Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Terengganu – Buat julung-julung kalinya, Syarahan Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari: Anjung Persinggahan dan Permata Puisi dianjurkan oleh Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, pada 29 Oktober 2024, di Auditorium Sulaiman PSNZ.
Dalam syarahan tersebut, Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari mengupas karya puisi beliau yang terkandung dalam dua naskhah bukunya, Anjung Persinggahan dan Permata Puisi.
Beliau turut berkongsi kepada hadirin tentang latar belakang penulisan buku Permata Puisi yang mengambil inspirasi daripada puisi “Aku” oleh Chairil Anwar.
Tambahnya lagi, tajuk buku tersebut juga mengambil “semangat” daripada frasa “aku mau hidup seribu tahun lagi” yang terdapat dalam puisi “Aku” sebagai merujuk bahawa puisi Chairil akan terus hidup dan menjadi permata walaupun beliau telah meninggal dunia.
Dalam buku Anjung Persinggahan pula, Rahman Shaari turut memilih untuk memerihalkan sajak “Hamparan Kuning” yang dihasilkan oleh beliau ketika menuntut di universiti.
Menurutnya, sajak ini mendapat sentuhan istimewa kerana SN Dato’ Usman Awang telah menitipkan pesan kepada beliau untuk menulis sajak tentang suasana kampung halamannya.
Program ini diadakan bersempena dengan pengisian aktiviti Dekad Membaca Kebangsaan Zon Timur 2024 dan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain.
Antara matlamat penganjuran program ini termasuklah mengangkat karya penulis dan memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang karya ilmiah, di samping mempromosikan karya terbitan DBP sebagai bahan bacaan yang bermutu kepada khalayak.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan; Ketua Pustakawan PSNZ, UMT, Tuan Haji Abu Hassan Ghazali; Ketua Pustakawan Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Universiti Sultan Zainal Abidin, Puan Norulhuda Makhtar; kakitangan UMT, dan para pelajar.