kelaknya dapat diajar bermula di sekolah rendah lagi. Namun, ya, mudah-mudahan kelak nanti. Jika, belenggu lemah tanggap yang disebutkan di atas, dapat dikecaikan dan dibuangkan.

Baca Bahagian Kedua Refleksi |

_________________________

Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.

Kredit Foto: Firus Fansuri, Dahri Zakaria, Jamly Bahruldin, dan Pak Kassim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi